Orang Profesional Yang Sebenarnya

Orang profesional yang sebenarnya itu adalah yang merasa diri tidak layak dan tidak mampu membuat kerja-kerja yang diberikan kepadanya. Biarpun dia itu lahirnya memang cukup berbakat dan berpengetahuan dalam hal kerja yang diberikan tetapi rasa-rasa seperti itu membuatkan dia menyerahkan segala urusan kerjanya kepada Tuhan. Dia pun meminta kepada Tuhan dengan bertawasul melalui gurunya. Hasilnya, akan datang bantuan-bantuan ghaib datang membantu menyelesaikan kerjanya. Sehinggakan bila sempurna kerja tersebut, tidak terasa pun yang kerja itu hasil tangannya. Tidak terasa yang dia itu berbuat. Tidak terasa yang dia itu ada campurtangan dalam kerja tersebut. Maka, daripada kejayaan kerja itu, hatinya terselamat daripada dosa batin seperti riyak dan ujub. Daripada kegagalan kerja itu pula, hatinya merasa itulah dosa-dosanya. Kegagalan tersebut tidak membuatkan dia buruk sangka dengan Tuhannya. Jauh sekali merasa kecewa atau dia putus asa. Bukanlah dikatakan profesional jika dalam hendak membuat kerja, dia itu merasa diri pandai, merasa diri mampu dan merasa diri dia layak membuatnya. Dia sebenarnya sombong dengan Tuhannya kerana tidak merujuk dengan Tuhan sebaliknya merujuk pada kepandaian dan kemampuan diri dalam hendak membuat kerja. Apabila berjaya, dia akan mendabik dada dan berkata “Sayalah yang punya idea”, “Sayalah yang membuatnya”, “Jika tanpa saya, kerja tersebut tak akan berjaya”. Jikapun tidak berkata di mulut, di hati dia tetap berkata. Apabila gagal, dia tidak redha atas kegagalan sebaliknya mencari orang lain untuk dipersalahkan. Dia itu sudah membuat dosa-dosa batin tanpa disedarinya. Dia itu telah tenggelam dalam syirik khafi yang membawa kepada neraka jika tidak segera bertaubat atas dosa-dosa tersebut. Orang seperti ini sebenarnya adalah orang emosional.