TUHAN ADALAH SEGALA GALANYA

Memiliki rasa kehambaan secara otomatik akan turut memiliki rasa bertuhan dan bagitulah sebaliknya.. Rasa kehambaan ertinya hati sentiasa dikuasai oleh rasa atau perasaan yang selayaknya bagi seorang hamba.Seorang hamba selayaknya merasai hina, lemah, dhaif, berdosa, bersalah, takut, bimbang, cemas, mengharap, rasa dikuasai, rasa menyerah, rasa dilihat dan diketahui oleh Allah swt.

Memiliki rasa kehambaan ini adalah salah satu rahsia kebahagiaan hidup. Ini kerana perasaan tenang, tenteram, tidak terganggu dan tidak tergugat oleh apa pun dalam hidupnya. Semuanya tenggelam dalam takut dan cinta kepada Allah swt. Yakni tiada apa lagi yang ditakutinya kerana semuanya sudah tenggelam dibawah takutkan Allah swt. Perasaan takut kepada yang lain itu tidak lebih hanyalah takut yang bersifat fitrah yang tidak akan sampai mengatasi takutkan Tuhan. Begitu juga tiada apa yang dicintainya kerana semuanya sudah tenggelam dibawah cintakan Allah swt. Perasaan cinta kepada yang lain itu hanyalah cinta fitrah yang tidak sampai mengatasi cintanya kepada Allah swt.

Bukan mudah untuk memiliki rasa kehambaan kepada Tuhan. Rata-rata kita menempuh pendidikan formal atau informal yang mendorong atau merangsang atau menyuburkan sifat dan sikap angkuh, sombong, takbur, membesarkan diri, hairan dan ajaibkan diri, kagum kepada diri, degil, ego dan mementingkan diri. Inilah sifat iblis yang Tuhan lemparkan laknat kepadanya. Bukan mudah untuk mengikis sifat dan sikap iblis ini. Lantaran itulah manusia bukan sahaja sanggup menzalimi sesama manusia, bahkan terhadap Allah swt pun manusia sanggup derhaka. Sebab itu kalau kita lihat mana-mana manusia kalau terhadap Tuhan yang Maha Berkuasa yang sepatutnya ditakuti, pun sanggup dia derhaka, agak-agaknya apakah orang begini takut dengan manusia dan undang-undang manusia. Melainkan selagi ada cara untuk lepas dan bebas nescaya akan dilakukannya.

Sebagai usaha untuk kita hamba merasai kehambaan marilah kita sama-sama seringkali ingat akan hakikat hidup kita ini tetap tidak terlepas dari kekuasaan Allah swt.

1.    Setiap manusia ada cita-cita, kemahuan dan keinginan. Lazimnya untuk mencapai cita-cita itu manusia akan berusaha. Maka berjaya atau berhasil mencapai cita-cita atau keinginan. Hendaklah benar-benar ingat serta rasai bahawa itu semua adalah kurniaan dan anugerah Allah swt. Usaha dengan kerahan tenaga, kegigihan, bersungguh-sungguh termasuk dengan akal fikiran, itu juga adalah pemberian Allah swt. Kejayaan itu adalah dengan izin Allah swt yang sudah ditentukan semenjak azali. Tidak bergerak dan tidak  diam sesuatu itu malainkan dengan izin Allah swt. Berterima kasihlah kepada Allah yang maha baik.

2.    Semua manusia ada cita-cita, keinginan dan kemahuan. Maka manusia pun berusaha. Ramai yang gagal mencapai cita-cita. Ingatlah bahawa semua itu adalah dengan kehendak Allah swt. Manusia ada kehendak, Allah swt ada kehendak, kehendak Allah jua yang berlaku. Rasakan bahawa betapa lemah dan tiada kuasanya manusia. Kalau kita ada kuasa tentulah segala kehendak dan kemahuan kita itu akan diperolehi bahkan dengan mudah. Kita kena melihat kepelbagaian ragam dan corak dalam kehidupan manusia supaya kita dapat merasakan bahawa kepelbagaian itu semua adalah bukti kekuasaan Allah swt. Adalah amat silap apabila berjaya dikatakan sebab usaha dan keupayaan diri. Apabila gagal dikatakan takdir Tuhan. Ini yang sering difahami oleh manusia. Hakikatnya memang semua dari Tuhan, tetap dari segi adabnya setiap kejayaan disandarkan kepada Tuhan dan apabila gagal maka disandarkan kepada kelemahan diri. Baginilah sikap para hamba yang beradab dan berakhlak kepada Tuhan. Disebalik kegagalan itu terhimpun berbagai hikmah dan pengajaran. Ada maksud baik dari Tuhan, hanya kita para hamba yang akal amat terbatas, maka tidak memahami maksud baik Allah swt itu.

3.    Manusia ada cita-cita dan kemahuan, maka diuasahakan. Namun apa yang sering berlaku, lain yang dicita-citakan lain pula yang diperolehi. Rasakan bahawa begitulah sukatan Tuhan keatas kita dalam aspek kehidupan. Terimalah seadanya kerana begitulah yang Tuhan kehendaki untuk kita. Situasi begini semua manusia kena terima dan tidak dapat dielakan. Hikmah besar disebaliknya ialah agar para hamba dapat merasakan bahawa Tuhan boleh berbuat apa saja menurut apa yang Tuhan kehendaki. Seluruh alam semesta ini asalnya dari tiada, kemudia Tuhan adakan. Apakah setelah Allah swt adakan maka Allah swt berlepas tangan? Tidak gerak dan tidak diam sesuatu itu melainkan dengan izin Allah swt.

4.    Banyak perkara yang manusia tidak mahu berlaku dalam hidupnya seperti penyakit, susah, bencana dan lain-lain. Maka diusaha menghindarinya. Kalau berjaya rasakan bahawa Allah swt yang memberi bekas dan memberi kejayaan, bersyukurlah kepada Allah yang mentadbir tiap-tiap sesuatu.

5.    Banyak perkara yang dibenci, yang kita tidak mahu terjadi dalam hidup. Setelah diusahakan, namun terjadi juga. Maka rasakan bahawa disebalik semua itu ada maksud baik dari Tuhan, banyak hikmah dan pengajaran. Sekurang-kurangnya untuk kita insaf dan sedar serta bersungguh-sungguh kembali kepada Tuhan. Dalam sebuah hadis Qudsi ada firman Allah yang disabdakan oleh Rasulullah saw bermaksud, “ Apabila seorang hamba itu tercatit namanya satu darjat dalam syurga. Hamba itu tidak berupaya mencapainya dengan amalan. Maka Tuhan datangkan ujian yang dengan itu dia bersabar. Maka kekal namanya dalam syurga itu.” Itu kalau satu darjat, betapalah kalau Tuhan letakan pada darjat yang lebih tinggi. Sebab itu ujian kepada manusia ini sangat terletak pada taraf keimanan seseorang. Semakin tinggi taraf iman seseorang maka semakin beratlah ujian. Sebab itu Tuhan datangkan ujian paling berat adalah terhadap para Rasul. Dikalangan Rasu-Rasul pula yang paling berat adalah Baginda Nabi Muhammad saw.

Rasulullah juga ada menyebut dengan maksud, “Tidaklah seseorang itu tertusuk selumbar melainkan untuk Allah hapuskan dosanya.” Manakala itu dalam hadis yang lain Rasulullah saw mengingatkan bahawa akibat dosalah maka Tuhan datangkan kesusahan hidup terutamanya kesempitan rezeki. “Tidaklah Allah tahan rezeki seseorang itu dari atas, bawah, kiri, kanan, depan dan belakang melainkan atas sebab dosa yang dilakukannya.” Kalau ini berlaku kepada kita maka banyakkanlah bertaubat.

6.    Banyak perkara yang berlaku kepada manusia samada berbentuk positif mahu pun yang negatif adalah perkara yang manusia tidak pernah terfikir atau terlintas. Ini lebih lagi kita kena merasakan betapa Allah swt itu maha berkuasa. Setiap hari berbagai perkara dan peristiwa yang kita tidak terlintas akan berlaku. Dapatkah kita menolaknya kalau sesuatu itu sifatnya yang kita tidak mahu? Cubalah renungkan. Semua itu terjadi maksud Tuhan yang paling utama ialah agar manusia kembali kepada Tuhan.

Andainya semua enam aspek ini dapat dihayati maka semakin hampirlah seoarang hamba itu mendapat kebahagiaan syurga yang disegerakan. Kerana dia adalah orang yang merasakan Tuhan  segala-segalanya. Mendapat Tuhan ertinya mendapat segala-galanya. Kehilangan Tuhan ertinya kehilangan segala-galanya. Orang yang kehilangan Tuhan dalam keadaan senang pun tidak terhubung hatinya dengan Allah swt bahkan kadang-kadang derhaka kepada Tuhan. Dalam kedudukan kaya, berkuasa, cerdik, tidak merasakan semuanya adalah milik Tuhan. Dalam keadaan susah, menderita, menjadi rakyat jelata pun terputus juga dari Tuhan, tidak sabar, tidak redha dan terus melupai Allah swt.