INGATLAH TUHAN WALAU DI MANA

BANGUN, bangun tidur sahaja di waktu Subuh,
mulakan dengan Tuhan
Dia adalah Kawan Setiamu
Apabila nanti kamu menyembah-Nya,
biarlah rasa puas
Kerana segala ikrar, seluruh bentuk pengaduan
engkau telah panjatkan
Selepas itu kalau perlu makan, makanlah
Ingatlah lebih dahulu nikmat yang di hadapanmu itu
anugerah-Nya
Dan rasakan kita tidak layak menerimanya
Tapi Allah Taala dengan kemurahan-Nya diberi-Nya juga
Agar kita merasa malu berhadapan dengan nikmat Tuhan,
kerana Ia memerhatikan
Kemudian mulakanlah makan
dengan menyebut nama-Nya
Janganlah lupa menyebut nama-Nya lebih dahulu
Selepas itu berjalanlah pergi membuat kerja
atau menunaikan kewajipan masing-masing
Tapi ingatlah, bawa Tuhan bersama
Dia adalah Kawan Setia kita
Di tempat kerja jangan lupa lagi Tuhan bersama kita
Ia memerhati dan melihat kerja-kerja kita
Selesai bekerja, menjelang pulang ingatlah
bahawa Tuhan bersama kita
Rasa malulah, jagalah mata, jagalah telinga,
Dia melihat kita
Sampai di rumah, masuklah ke rumah bersama Tuhan
Apabila mengerjakan sembahyang Maghrib dan Isyak
Sembahyanglah puas-puas
Ertinya kita bercakap-cakap dengan Tuhan
dengan sepenuh hati seperti Subuh tadi
Selepas itu tidurlah bersama Tuhan
Ertinya sepanjang hidup kita
Kita mulakan dengan Tuhan
dan kita tutuplah dengan Tuhan
Di waktu itu kita mati, di waktu mana
dan bagaimana pun tidak mengapa
Kerana seluruh hidup kita
telah mengikut disiplin Tuhan