AKAL PERLU DIPIMPIN OLEH HATI

Akal boleh mengumpulkan ilmu dan pengalaman. Dengan ilmu dan pengalaman, akal boleh menimbang mana yang buruk dan mana yang baik. Mana yang menguntungkan dan mana yang merugikan. Mana yang orang suka dan mana yang benci. Oleh itu, dengan akal, manusia boleh mencari jalan hala kepada kebaikan terutama yang ada kaitan dengan kehidupan lahiriah.

Akal mampu menganalisa dan melihat akan kehebatan ciptaan Tuhan dan jesteru itu boleh merumuskan akan kewujudan Tuhan. Orang yang menggunakan akalnya secara betul dan ikhlas akan dapat membuktikan akan kewujudan dan peranan Tuhan dalam kehidupannya, pada kewujudan dirinya dan pada kewujudan alam.

Namun akal tidak boleh dibiarkan berfungsi secara bebas. Akal yang diberi kebebasan secara mutlak hanya akan mampu mengikut landasan lahiriah atau duniawi semata-mata. Dia hanya mempu berkecimpung di alam nyata kerana itulah hakikat ciptaannya yang sebenar iaitu untuk mengendalikan hal-hal dunia. Akal tidak dapat menjangkau ke alam ghaib. Ia hanya mampu berfungsi di alam nyata yang bergerak di atas hukum-hukum yang tertentu yang berkait dengan sebab musabab serta aksi dan reaksi. Akal yang dibiarkan berfungsi secara bebas akan merosakkan manusia. Akhirnya nanti dia akan menafikan kewujudan Tuhan, malaikat, alam akhirat, Syurga dan Neraka. Dia akan menolak dan mentiadakan apa yang dia tidak boleh faham dan apa yang dia tidak upaya menjangkau dan membuktikan.

Akal perlu dikawal oleh hati. Akal mesti duduk di bawah hati dan tunduk kepada arahan hati. Akal mesti menjadi alat kepada hati. Hati atau jiwa yang hidup, yang peka, yang celik dan yang berperanan akan dapat menjangkau kealam ghaib. Hati boleh merasakan akan kewujudan dan kehadiran Tuhan. Bahkan hati boleh merasakan kehebatan, kebesaran, keagungan, dan kuasanya Tuhan. Hatilah yang yakin akan adanya Tuhan, malaikat, alam akhirat, syurga dan neraka.

Apabila akal mengikut arahan hati, maka ia akan dapat berfungsi mengikut cara yang Tuhan mahu dan tidak akan terjebak dengan lambaian, godaan, penipuan dan perangkap dunia. Barulah akal boleh dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Barulah akal tidak akan merosakkan.

Tambahan pada itu, hati yang bersih, roh yang kuat dan jiw yang hidup akan membuatkan akal menjadi lebih tajam dan lebih bijak. Ini  telah dibuktiakan oleh para sahabat yang dididik oleh Rasulullah SAW. Asalnya mereka adalah pengembala kambing. Tetapi dengan kemajuan dan tamadun jiwa dan rohani mereka hasil didikan Rasulullah SAW, mereka mampu menjadi ahli dalam berbagai bidang ilmu termasuk metametik, falsafah, astronomi, astrologi, perubatan, sains dan berbagai-bagai lagi sehingga mereka menjadi tok-tok guru kepada bangsa dan tamadun lain.