AL QURAN

Al Quran itu adalah kitab yang paling ajaib. Ia bukan akal. Ia dari Tuhan. Bahasanya mudah tetapi indah. Walaupun  mudah , ia tidak boleh di tiru, tidak dapat diubah, dibuang atau ditambah. Ini telah terbukti beberapa kali. Telah dicuba oleh musuh tetapi dikesan juga akhirnya.

                Membacanya adalah ibadah. Memahaminya ialah ubat. Mengikutinya adalah petunjuk dan menghayatinya adalah iman dan taqwa.

                Susunan ayatnya, bukan syair, bukan sajak dan bukan pula gurindam. Ia bukan novel dan bukan cerpen. Ia bukan sastera. Ia juga bukan falsafah walaupun mengandungi falsafah. Di dalamnya ada hukum, ada panduan, ada perintah, ada tegahan, ada hiburan dan ada peringatan.

                Bahasanya, susunannya dan isinya dikagumi oleh ahli bahasa. Ditakjubi oleh para sasterawan. Dianggap pelik oleh ahli filasuf dan dianggap sihir di zaman jahiliah.

                Di dalamnya ada cerita yang membawa berita. Dalam cerita ada hukum dan dalam hukum ada cerita.  Ada berbagai perumpamaan di dalamnya yang membuka segala rahsia. Tentang dunia dan akhirat. Tentang jasmani dan rohani. Tentang mukmin, kafir dan munafik. Tentang watak-watak menusia, malaikat dan jin. Tentang peristiwa yang sudah terjadi dan bakal akan terjadi.

                Tidak ada perkara  yang tercicir di dalam Al Quran. Semua ilmu berkenaan  ciptaan Tuhan terkandung di dalamnya. Ilmu yang paling besar ialah mengenal Tuhan dan hal-hal tentang akhirat, tentang jin, syaitan dan manusia.

                Al Quran mencabar cerdik pandai. Mereka tercabar tetapi tidak dapat mencabar. Al Quran adalah ilmu di dalam ilmu. Ia menguatkan jiwa dan mengubat hati. Ia adalah penajam mental dan fikiran. Ia petunjuk kepada kedamaian, keselamatan dan keharmonian. Ia membersihkan kemungkaran, penzaliman dan penindasan. Ia dapat melahirkan tamadun dan kebudayaan. Menceduk mutiara dari Al Quran ini, sampai bilapun tak akan habis. Menatapnya pula, sampai bila pun tak akan jemu.

                Setiap ayat, maksudnya berlapis-lapis. Ada pendapat yang mengatakan sampai 70 lapis, mengikut tafsiran-tafsiran yang bertambah dari masa ke semasa di setiap zaman. Al Quran itu umpama laut. Setiap hari kita mengambil ikan dan khazanah dari laut namun ia tidak pernah habis.

Advertisements