ENGKAU TERSESAT BERFIKIR

ENGKAU hairan manusia mengembara merata dunia
Mengapa engkau tidak hairan
bumi yang dipijak ciptaan Tuhan?
Engkau kagum dengan ilmu yang dimiliki orang
Mengapa tidak kagum dengan akal ciptaan Tuhan
Yang membolehkan mendapat ilmu?
Kalau tidak ada akal kepunyaan Tuhan
Bolehkah manusia berfikir untuk mendapat ilmu?
Engkau rasa terpesona dengan bangunan
dari bahan-bahan yang ada di dunia
Mengapa engkau tidak terpesona dengan Tuhan
Yang mengadakan bahan-bahan itu?
Kalau tidak ada bahan-bahan itu
bolehkah manusia membangun?
Engkau kaget dengan manusia
yang berkuasa di dunia
Yang mempunyai negara
dan rakyat yang begitu ramai
Dengan penuh keangkuhan dan kesombongan
Engkau serah hati dengannya
Mengapa engkau tidak rasa kaget dengan Tuhan
yang mempunyai bumi?
Yang mencipta rakyat hingga mereka boleh berkuasa
Kalau tidak ada negara dan rakyat,
bolehkah manusia berkuasa?
Lebih-lebih lagi kalau mereka tidak dijadikan
Apakah timbul ada kuasa?
Aku rasa aneh cara engkau berfikir
Perkara yang tidak sepatutnya engkau kagumi
Engkau boleh kagum
Yang patut engkau kagumi engkau tidak kagum
Kebesaran manusia engkau nampak                                                                 Kebesaran Tuhan yang Maha Hebat
engkau tidak nampak?
Bagaimana cara engkau berfikir?
Yang tidak hebat engkau rasa hebat
Yang hebat engkau tidak terasa hebat
Yang sebenarnya engkau telah tersalah berfikir
Atau engkau telah tersesat berfikir