Orang yang merasa diri hina

Orang yang merasa dirinya mulia, sebenarnya di sisi Tuhan adalah hina. Ini kerana bagi Tuhan, sepertimana yang disebutkanNya dalam Al-Quran; orang yang mulia itu ialah orang yang bertaqwa. Di mana kemuliaan orang bertaqwa? Kemuliaan itu letak pada hatinya. Hati yang cukup tinggi rasa hamba dengan Tuhannya. Rasa hamba itu ada berbagai dan yang paling menonjol itu adalah rasa hina dengan Tuhan. Rasa hina ini, biasanya ia menjadi subur di dalam sembahyang. Bilamana dia sembahyang, terutama pada waktu sujud, di waktu itulah benar-benar dirasakan dirinya hina. Yang dirasakan dalam hatinya walaupun sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata tetapi bolehlah dimaksudkan sebegini: “Aku ini hina, wahai Tuhan…Kau jadikan aku daripada tanah. Aku ini hina, Tuhan… Kau jadikan aku daripada setitis air mani yang hina. Aku ini hina, Tuhan…Aku hina seperti najis. Kau Tuhan yang maha Tinggi, aku hamba yang hina. Aku menghina diri di hadapanMu Tuhan dan itulah yang selayaknya buat aku sebagai hambaMu.” Rasa hina seperti inilah yang dipandang Tuhan. Rasa seperti inilah yang membuatkan dia dimuliakan Tuhan. Dia tidak minta kemuliaan itu tetapi Allah muliakannya. Allah iktiraf yang dia itu mulia. Dia dalam kemuliaan di Akhirat, walau di dunia belum tentu. Mungkin manusia memandangnya hina tetapi Tuhan memandangnya mulia. Orang seperti ini, kalau dia ditakdirkan menjadi pemimpin, rasa hina inilah yang dibawa dalam memimpin. Dia tidak sombong malah sangat berkasih sayang dengan anak buah. Cakapnya mesra dan berlemah lembut. Dia tidak minta dimuliakan biarpun anak buah memuliakannya. Malah, jika dia tidak dimuliakan oleh mereka, dia tidak terasa hati. Sama sahaja hatinya samada dia diberi layanan istimewa atau tidak. Tenang sahaja hatinya biarpun dia tidak dipuji atau disanjung. Pujian atau sanjungan hanya akan mencemaskan hatinya kerana takut-takut dia tidak pandai menerimanya. Kalau dia ditakdirkan kaya, dia tidak bermegah-megah dengan kekayaannya. Digunakan kekayaannya itu untuk membantu perjuangan Islam. Juga kepada orang-orang yang memerlukan bantuan. Samalah juga jika dia ilmuan atau ulamak, dia tidak sombong dengan ilmunya. Dia mengajar dan mendidik tapi penuh berhikmah. Dia tidak suka menunjuk-nunjuk yang dia itu seorang ilmuan atau ulamak. Dia bercakap bila perlu sahaja. Cakap-cakapnya tidak membuatkan orang sakit hati kepadanya. Begitulah sifat-sifat orang yang merasa diri hina. Tidak kira apa statusnya, walau diberi kelebihan oleh Tuhan, dirinya tetap merasa hina di sisi Tuhan. Rasa inilah yang menjadikan dia mulia di sisi Tuhan. Orang yang tidak ada rasa seperti ini, jangankan Tuhan, manusia pun tidak suka.