MARI MENGENAL TUHAN

MARI kita mengenal Tuhan
Wujud-Nya tiada permulaan dan tiada berkesudahan
Ertinya wujud-Nya berkekalan
Kerana tiada yang menjadikan
Zat-Nya bukan jirim yang memerlukan ruang
Kerana ruang Tuhan yang menjadikan
Dia tidak terlibat di dalam masa
Kerana masa Dia yang menjadikan
Kerana itulah Tuhan tidak boleh dikatakan tua atau muda
Muda dan tua adalah sifat makhluk-Nya
Kerana makhluk ditelan masa
Kerana tidak terlibat di dalam masa,
kerana itulah Tuhan tidak merasa menunggu
Tuhan tidak dapat ditunjuk seperti makhluk,
seperti kita kata di sini atau di sana,
di atas atau di bawah
Kalau masih boleh ditunjuk ertinya Tuhan bertempat
Sedangkan tempat, Allah yang menjadikan
Ia tidak perlu kepada tempat
Memerlukan tempat adalah sistem hidup makhluk
Tuhan tidak ada penyerupaan
Tuhan mempunyai Qudrat atau Kuasa
Kuasa atau Qudrat Tuhan bukannya tenaga
Tenaga ada batasannya
Qudrat Tuhan tidak ada batasannya
Tuhan adalah Berkehendak (Iradat)
Kehendak Tuhan bukan melalui rasa dan kemahuan
Rasa dan kemahuan dari nafsu dan jiwa
Tuhan tidak ada nafsu dan jiwa
Kehendak-Nya adalah dari Zat-Nya yang bersifat Kehendak
Pengetahuan-Nya meliputi semua
Dia tahu apa yang ada dan apa yang tiada
Kerana Tuhan bukan tahu dengan akal dan fikiran                                                         Pendengaran-Nya dekat dan jauh sama sahaja,
ada suara atau tiada semua didengar-Nya
Dekat dan jauh, bersuara atau tiada,
pada-Nya sama sahaja tiada bezanya
Kerana Dia tidak mendengar melalui telinga
Penglihatan-Nya tembus, jauh dan dekat sama sahaja
Jauh dan dekat, besar dan kecil semua dilihat-Nya
Kerana Tuhan melihat bukan dengan mata
Di antara sifat Tuhan, Dia berkata-kata dan berbahasa
Bahasa Tuhan tidak ada dahulu dan kemudian
Dahulu dan kemudian bahasa makhluk-Nya
Bahasa Tuhan tidak berlafaz dan bersuara
Al Quran itu adalah bahasa malaikat
terjemahan bahasa Tuhan
Tuhan sentiasa sibuk tidak ada rehat walaupun sedetik
Tapi sibuk-Nya tidak seperti makhluk bersibuk-sibuk
Walupun Dia sibuk tapi Dia tidak merasa sibuk
Tidak merasa penat dan meletihkan
Entahkan berapa bilion perkara,
macam dan jenis yang dicipta-Nya
Namun tidak ada satu pun walaupun sebesar habuk
yang dilupakan-Nya
Semuanya di dalam pengetahuan-Nya
Entah berapa banyak ciptaan-Nya
Tuhan mewujudkan itu semua tidak ada yang sia-sia
Semuanya itu mengandungi hikmah, sekalipun satu habuk
yang paling kecil yang berterbangan ada hikmahnya