SUBURKAN RASA BERTUHAN

KALAU seorang hamba itu merasa kebesaran
dan kehebatan Allah Taala
Bagaimana besar dan tinggi kedudukannya, dia rasa
tenggelam di dalam kebesaran Allah Taala
Maka dia tidak akan merasa lagi dirinya ego dan besar
Jika seorang hamba itu merasa kasih sayang
dan rahmat Allah Taala setiap masa
Di waktu itu cintanya kepada Allah Taala pun berbunga
Begitulah kalau seorang hamba itu merasakan
setiap rezeki dan nikmat itu daripada Allah Taala
Bukan sahaja dia akan bersyukur
Bahkan dia sentiasa malu dengan Tuhan
Juga kalau seorang hamba itu sentiasa merasa kuasa Tuhan
dan kehendak-Nya sentiasa menguasai dirinya
Dia sentiasa rasa takut dan hebat kepada Allah
Seterusnya seorang hamba itu sentiasa sedar Tuhan selalu
mengetahui, melihat dan mendengarnya
Dia sentiasa rasa hina dan merendah diri kepada-Nya
Sentiasa takut hendak melanggar perintah-Nya
Sentiasa beradab kepada Tuhan Penciptanya
Kalau seorang hamba itu merasakan pemurahnya Tuhan
terhadap hamba-hamba-Nya
Dia akan bersyukur selalu, malu setiap waktu
Itulah perlunya seorang hamba itu rasa bertuhan
Agar sifat-sifat hamba ini dapat dikekalkan setiap masa
Bila rasa bertuhan subur selalu di dalam jiwa
Inilah dia pengawal, penjaga dirinya
Suburkanlah selalu rasa bertuhan
Agar kita boleh jaga diri