ORANG ZUHUD DIKASIHI ALLAH

Rasulullah bersabda lebih kurang maksudnya, “Jika kamu hendak dikasihi Allah, maka hendaklah kamu zuhud dengan dunia”.
Hadis ini menerangkan kepada kita bahawa untuk mendapat kasih sayang Tuhan, maka yang perlu kita perbuat di dunia ini ialah zuhud kepada dunia. Yang dikatakan zuhud itu bukanlah boleh diukur kepada miskin atau kaya. Sesetengah orang berpendapat miskin itu zuhud dan kaya itu tidak zuhud. Tidak sebegitu dan tidak semestinya. Malah ada juga yang menyatakan zuhud itu menolak atau membuang dunia. Salah tafsir ini perlu diperbetulkan.
Zuhud itu letaknya di hati. Dikatakan zuhud bila hati tidak cinta dunia. Hanya sanya dunia itu dijadikan sebagai saluran untuk membesar dan mengagungkan Tuhan. Biarpun kaya, kaya digunakan untuk jalan Tuhan. Biarpun miskin, hatinya tetap dengan Tuhan dan tak terikat dengan dunia. Maksudnya di sini, orang zuhud bukanlah menolak dunia. Dunia itu diambil sekadar keperluan. Selebihnya digunakan di jalan Tuhan.
Diceritakan bahawa pernah Sayyidina Ali, pergi melihat sebuah masjid dan dilihatnya di situ ada halaqah pengajian. Yang mengajar itu adalah Hasan Basri, seorang remaja belasan tahun umurnya walhal orang-orang yang mendengar itu kebanyakannya orang dewasa. Timbullah niat di hati Sayyidina Ali untuk menguji apakah Hasan Basri benar-benar layak mengajar. Ditanya kepada Hasan Basri, “apakah yang boleh menyelamatkan manusia?” “Zuhud”, jawab Hasan Basri secara spontan. Maka, yakinlah Sayyidina Ali yang Hasan Basri itu mempunyai kelayakan untuk mengajar hanya kerana dapat menjawab dengan tepat soalan beliau. Pengajaran daripada kisah ini dapatlah kita ketahui bahawa zuhud adalah kunci kepada keselamatan manusia. Manakan tidak, hadis di atas juga telah meletakkan orang zuhud sebagai orang kesayangan Allah. Sudah pasti orang kesayangan Allah itu akan terselamat di dunia juga di Akhirat. Selama mana seseorang itu boleh zuhud, selagi itulah dia akan terselamat.
Tuhan ada berfirman, “Tidak ada dua hati dalam diri anak Adam” (Al-Ahzab:4) . Hati manusia ini kalaulah tanpa zuhud, nescaya akan diisi dengan cinta dunia. Seolah-olah hati manusia itu menjadi rebutan, bertarik-tarik antara zuhud dan cinta dunia. Amat malang, jika hati terarah kepada cinta dunia, maka tiadalah lagi keselamatan kepada manusia itu. Benarlah sabda Nabi tentang dunia ini iaitu: “Cinta dunia adalah kepala bagi segala kejahatan.” Daripada cinta dunia, lahirlah berbagai kejahatan lain seperti hasad dengki, pemarah dan sombong. Semua ini bukan sahaja merosakkan empunya diri tetapi boleh juga merosakkan orang lain. Hakikat krisis dan perpecahan umat yang berlaku hari ini adalah disebabkan dengan penyakit cinta dunia ini. Selagi penyakit cinta dunia ini tidak diungkai daripada hati manusia, selagi itulah manusia akan terus berkrisis dan bersengketa. Tidak akan aman dunia ini dengan adanya manusia-manusia yang bersarang cinta dunianya.
Lagi, bila kita kaji dan teliti hadis ini, orang zuhud itu disayangi Tuhan kerana hati orang zuhud itu sudah tidak terikat dengan dunia lagi. Apa maksudnya? Dunia bila sudah masuk hati, maka rasa-rasa dengan Tuhan akan menjauhi. Tapi bila dunia itu sudah dibuangkan daripada merajai hati, maka mudahlah rasa-rasa dengan Tuhan itu masuk dan menguasai hati. Justeru, selarilah rasa hati seseorang itu dengan kehendak-kehendak Tuhan. Jadilah, dia itu orang yang memahami kehendak dan peranan Tuhan dalam kehidupan.
Disebut tadi, zuhud itu mengambil dunia sekadar perlu. Dan selebihnya digunakan untuk jalan Tuhan. Itu ilmunya. Nak berbuat, tidaklah semudah yang diceritakan. Ianya perlukan mujahadah. Kena benar-benar mengekang nafsu daripada berkehendak kepada yang tidak perlu. Kena benar-benar merasai kesusahan orang lain agar mudah harta dunia itu dialihkan kepada orang yang susah. Kena benar-benar ada jiwa untuk memperjuangkan Tuhan, barulah dunia itu disalurkan untuk perjuangan fisabilillah. Kuat mujahadah, maka lemahlah nafsu mencintai dunia, Sebaliknya, bila lemah mujahadah, jadilah nafsu itu kuat dalam mencintai dunia.
Advertisements

KEMENANGAN

Menceritakan tentang kemenangan, janganlah kita melihat kemenangan itu pada satu-satu sudut sahaja. Kemenangan itu perlu dilihat secara global. Kemenangan itu mula-mula sekali perlu diketahui, ada kemenangan di dunia dan ada kemenangan di akhirat. Maksudnya di sini, ia boleh kita perolehi di dunia, yang mana ini bersifat sementara dan boleh juga kita mendapatnya di akhirat, ini bersifat hakiki. Boleh kita dapat salah satu, dan boleh juga kita dapat kedua-duanya.

Mari kita ceritakan dahulu tentang kemenangan di dunia. Kemenangan di dunia ini terbahagi kepada dua, ada kemenangan berbentuk lahiriah dan ada kemenangan berbentuk batiniah atau rohaniah. Yang lahiriah itu lebih berbentuk material seperti mendapat kuasa kerajaan, menang perang ataupun mendapat harta. Yang rohaniah pula adalah seperti meningkat iman, boleh khusyuk dalam sembahyang, rasa berdosa, rasa bertuhan dan tenang dengan masalah dunia. Kemenangan lahiriah tiada jaminan Tuhan. Kemenangan lahiriah adalah nikmat Tuhan yang belum tentu berserta rahmatNya. Kemenangan lahiriah boleh jadi Tuhan beri atas rahmatNya dan boleh jadi juga berlaku secara istidraj atau kemurkaanNya. Manakala kemenangan rohaniah sudah pasti berlaku atas rahmat dan kasih sayang Tuhan. Ia disebut juga sebagai al jannatul ‘ajilah atau syurga yang disegerakan. Kemenangan rohaniah ada jaminan selamat dari Tuhan. Kalau tidak di dunia, di akhirat selamat. Itu sebabnya dalam hendak mengusahakan kemenangan, eloklah diusahakan kemenangan rohaniah terlebih dahulu. Ataupun setidak-tidaknya, dua-dua itu hendaklah berjalan seiringan.

Kemenangan di akhirat pula, adalah anugerah Allah atas kemenangan rohaniah yang kita dapati di dunia. Lazimnya, orang yang mendapat kemenangan rohaniah di dunia, sudah Allah sediakan kemenangan di Akhirat. Kemenangan di akhirat ini boleh diberi contoh, seperti mendapat keampunan Tuhan, dilepaskan daripada azab neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. Kemenangan di akhirat adalah kemenangan hakiki. Kemenangan yang selalunya diperkatakan Tuhan dalam Al-Quran banyak menjurus kepada kemenangan di Akhirat. Kemenangan di Akhirat inilah yang sepatutnya menjadi cita-cita setiap hamba Tuhan di muka bumi ini.

LEMAH JIWA vs KUAT JIWA

Di antara ciri-ciri orang yang lemah jiwa banyak macamnya
Memuji diri termasuk orang lemah jiwa kerana hendak menghibur hatinya
Termasuk juga ingin dipuji tanda lemah jiwa
Kalau tidak dipuji terseksa jiwanya
Termasuk yang lemah, jiwa rasa bangga, hati selalu berbunga apabila berjaya

Hairankan diri termasuk juga lemah jiwa
Ego atau sombong lebih-lebih lagilah lemah jiwa
Dia ambil sifat yang bukan sifatnya
Itu adalah sifat Tuhan yang Maha Agung lagi Maha Berkuasa

Rupanya lemah jiwa orang yang berjaya dengan orang yang tidak berjaya tidak sama
Orang yang tidak berjaya rasa kecewa, kemuncaknya putus asa begitulah lemah jiwanya
Yang berjaya seperti yang telah dicerita
Orang yang tidak lemah jiwa biasa sahaja, tenang hidupnya
Samada hidupnya berjaya mahupun hidupnya tidak berjaya

Orang yang kuat jiwanya macam mana pula agaknya?
Bagaimana pun keadaan hidupnya tenang sahaja
Di dalam keadaan apa pun sama sahaja
Mengapa seseorang itu kuat jiwanya
Apakah rahsianya kuat jiwanya?
Kerana dia kuat dengan Tuhannya
Dia tahu rahsia Tuhan mengapa dia diperlakukan oleh Tuhannya
Kerana Tuhannya dia tenang sahaja
Itulah dia orang yang kuat jiwanya
Kerana pautan dengan Tuhanlah menjadikan kuat jiwanya.

BERTIMBANG RASA

Bertimbang rasa salah satu daripada sifat peri kemanusiaan

Bertimbang rasa, menimbang perasaan orang lain berdasarkan perasaan kita

Fitrah manusia adalah sama

Perasaan adalah fitrah manusia

Kalau kita sensitif dengan perasaan manusia, berdasarkan perasaan kita

Kita sangat bertimbang rasa kepada semua manusia

Untuk dapat difaham saya membawa beberapa contoh, berdasarkan perasaan kita

Kita tidak suka orang sombong dengan kita, sepatutnya kita tidak sombong pula dengan manusia, mereka juga tidak suka

Orang bercakap kasar dengan kita, kita tidak suka, logiknya kita tidak suka bercakap kasar dengan mereka

Kita tidak suka orang memerli-merli dan menyindir-nyindir kita, tentulah sepatutnya kita tidak akan lakukan kepada manusia

Orang hasad dengki dengan kita, kita tidak suka, sepatutnya kita tidak suka berhasad dengki dengan sesiapa

Begitu juga kita tidak suka orang menghina kita, kita juga sepatutnya tidak suka menghina orang

Dibawa lagi beberapa contoh di sini

Di waktu kita susah, kita suka ada orang menolongnya, sepatutnya tentulah kita suka pula menolong manusia

Kita suka orang memberi maaf  kepada kita, sepatutnya kita juga suka sekali memberi maaf kepada mereka

Perasaan manusia sama

Orang pemurah kepada kita, kita suka, sepatutnya kita suka pemurah dengan manusia

Orang boleh membuat baik kepada manusia lain berdasarkan dorongan perasaan hatinya, kerana perasaan manusia sama

Itulah dia yang dikatakan tinggi perikemanusiaannya

Perlu diingat membuat baik atas dasar perkemanusiaan semata-mata pahalanya tidak ada

Pahala didapati mesti perasaan dan dorongan itu atas dasar iman

Dia membuat kerana perintah Tuhannya yang Maha Esa lagi Maha Pengasih dan

Maha Penyayang

Seseorang itu baik berdasarkan peri kemanusiaan itu adalah baik berdasarkan fitrah semulajadi

Kalau ia tidak ditunjang oleh iman pahalanya tidak ada, di Akhirat masuk Neraka

Oleh itu kebaikan itu biarlah berdasarkan iman bukan berdasarkan perikemanusiaan

atau perasaan

Di akhir zaman ini kebaikan atas dasar kemanusiaan pun sudah tidak ada

Alangkah Susah Mencari Kawan Yang Sejati

Kalau kita duduk sekampung, kita berkenalan dengan orang kampung, berjumpa dan bertemu di masjid, kedai, di rumah orang kenduri, di perselisihan jalan, di dalam mengurus keperluan kita, itu bukan kawan namanya, itu adalah kenalan kita .

Bertemu dan berjumpa di tempat kerja, masing-masing membuat urusan masing-masing. Sekali-sekala bertegur sapa, kemudian tidak ambil tahu satu sama lain juga kenalan .

Orang yang kita temui di dalam perjalanan, di dalam menjalankan tugas kita, kita lihat dia, dia melihat kita ,senyum dari jauh sahaja, itu juga bukan kawan kita.

Orang yang kita   temui di dalam perjalanan pergi kerja, berselisih di jalan sahaja ,berkenalan tidak sempat, bahkan tidak tahu-menahu satu sama lain,  lebih-lebih lagi itu bukan kawan setia.

Tapi setengah  orang di dalam berbual dengan orang,  orang yang sekadar berjumpa itu dikatakan kawannya.

Kalau ada orang bertanya polan-polan itu duduk di kampung ini, saya kenal dia di tempat kerja, kita pun berkata, “Oh itu kawan saya”

Pernah di dalam pergaulan, ada orang berkata dengan kita saya kenal sipolan, sipolan itu, kita pun berkata, “Oh dia itu kawan sepersekolahan saya”

Begitulah seterusnya ,mudah kita  berkata dia kawan saya, dia sekampung dengan saya.

Oh dia itu kawan saya, sama sedarjah dengan saya di waktu belajar dahulu ,di  sekolah menengah di tempat saya.

Dia itu kawan baik saya, sama-sama bekerja di dalam tentera, lama bersamanya.

Gambaran yang disebutkan tadi itu bukan kawan, itu adalah kenalan

Mencari kenalan mudah, mencari kawan susah.

Kawan di dalam Islam bukan sekadar satu agama, sama-sama beragama Islam.

Kawan itu selain seagama , ia adalah sama-sama mempunyai cita-cita agama.

Kawan seperjuangan di dalam satu jemaah, di bawah satu pemimpin, menuju satu cita-cita, cintakan Tuhan.

Sikap kita dan dia adalah sama.

Kesusahan kita kesusahan dia, kesusahan dia kesusahan kita.

Kegembiraan kita kegembiraan  dia, kegembiraan dia adalah kegembiraan kita

Kita dan dia bela-membela, keluarganya keluarga kita, keluarga kita keluarganya.

ADAB DALAM PERGAULAN

Cintailah Allah takutilah Dia, kasihilah sesama manusia
Maaf-bermaafan sesama jadikan budaya
Yang miskin dibantu  yang kaya membantu
Rasa bersama dan bekerjasama perlu ada
Bertolak ansur di dalam pergaulan mestilah ada
Bertolong bantu sesama bertolak ansur di dalam kehidupan
Ziarah-menziarahi waktu perlu jangan ditinggalkan
Ia adalah di antara rukun masyarakat manusia
Tinggalkan sombong, mencari nama dan glamor
Kerana ia dilarang oleh Allah Tuhan kita
Orang benci, orang tidak suka, orang mengata
Hanya tersinggung, boleh membawa renggang sesama manusia
Jauhilah dosa dan noda yang membawa ke Neraka
Tuhan benci, Tuhan murka manusia juga tidak suka
Buat baiklah sesama manusia sedaya upaya
Kerana itu boleh membawa kasih sayang dan mesra
Aib orang jangan dibuka bahkan ditutup
Ia adalah satu sifat yang mulia lagi disuka
Menutup aib orang Tuhan akan menutup aib kita
Begitulah Tuhan menyuruh menutup aib sesama manusia