Buatlah Ibadah Kerana Tuhan

Umpama seorang yang kita cukup kenal, katakanlah dia itu kekasih kita. Dia buat baik kepada kita, buat suruhan kita, bukan kerana sayang kepada kita, bukan kerana cinta kita, tetapi dia ada target lain. Dia nakkan duit kita rupanya. Dia nakkan kereta kita. Jadi dia bukanlah nakkan kita, atau benar-benar cintakan kita. Tetapi dia hanya nakkan harta atau milik kita itu seperti duit dan kereta. Bayangkan, apakah orang seperti itu yang kita mahu jadikan kekasih kita? Realitinya ramai di antara kita memperlakukan begitu dengan Tuhan. Ramai di antara kita buat ibadah bukan kerana Tuhan. Tetapi kerana makhluk Tuhan atau ciptaan Tuhan seperti syurga atau pahala. Padahal apa ada pada syurga atau pahala? Ia sekadar ciptaan Tuhan. Ciptaan Tuhan itu makhluklah namanya. Jadi, kita buat ibadah sebenarnya untuk apa? Bukankah ibadah itu sepatutnya dilakukan kerana Tuhan? Kita lakukan kerana kita benar-benar kasih dan sayangkan Tuhan. Kita buat untuk mendapatkan cinta Tuhan. Atau dalam ertikata lain nak dapatkan Tuhan itu sendiri.

Oleh itu, tujulah kepada Tuhan, bukan ciptaan Tuhan. Kalau kita tuju kepada syurga atau pahala, itu menunjukkan kita tak hiraukan Tuhan, tetapi lebih berminat kepada ciptaanNya. Bayangkan apa kata Tuhan, seolah-olah Tuhan akan berkata, “kau nakkan ciptaanKu, Aku boleh bagi, tapi kau takkan dapat Aku, kasih sayang Aku.” Mana yang kita nak? Mana lebih besar? Ciptaan Tuhan berupa syurga dan pahala, atau Tuhan itu sendiri? Biarlah soal ganjaran itu Allah yang tentukan. Bahkan kalau kita dah dapat Tuhan, insyaAllah, kita akan dapat segala-galanya. Dia akan bagi sesuai dengan sifat Maha Pemurah dan Penyayangnya. Selama ini pun di dunia, Dia beri juga. Dalam kita buat dosa, dalam kita tak hirau Dia, masih Dia beri juga macam-macam kepada kita. Lebih-lebih lagilah kalau kita sudah dapatkan Dia.

Jadi, marilah kita dapatkan Tuhan. Apa sahaja yang kita buat ini, baik ibadah fardhu mahupun sunat, buatlah kerana Tuhan. Buatlah untuk mendapat keredhaan, keampunan dan kasih sayangNya. Kerana itulah yang seharusnya kita harap-harapkan. Tidak ada yang lebih besar di dunia dan akhirat melainkan keredhaan, keampunan dan kasih sayang Tuhan. Namun, sudah barang tentu ini semua tidak dapat dilakukan kecuali kita memang benar-benar mengenali Tuhan kita. Asasnya ialah dengan mengenali Tuhan. Bila sudah kenal, tercetuslah rasa kasih dan sayang kita kepada Tuhan. Inilah yang sepatutnya ada pada diri kita. Rasa kasih dan sayang pada Tuhan inilah yang akan membuatkan kita beribadah semata-mata kerana Tuhan. Dan bukan kerana hal-hal lain yang merosakkan hubungan kita dengan Tuhan.

Advertisements