MENGAPA TIDAK NAMPAK KUASA TUHAN

MENGAPA kita tidak boleh berfikir
Kalau kita berkuasa, ada yang Maha Berkuasa
yang berkuasa ke atas kita
Agar kita tidak melakukan sewenang-wenangnya
dengan kuasa yang ada
Kerana yang Maha Berkuasa bila-bila masa sahaja
boleh merentap kuasa kita
Jika kita berilmu, mengapa kita tidak merasakan
Tuhan itu mengetahui diri kita
Dia tahu lahir dan batin kita
Agar kita malu sentiasa dengan Tuhan
dan takut hendak membuat dosa
Kalau kita kaya mengapa kita tidak boleh berfikir
bahawa sedikit daripada kekayaan Tuhan ini
diberi kepada kita
Supaya kita terasa Maha Kayanya Tuhan
Agar kita malu selalu dengan Tuhan
dan boleh bersyukur kepada-Nya
Di dalam pengalaman hidup kita
bukankah berbagai keadaan telah kita tempuh
Ada yang kita suka, ada yang kita tidak suka
Ada yang dari kemahuan kita, banyak pula
yang bukan daripada kemahuan kita
Yang menakutkan dan yang menggembirakan
Senang, susah, miskin, kaya silih berganti
Mengapa engkau tidak nampak kuasa Tuhan,
kehendak dan kebesaran-Nya
Apakah pengalaman kita ini
terjadi dengan sendirinya?
Sedangkan kita tidak campur tangan
Tapi ia terjadi, bahkan sering sahaja terjadi
Terjadinya silih berganti
Tidak nampak lagikah pentadbiran Tuhan?                                                                    Masih belum tahu lagi sebahagiannya
adalah Rahmat Tuhan?
Selainnya ada yang Jabbar dan Qahhar-Nya,
Ilmu-Nya, kuasa-Nya dan kehendak-Nya?
Sudah gersangkah fikiran kita
Sudah matikah jiwa kita
Sudah butakah mata kita?

Advertisements