MAHA HEBATNYA TUHAN

MENGAPA engkau tidak terasa Maha Hebatnya Tuhan
Maha Berkuasa yang tidak ada tara dan tolok bandingnya
Kerana itulah engkau tidak takut pun kepada-Nya
Engkau tidak takutkah berhadapan
dengan Zat yang Maha Agung
Penglihatan-Nya berlaku serentak seluruh yang wujud
Sekalipun sebesar habuk tidak terkecuali daripada
penglihatan-Nya
Dan penglihatan-Nya tidak pernah rehat
sekalipun sekadar kerdipan mata
Pengetahuannya pun meliputi seluruh yang wujud
mahupun yang tidak wujud
Yang dahulu mahupun yang kemudian
Yang sudah luput mahupun yang masih wujud
Tidak pernah pun tercicir walau sebesar habuk
yang halus yang dilupakan-Nya
Pendengaran-Nya seluruh yang wujud, kecil dan besar,
bersuara atau tidak seluruh yang ada
Tidak ada satu benda tidak ada di dalam kekuasaan-Nya
sekalipun sebesar debu yang maha halus
Qudrah-Nya tidak menggunakan tenaga seperti makhluk
Iradah-Nya lulus kerana ia berlaku
bukan dari perasaan-Nya
Tuhan Berkehendak bukan mengikut perasaan
atau nafsu-Nya
Kerana Zat-Nya yang Maha Suci sudah sedia
mempunyai sifat kehendak
Kemampuan sifat Qudrah-Nya luar biasa
kerana bukan menggunakan tenaga
Sebut sahaja ada, berlaku ada,
sebut sahaja tiada, berlakulah tiada
Keagungan-Nya, kesempurnaan-Nya,
kemuliaan-Nya tidak pernah luak                                                                                          Bahkan tidak pernah bertambah
Kalau berlaku pertambahan
bererti sebelumnya ada kekurangan atau luak
Kerana segala-galanya sudah sedia sempurna
Yang tidak perlu disempurnakan lagi
Apakah engkau tidak gerun
dengan Zat yang Maha Agung,
Maha Hebat dan serba Maha ini
Apakah engkau boleh melupakan Zat-Nya begitu sahaja
Tanpa terasa apa-apa di dalam hati dan jiwa engkau
Engkau sebenarnya telah diserang oleh penyakit jiwa
yang bukan penyakit jiwa yang biasa