Bertimbang rasa

Bertimbang rasa salah satu daripada sifat peri kemanusiaan

Bertimbang rasa, menimbang perasaan orang lain berdasarkan perasaan kita

Fitrah manusia adalah sama

Perasaan adalah fitrah manusia

Kalau kita sensitif dengan perasaan manusia, berdasarkan perasaan kita

Kita sangat bertimbang rasa kepada semua manusia

Untuk dapat difaham saya membawa beberapa contoh, berdasarkan perasaan kita

Kita kita tidak suka orang sombong dengan kita, sepatutnya kita tidak sombong pula dengan manusia, mereka juga tidak suka

Orang bercakap kasar dengan kita, kita tidak suka, logiknya kita tidak suka bercakap kasar dengan mereka

Kita tidak suka orang memerli-merli dan menyindir-nyindir kita, tentulah sepatutnya kita tidak akan lakukan kepada manusia

Orang hasad dengki dengan kita, kita tidak suka, sepatutnya kita tidak suka berhasad dengki dengan sesiapa

Begitu juga kita tidak suka orang menghina kita, kita juga sepatutnya tidak suka menghina orang

Dibawa lagi beberapa contoh di sini

Di waktu kita susah, kita suka ada orang menolongnya, sepatutnya tentulah kita suka pula menolong manusia

Kita suka orang memberi maaf  kepada kita, sepatutnya kita juga suka sekali memberi maaf kepada mereka

Perasaan manusia sama

Orang pemurah kepada kita, kita suka, sepatutnya kita suka pemurah dengan manusia

Orang boleh membuat baik kepada manusia lain berdasarkan dorongan perasaan hatinya, kerana perasaan manusia sama

Itulah dia yang dikatakan tinggi perikemanusiaannya

Perlu diingat membuat baik atas dasar perkemanusiaan semata-mata pahalanya tidak ada

Pahala didapati mesti perasaan dan dorongan itu atas dasar iman

Dia membuat kerana perintah Tuhannya yang Maha Esa lagi Maha Pengasih dan

Maha Penyayang

Seseorang itu baik berdasarkan peri kemanusiaan itu adalah baik berdasarkan fitrah semulajadi

Kalau ia tidak ditunjang oleh iman pahalanya tidak ada, di Akhirat masuk Neraka

Oleh itu kebaikan itu biarlah berdasarkan iman bukan berdasarkan perikemanusiaan

atau perasaan

Di akhir zaman ini kebaikan atas dasar kemanusiaan pun sudah tidak ada

UMAT ISLAM DITIMPA BALA

Rata-rata umat Islam sudah ditimpa bala. Bala yang mereka tidak sedar, sungguhpun ia sangat merbahaya. Bala ini tidak lain dan tidak bukan ialah terlalu cinta dengan dunia dan jahil pula tentang ilmu agamanya sendiri.

Umat Islam sekarang cuma susah hati kalau ditimpa bala yang menyusahkan urusan duniawi mereka seperti ditimpa penyakit, ditimpa kemiskinan, kehilangan harta benda, kematian keluarga tercinta, kehilangan pangkat dan kedudukan, rugi perniagaan, hilang pekerjaan dan lain-lain lagi. Terlupa akan kehidupan di Akhirat yang kekal abadi. Mereka sangat terpaut dan terpengaruh dengan kehidupan yang terdekat iaitu dunia ini. Kerana itu seluruh kemampuan fizikal, mental dan jiwanya dihalakan untuk menghindarkan diri dari bala yang sementara ini.

Dari sikap cinta dunia dan acuh tak acuh dengan akhirat, maka timbullah salah berfikir di kalangan umat Islam. Mereka sangat memandang besar nikmat dan bala di dunia. Nikmat dan bala di Akhirat di pandang kecil sahaja. Walhal, apalah ada segala kesusahan di dunia ini berbanding dengan hanya satu hari diseksa di dalam Neraka.

Umat Islam perlu menukar sikap mereka dan mencontohi para Sahabat, para Tabiin dan Tabiut Tabiin iaitu di sekitar 300 tahun selepas kewafatan Rasulullah SAW. Mereka sangat sensitif dengan bala yang berkaitan dengan persoalan Akhirat. Mereka sangat bimbang kalau hati mereka longgar dengan Tuhan, sudah tidak ghairah dengan kebaikan dan nikmat Syurga dan tidak bimbang dengan dosa dan siksaan Neraka.  Mereka juga sangat cintakan ilmu kebenaran dan berlumba-lumba untuk menimba ilmu yang bermanfaat yang boleh membawa mereka hampir kepada Tuhan.

Tetapi umat Islam sekarang, ilmu kebenaran sudah ada di hadapan mata, tetapi mereka bersikap acuh tidak acuh hendak mempelajari, apalagi mengamalkannya. Bila sudah ditimpa bala yang besar, maka bala yang kecil seperti hilang pangkat, hilang harta benda, difitnah, dicaci, jatuh sakit atau lain-lain lagi, sudah cukup membuatkan jiwa menderit, fikiran jadi kusut, marah-marah tidak tentu hala, kecewa yang tidak berkesudahan,mengadu sana mengadu sini dan mereka hilang bahagia sama sekali. Hiduplah umat Islam  dalam kacau bilau dan porak peranda, sama seperti hidup orang yang tidak beriman kepada Tuhan.

Itulah akibatnya apabila umat Islam tidak sedar yang mereka sudah ditimpa bala yang sangat besar. Untuk melepaskan diri dari bala yang besar ini, kita perlu bersungguh-sungguh menimba ilmu agama yang boleh mengungkai sikap cinta dunia. Bila bala yang besar ini sudah terangkat, barulah bala yang lain dapat diterima dengan tenang. Hidup juga akan jadi aman dan bahagia, menanti kehidupan yang jauh lebih nikmat di Akhirat nanti.

Adab dalam pergaulan

Cintailah Allah takutilah Dia, kasihilah sesama manusia

Maaf-bermaafan sesama jadikan budaya

Yang miskin dibantu  yang kaya membantu

Rasa bersama dan bekerjasama perlu ada

Bertolak ansur di dalam pergaulan mestilah ada

Bertolong bantu sesama bertolak ansur di dalam kehidupan

Ziarah-menziarahi waktu perlu jangan ditinggalkan

Ia adalah di antara rukun masyarakat manusia

Tinggalkan sombong, mencari nama dan glamor

Kerana ia dilarang oleh Allah Tuhan kita

Orang benci, orang tidak suka, orang mengata

Hanya tersinggung, boleh membawa renggang sesama manusia

Jauhilah dosa dan noda yang membawa ke Neraka

Tuhan benci, Tuhan murka manusia juga tidak suka

Buat baiklah sesama manusia sedaya upaya

Kerana itu boleh membawa kasih sayang dan mesra

Aib orang jangan dibuka bahkan ditutup

Ia adalah satu sifat yang mulia lagi disuka

Menutup aib orang Tuhan akan menutup aib kita

Begitulah Tuhan menyuruh menutup aib sesama manusia

AKAL PERLU DIPIMPIN OLEH HATI

Akal boleh mengumpulkan ilmu dan pengalaman. Dengan ilmu dan pengalaman, akal boleh menimbang mana yang buruk dan mana yang baik. Mana yang menguntungkan dan mana yang merugikan. Mana yang orang suka dan mana yang benci. Oleh itu, dengan akal, manusia boleh mencari jalan hala kepada kebaikan terutama yang ada kaitan dengan kehidupan lahiriah.

Akal mampu menganalisa dan melihat akan kehebatan ciptaan Tuhan dan jesteru itu boleh merumuskan akan kewujudan Tuhan. Orang yang menggunakan akalnya secara betul dan ikhlas akan dapat membuktikan akan kewujudan dan peranan Tuhan dalam kehidupannya, pada kewujudan dirinya dan pada kewujudan alam.

Namun akal tidak boleh dibiarkan berfungsi secara bebas. Akal yang diberi kebebasan secara mutlak hanya akan mampu mengikut landasan lahiriah atau duniawi semata-mata. Dia hanya mempu berkecimpung di alam nyata kerana itulah hakikat ciptaannya yang sebenar iaitu untuk mengendalikan hal-hal dunia. Akal tidak dapat menjangkau ke alam ghaib. Ia hanya mampu berfungsi di alam nyata yang bergerak di atas hukum-hukum yang tertentu yang berkait dengan sebab musabab serta aksi dan reaksi. Akal yang dibiarkan berfungsi secara bebas akan merosakkan manusia. Akhirnya nanti dia akan menafikan kewujudan Tuhan, malaikat, alam akhirat, Syurga dan Neraka. Dia akan menolak dan mentiadakan apa yang dia tidak boleh faham dan apa yang dia tidak upaya menjangkau dan membuktikan.

Akal perlu dikawal oleh hati. Akal mesti duduk di bawah hati dan tunduk kepada arahan hati. Akal mesti menjadi alat kepada hati. Hati atau jiwa yang hidup, yang peka, yang celik dan yang berperanan akan dapat menjangkau kealam ghaib. Hati boleh merasakan akan kewujudan dan kehadiran Tuhan. Bahkan hati boleh merasakan kehebatan, kebesaran, keagungan, dan kuasanya Tuhan. Hatilah yang yakin akan adanya Tuhan, malaikat, alam akhirat, syurga dan neraka.

Apabila akal mengikut arahan hati, maka ia akan dapat berfungsi mengikut cara yang Tuhan mahu dan tidak akan terjebak dengan lambaian, godaan, penipuan dan perangkap dunia. Barulah akal boleh dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Barulah akal tidak akan merosakkan.

Tambahan pada itu, hati yang bersih, roh yang kuat dan jiw yang hidup akan membuatkan akal menjadi lebih tajam dan lebih bijak. Ini  telah dibuktiakan oleh para sahabat yang dididik oleh Rasulullah SAW. Asalnya mereka adalah pengembala kambing. Tetapi dengan kemajuan dan tamadun jiwa dan rohani mereka hasil didikan Rasulullah SAW, mereka mampu menjadi ahli dalam berbagai bidang ilmu termasuk metametik, falsafah, astronomi, astrologi, perubatan, sains dan berbagai-bagai lagi sehingga mereka menjadi tok-tok guru kepada bangsa dan tamadun lain.

AL QURAN – (2)

Al Quran diturunkan berperingkat-peringkat selama 23 tahun. Kitab-kitab yang lain seperti  Taurat, Injil dan Zabur diturunkan seketul, selonggok dan sekaligus. Al Quran diturunkan ke langit pertama pada bulan Ramadan. Kemudian diturunkan kepada Rasulullah sedikit demi sedikit. Terdapat 114 surah dan 6666 ayat di dalamnya mengikut qaul yang masyhur. Di antara ayat-ayat ini, hanya 500 sahaja yang menyentuh tentang hukum hakam. Selebihnya menyentuh tentang hal lain.

                Di antara ayat-ayatnya, ada yang Makiah iaitu yang  diturunkan sebelum Rasulullah berhijrah ke Madinah. Banyak ayat Makiah turun di Mekah tetapi ada juga yang turun di tempat lain seperti di Thaif. Ada pula ayat Madaniah iaitu yang turun selepas Rasulullah berhijrah ke Madinah. Walaupun kebanyakan ayat Madaniah turun di Madinah tetapi ada juga ayat Madaniah yang turun di Mekah. Makiah dan Madaniah bukan dikira di mana ayat itu turun tetapi masa ia turun samada sebelum atau selepas Rasulullah berhijrah ke Madinah.

                Ada ayat Safariah iaitu yang turun semasa Rasulullah sedang bermusafir. Ada pula ayat Qadariah yang turun di waktu Rasulullah tetap bermukim.          

Ada ayat yang Lailiah iaitu yang turun pada waktu malam dan ada ayat Nahariah iaitu yang turun di waktu siang.

Ada ayat yang dibawa oleh malaikat Jibrail dan ada yang datang terus dan direct dari Allah.

Ada ayat yang Muhkamat atau masih boleh dipakai dan ada ayat yang Mansuh atau yang telah dibatalkan oleh ayat yang lain.

Setiap ayat ada Asbabun Nuzulnya atau sebab turunnya ayat. Asbabun Nuzul ini boleh jadi kerana ada orang yang bertanya atau keadaan pada satu- satu masa  itu memerlukannya. Ataupun sebagai satu didikan (contoh ayat berkaitan dengan arak) atau untuk menerangkan hukum.

Susunan surah di dalam Al Quran seperti yang kita lihat sekarang bukanlah seperti mana yang ia diturunkan. Surah pertama yang diturunkan ialah Al’Alaq dan bukan Al Fatihah. Surah An-Naas bukanlah surah yang terakhir diturunkan. Susunan yang ada sekarang ialah mengikut Tauqif atau susunan bacaan oleh Rasulullah.

AL QURAN

Al Quran itu adalah kitab yang paling ajaib. Ia bukan akal. Ia dari Tuhan. Bahasanya mudah tetapi indah. Walaupun  mudah , ia tidak boleh di tiru, tidak dapat diubah, dibuang atau ditambah. Ini telah terbukti beberapa kali. Telah dicuba oleh musuh tetapi dikesan juga akhirnya.

                Membacanya adalah ibadah. Memahaminya ialah ubat. Mengikutinya adalah petunjuk dan menghayatinya adalah iman dan taqwa.

                Susunan ayatnya, bukan syair, bukan sajak dan bukan pula gurindam. Ia bukan novel dan bukan cerpen. Ia bukan sastera. Ia juga bukan falsafah walaupun mengandungi falsafah. Di dalamnya ada hukum, ada panduan, ada perintah, ada tegahan, ada hiburan dan ada peringatan.

                Bahasanya, susunannya dan isinya dikagumi oleh ahli bahasa. Ditakjubi oleh para sasterawan. Dianggap pelik oleh ahli filasuf dan dianggap sihir di zaman jahiliah.

                Di dalamnya ada cerita yang membawa berita. Dalam cerita ada hukum dan dalam hukum ada cerita.  Ada berbagai perumpamaan di dalamnya yang membuka segala rahsia. Tentang dunia dan akhirat. Tentang jasmani dan rohani. Tentang mukmin, kafir dan munafik. Tentang watak-watak menusia, malaikat dan jin. Tentang peristiwa yang sudah terjadi dan bakal akan terjadi.

                Tidak ada perkara  yang tercicir di dalam Al Quran. Semua ilmu berkenaan  ciptaan Tuhan terkandung di dalamnya. Ilmu yang paling besar ialah mengenal Tuhan dan hal-hal tentang akhirat, tentang jin, syaitan dan manusia.

                Al Quran mencabar cerdik pandai. Mereka tercabar tetapi tidak dapat mencabar. Al Quran adalah ilmu di dalam ilmu. Ia menguatkan jiwa dan mengubat hati. Ia adalah penajam mental dan fikiran. Ia petunjuk kepada kedamaian, keselamatan dan keharmonian. Ia membersihkan kemungkaran, penzaliman dan penindasan. Ia dapat melahirkan tamadun dan kebudayaan. Menceduk mutiara dari Al Quran ini, sampai bilapun tak akan habis. Menatapnya pula, sampai bila pun tak akan jemu.

                Setiap ayat, maksudnya berlapis-lapis. Ada pendapat yang mengatakan sampai 70 lapis, mengikut tafsiran-tafsiran yang bertambah dari masa ke semasa di setiap zaman. Al Quran itu umpama laut. Setiap hari kita mengambil ikan dan khazanah dari laut namun ia tidak pernah habis.

Apabila Jiwa Hidup Mudah Kenal Tuhan

Jiwa dan hati adalah alat untuk mengenal Tuhan. Oleh itu, kalau jiwa atau hati sudah mati dan tidak mampu lagi berperanan atau berfungsi, maka seseorang itu tidak akan dapat mengenal Tuhan kerana alat untuk tujuan itu telah rosak.

            Jiwa yang mati perlu dihidupkan. Bila jiwa hidup maka mata hati akan jadi celik. Mata hati yang celik mampu melihat benda-benda batin, ghaib dan yang bersifat maknawiyah. Bila mata hati celik, maka akan lebih mudah mendapat keyakinan dan keteguhan hati tentang persoalan iman dan ketuhanan. Akan lebih mudah memahami dan mengimani segala perkara ghaib yang terkandung dalam rukun iman yang akal tidak mampu dan tidak dapat menerokanya. Hanya orang yang mata hatinya celik akan dapat mengenal Tuhan.

            Jiwa mati kerana disaluti najis-najis maknawiyah. Najis-najis maknawiyah adalah dosa-dosa yang tidak terampun, sifat-sifat mazmumah yang bersarang di hati dan nafsu yang tidak terdidik. Apabila nafsu menguasai diri, maka jiwa atau hati akan mati dan akan hilang peranannya. Nafsu yang amarah dan tidak terdidik akan menghidupkan mazmumah.

            Untuk menghapuskan dosa kita perlu bertaubat dan kembali kepada Tuhan. Bertaubat itu adalah dari segala dosa, lahir mahupun batin. Bertaubat dari dosa batin atau dosa hatilah yang lebih rumit dan sukar. Dosa perlu ditutup dan diiringi dengan sebanyak-banyak kebajikan. Sebaik-baik kebajikan ialah berjuang dan berkorban di jalan Tuhan. Selepas itu kita kena bermujahadah.