IMAM ABU HASSAN ASHAARI DAN SIFAT 20

Imam Abu Hassan Ashaari adalah seorang mujadid (orang yang memperbaharui agama atau refomis). Masalah utama yang dihadapi di zamannya ialah masalah kerosakan aqidah umat Islam. Aqidah umat Islam ketika itu rata-rata telah dilanda kesesatan, dirosakkan dan diselewengkan oleh berbagai-bagai unsur dan fahaman yang wujud di waktu itu termasuklah fahaman Jabariah,  Qadariah dan Muktazilah  yang banyak bersandarkan hujah akal. Ia sudah sampai ke tahap krisis yang sangat besar dan umat Islam ketika itu berhadapan dengan wabak kerosakan dan penyelewegan aqidah yang berleluasa.

                Di waktu itu, soal penghayatan aqidah sudah menjadi perkara kecil dan orang yang mahu terlibat dengan usaha penghayatan aqidah ini tidaklah ramai. Soal utama ketika itu ialah untuk memelihara dan menyelamatkan aqidah orang ramai dan masyarakat umum supaya tidak tergelincir dan tidak dipengaruhi oleh fahaman-fahaman Muktazilah yang sesat. Inilah yang menjadi soal pokok dan soal utama di waktu itu yang mengatasi segala soal dan masalah yamg lain. Inilah senario yang menjadi sebab munculnya sifat 20 ini.

                Jesteru itu kita lihat, sifat 20 ini, susunannya sungguh rapi, ringkas, mudah difaham, mantap dan walaupun hanya 20 sifat Tuhan yang diketengahkan , ia sudah mampu dan memadai untuk menangkis segala fahaman karut-marut dan khurafat yang dibawa oleh fahaman-fahaman Jabariah, Qadriah dan Muktazilah. Kita dapat lihat bahawa sifat 20 ini mempunyai satu kuasa keramat yang mampu memelihara aqidah umat Islam dan dapat memberi kekuatan kepada umat Islam untuk menangkis segala serangan syaitan dan konco-konconya untuk merosakkan aqidah, meragukan dan menanam perasaan was-was dalam hati umat.

                Di sinilah letaknya kekuatan sifat 20 yang diajar oleh Imam Abu Hassan Ashaari ini. Ia sangat berkesan untuk menanam aqidah dalam fikiran manusia secara mudah dan berkesan  untuk mempertahankan aqidah manusia itu dari serangan-serangan yang merosakkan. Sifat 20 ini sebenarnya telah berjaya mencapai maksud yang dikehendaki oleh Imam Abu Hassan Ashaari dengan cemerlang dan jayanya.

BAIKI DIRI

Untuk menjadi insan yang sempurna, keinsanan kita perlu dibina dan dibangunkan. Kita perlu memperbaiki Diri. Kita perlu mendidik diri. Memperbaiki diri itu ialah memperbaiki hati. Mendidik diri itu ialah mendidik hati. Kerana yang dijadikan baik itu ialah hati, bukan jasad lahir  dan paras rupa. Hati itulah sebenarnya hakikat diri.

Kalau hati baik, akal akan ikut baik, nafsu akan Ikut baik dan seluruh anggota lahir juga akan ikut jadi baik. Seperti sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya : “ Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Kalau baik daging itu maka baiklah orangnya. Kalau jahat daging itu, maka jahatlah orangnya. Ketahuilah itulah hati.”

                Dalam membina insan ini, kita tidak boleh rehat. Kita tidak boleh berhenti. Ia tidak boleh bermusim. Ia mesti diteruskan selagi kita bernafas dan bernyawa. Berhentinya pembinaan insan ini apabila kita mati. Kerana unsur yang merosakan insan tidak pernah berhenti. Dunia tidak pernah rehat daripada menggoda kita. Syaitan tidak pernah rehat daripada menipudaya kita. Nafsu tidak pernah rehat mengajak kita kepada kejahatan. Kalau kita berhenti membina insan kita, kita pasti akan terjerumus ke dalam lembah yang hina.

Muslim Yang Cemerlang, Gemilang Dan Terbilang

Bukan senang hendak mencari seorang Muslim yang cemerlang, gemilang dan terbilang
Betapa pulalah satu bangsa lebih-lebih lagilah jarang dan kurang
Dia seorang yang takut dan cintakan Tuhan, ibadah tidak dicuaikan
Masa yang sama dia maju di dalam pelajaran, kreatif, aktif dan tidak jahat dan curang
Dia seorang yang berjaya di bidangnya tapi tidak cintakan dunia
Dunia yang dimilikinya dapat diagih-agih dan dapat dimanfaatkan kepada semua manusia
Dia maju di dalam hidupnya sombongnya tidak ada, bahkan merendah diri sentiasa
Kelebihan yang ada padanya, untuk agama, bangsa dan negaranya
Tidak megah, tidak menunjuk-nunjuk bahkan tawadhuk, bermesra sesama manusia
Walaupun berjaya tapi tidak suka dipuji dan disanjung-sanjung tinggi
Jika dipuji dia malu menerimanya, bahkan jiwanya terseksa
Kesenangannya yang dimilikinya selalu membantu yang tidak punya
Dia tidak tamak, tidak mementingkan diri, orang yang meminta bantuan ditolongnya
Bahkan sentiasa sahaja simpati dengan orang yang tidak berada
Dirinya adalah aset bangsa dan negaranya kerana kemampuannya
Di dalam dia maju berkasih sayang, di dalam dia berjaya hormat dengan manusia
Dunianya maju dan berjaya, Akhiratnya terserlah di dalam ibadahnya,
perjuangannya dan akhlaknya
Dunia di dalam tangannya, syukurnya nampak pada perbuatan dan sikapnya
Di dalam kejayaan tidak pula menghina orang yang ketinggalan dan kecundang
Padanya setiap kejayaan yang diperolehinya adalah anugerah Tuhan,
bertambah malu lagi dengan Tuhannya
Itu baru contoh cemerlang, gemilang dan terbilang bagi seseorang
Kalau majoriti berlaku kepada satu bangsa umat Islam di sesebuah negara
Itulah yang dikatakan umat Islam yang cemerlang, gemilang dan terbilang
Sudah wujudkah di mana-mana sebuah negara Islam
yang cemerlang, gemilang dan terbilang
Jika sudah berlaku tentulah negara itu menjadi tempat rujuk dunia Islam

Doa Seorang Motivator

Tuhan, jagalah hatiku
Agar aku tidak riak dengan kuliahku
Biasanya memberi kuliah ini riak payah dielak
Sesetengah orang itulah yang dicari
Jadikanlah bidangku ini ibadah kepadaMu
Jauhkanlah hatiku ini dari mencari nama dan glamour

Apalah ertinya nama dan glamour jika Engkau murka
Apatah lagi di Akhirat sana, menyesal tidak berguna
Ikhlaskanlah hatiku Ya Allah, agar kerjaku ini jadi ibadah

Ya Allah, jadikanlah aku memberi kuliah ini
Sebagai salah satu bidang dakwah
Mengajak manusia membesarkan dan mencintaiMu
Aku berlindung denganMu
Agar tidak mengajak manusia memuja diriku
Aku tidak mahu semuanya itu Ya Tuhanku
RedhaMu itulah yang aku mahu

Tuhan, jadikanlah nasihat yang aku beri
Melalui kuliah ini untuk aku dahulu
Kemudian mereka yang mengikuti kuliahku
Aku berlindung denganMu
Daripada mendapat komersial dan nama

Tuhan, jagalah hatiku selalu
Biarlah aku memberi kuliah ini keranaMu
KeredhaanMu amat penting bagiku
Apalah ertinya pujian manusia terhadapku
Di Akhirat, aku dihukum dengan neraka
Ampunkanlah aku

Renungan untuk mengubah sikap

Renungilah kata2 madah ini, moga2 madah ini dapat mengingatkan kita tentang dosa yang selalu kita lupakan , moga dengan mengingati dosa , datang rasa2 kehambaan , kerana rasa2 inilah yang Tuhan mahu di dalam sebarang tindakan;

1- “Setiap hari kiralah dosa-dosa kamu, setidak-tidaknya mengingatinya, janganlah kenang kebaikan kamu, anggap sahajalah tidak ada kebaikan”

2- “Merintihlah dengan dosa, janganlah merintih dengan buta, menangislah dengan dosa, jangan menangis dengan orang menghina, sedihlah dengan dosa, janganlah sedih dengan orang kata.”

3- “Kita hamba Allah ini kenalah menyesal selalu, lebih-lebih lagi di waktu bersalah, mengeluhlah selalu nasib kita belum tahu, merintihlah selalu terutama dengan dosa-dosa kita, mengakulah lemah di hadapan Tuhan sekalipun kita serba ada, menangislah selalu kerana kita tidak dapat elak dari dosa moga-moga dengan cara ini Allah rahmati kita.”

4- “Jika kita mengingati dosa kita, tidak nampak lagi kebaikan kita, apatah lagi untuk dibanggakan”

5- “Jika kita membuat dosa, tidak terasa dengan dosa, kita telah membuat dua kali dosa, satu kerana dosa yang dibuat, keduanya kerana tidak merasa berdosa.”

6- “Rasakanlah diri kita sentiasa berdosa, sekalipun kita tidak nampak dosa kita, apatah lagi jika nampak, agar kita dapat mengekalkan sifat kehambaan yang kita ini memang hamba.”




7- “Sebenarnya hukuman Allah kepada manusia di atas kesalahannya setiap hari berlaku. Cuma berat atau ringan dan bentuknya tidak sama di antara satu sama lain. Namun manusia tidak mahu juga dijadikan pengajaran. Justeru itu layaklah manusia ini dihukum sekali lagi di Akhirat kelak”.

8- “Banyak orang mengambil berat tentang dosa-dosa lahir tetapi mengabaikan dosa-dosa batin.”

9- “Banyakkan mengingat dosa-dosa kita daripada mengingat amal kebajikan kita, cara ini lebih menyelamatkan kita di Akhirat kelak.”

10- “Orang yang halus perasaannya, orang lain yang bersalah dia yang rasa bersalah, orang lain yang buat dosa dia yang merasa berdosa, ada orang mati kelaparan, dia yang merasa bersalah. Betapalah kalau dia sendiri yang bersalah atau buat dosa, terseksa jiwanya sepanjang masa.”

11- “Dosa walaupun kecil jangan diremeh-remehkan, dosa tetap dosa, dosa tetap dianggap derhaka, dosa sekalipun kecil kalau Allah tidak ampunkan tetap Neraka.”


12- “Adakalanya orang yang menyalahkan orang yang membuat salah, dosanya lebih besar daripada orang yang membuat kesalahan, atau membuat dosa kalau dosa itu tersembunyi dibongkarnya, atau menuduh atau menghukum, terlebih atau keterlaluan daripada kesalahan yang dibuatnya.”

13- “Dua orang atau lebih yang membuat satu dosa yang sama nilainya, setiap orang itu rasa berdosa tidak sama, mesti ada lebih, ada kurangnya mengikut ketaqwaan masing-masing, atau mengikutlah tingkatan iman masing-masing.”

14- “Kalau orang telah mengabaikan dosa-dosa lahir, dosa-dosa batin lebih-lebih lagi terabai”


15- “Kalau seseorang itu tidak bimbang dengan dosa lebih-lebih lagi setelah terlibat dengan dosa tidak pun hati merintih dengan dosa itu ditakuti mati di dalam suul-khatimah.”

16- “Hidup di dunia ini macam mimpi aja, kerana terlalu singkatnya dibandingkan hidup di Akhirat yang kekal abadi. Masanya tiada bertepi. Gambarkan kalau di Syurga alangkah indahnya, jika di Neraka alangkah parahnya.”

17-“Tidak mesti benda yang besar itu bernilai atau yang paling bernilai. Di dunia ini benda yang paling bernilai dan mahal, ialah benda yang paling kecil iaitu intan dan mutiara. Begitulah amal ibadah di sisi Allah itu, Allah tidak mengukur tentang banyak atau dipandang besar, tapi amal ibadah yang paling ikhlas yang kita buat, sekalipun ibadah itu kecil sahaja pada pandangan mata manusia.”

18-“Orang yang bergantung kepada amal ibadah, ibadahnya menghijab di antaranya dengan Allah.”

19- “Anggaplah kita ini orang dagang di dunia ini, bahkan merasakan demikian setiap waktu, agar kita tidak terpaut dengan dunia, dan mendorong kita buat persiapan untuk balik ke Akhirat, dengan cara ini Insya-Allah kita akan selamat”

20- “Kalau seseorang itu dianggap bodoh kerana tidak membuat persiapan di hari tua yang masanya terlalu terbatas.Logiknya lebih bodoh lagilah orang yang tidak membuat persiapan di waktu selepas mati yang masanya tidak berkesudahan.”

Antara ilmu dan amal

Memberi ilmu kepada murid mudah, mengajak murid mengamalkan ilmu amat susah

Membanyakkan ilmu mudah, membanyakkan amalan susah sekali

Ahli ilmu ramai, ahli amal tidak ramai

Ramai para guru dapat memandaikan murid-muridnya

Tapi ramai para guru gagal mengajak muridnya beramal

Kalau ahli-ahli ilmu ghairah beramal tidak sempat hendak menbincangkan tentang ilmu kecuali sedikit sekali dengan tujuan beramal

Orang yang kurang ilmu tapi beramal dari amalannya itu akan mendapat ilmu atau menambah ilmu

Ahli ilmu yang tidak beramal, ilmunya itu akan bertambah berkurang

Ilmu apabila diamalkan baru dapat faedah

Bahkan adakalanya faedahnya melimpah ruah kepada orang ramai

Hari ini ahli ilmu disanjung orang

Tapi ahli amal tidak dipeduli orang bahkan adakalanya tidak pun disebut-sebut namanya

Kebanyakan di institusi ilmu tidak begitu mengambil berat di dalam latihan-latihan beramal

Ramai di kalangan yang bukan ahli ilmu lebih maju dan berjaya dari pakar-pakar ilmu

Terutama di bidang ekonomi yang tidak ada sijil ekonomi lebih berjaya daripada mereka yang ada kelulusan

Ramai orang bercakap tentang ilmu, tapi kurang yang bercakap tentang amal

Ahli ilmu adakalanya dihormati orang, tapi ahli amal ilmu adakalanya didengki orang

Ilmu semata-mata tidak akan melahirkan kemajuan yang lahir selagi tidak diamalkan.

Ditanya Tentang Sembahyang

Ditanya tentang sembahyang:

Bagaimana saya ingin tahu sembahyang saya diterima Tuhan ataupun tidak?

Dijawab:

Sembahyang kita itu ada lahir dan ada batin. Lahirnya kita bersembahyang, sah sembahyang kita, dianggap sudah memenuhi tuntutan sembahyang. Batinnya, kita pun tahu, sejauhmana dalam sembahyang kita itu, kita sudah khusyuk. Sudah mendapat rasa-rasa dengan Tuhan. Sudah ada rasa bertuhan dan rasa kehambaan. Bila dikaji-kaji, dinilai-nilai, memang kita seperti belum bersembahyang. Atau sembahyang kita itu hanya fizikal atau lahir sahaja. Tiada batinnya. Tiada kelazatannya. Tiada hiburannya. Jauh sekali mahu rasa cemas, rasa takut, rasa bimbang dengan Tuhan dalam sembahyang. Jadi, dari situ kita boleh ukur, kita boleh agak, Tuhan takkan terima sembahyang sebegini. Sembahyang kita, sembahyang orang lalai. Sembahyang kita sembahyang bangkai, kerana lahir sahaja kita hidup bersembahyang tapi roh kita seperti mati, tak terhubung dengan Tuhan. Sembahyang seperti itu Tuhan lemparkan kembali ke muka kita, sebab teruknya, rosaknya, buruknya dalaman sembahyang itu. Justeru, selepas sembahyang, patut sangat kita rasakan yang sembahyang kita banyak cacat-celanya. Patut sangat kita rasakan yang kita hanya membuat dosa dalam kita bersembahyang. Hati kita sepatutnya menderita atas sembahyang yang baru kita kerjakan tadi. Walhal memang hati kita mengharapkan agar sembahyang kita itu dapatlah dipandang Tuhan hendaknya. Maka, atas kerana ini semua, mohonlah kepada Tuhan, minta ampun padaNya dengan kata-kata seperti berikut: “Ampunkan aku wahai Tuhan atas sembahyang aku sebentar tadi. Aku tak berdaya. Aku tak mampu melawan perasaanku yang menghala ke dunia. Nafsuku yang sentiasa mengalihkan hatiku daripada mengingatiMu.. Daripada terhubung denganMu.. Jahatnya aku..zalimnya aku..kepada Engkau, Tuhanku.”

Bukti seorang itu sudah benar-benar sembahyang, selepas sembahyang dia menjadi orang yang sangat bermanfaat kepada manusia. Sebab ada keterangan dalam hadis, “sebaik-baik manusia itu manusia yang banyak memberi manfaat kepada manusia lain.” Manusia itu boleh menjadi sebaik manusia atas kerana sembahyangnya yang sudah terhubung dengan Tuhan. Sembahyang seperti ini menghidupkan jiwa. Maka kesan daripada sembahyangnya, jadilah dia orang yang sangat mahu memberi khidmat, mahu menolong dan membela orang lain. Kalau lepas sembahyang, gaduh dengan orang, buat jahat dengan orang, tak ada sifat membela dan mengasihi orang, maka sembahyangnya tidak menghidupkan jiwanya. Sembahyangnya tidak memberi apa-apa kesan pada dirinya. Tuhan suruh sembahyang bukan untuk Tuhan. Sebab kalau kuat sembahyang, hebat sembahyang bagaimanapun, kebesaran Tuhan tak akan bertambah. Tak juga berkurang jika dia tak sembahyang atau lemah sembahyangnya. Kebesaran Tuhan sudah tetap sempurna, tak terkesan dengan sembahyang hambaNya. Jadi, Tuhan buat sembahyang adalah untuk keperluan hambaNya. Agar hamba itu boleh hidup jiwanya dan jadi dia orang yang sangat berkasih sayang, bertolong bantu dan bermasyarakat dengan orang lain. Kalau ini tak boleh dilakukan, sembahyangnya seperti tidak sembahyang. Dia sembahyang tapi sembahyang tak memberi apa-apa kesan kepada dirinya.

Bukti lagi seorang itu sudah benar-benar sembahyang, lepas sembahyang dia jadi orang baru, yang dia tidak akan sekali-kali membiarkan diri dia berada dalam kemurkaan Tuhan. Mengapa tidak? Sedangkan Tuhan sudah berjanji dalam Al-Quran, “sesungguhnya sembahyang itu mencegah diri kamu daripada berbuat keji dan mungkar.” Kalau dengan sembahyangnya tak dapat mencegah dia dari buat keji dan mungkar, maka dia seperti tidak bersembahyang. Dia sembahyang tapi masih minum arak. Dia sembahyang tapi masih berzina. Dia sembahyang tapi masih berjudi. Dia sembahyang tapi masih mencuri. Maka sembahyangnya hanya sekadar memenuhi tuntutan wajib sembahyang. Hakikatnya dia belum bersembahyang. Sedangkan jika sembahyang dia dengan khusyuk, maka sembahyangnya dapat menghubungkan diri dia dengan Tuhan. Dia akan jadi manusia yang sangat cinta dan takutkan Tuhan. Justeru tidaklah dia sanggup meletakkan diri dia dalam kemurkaan Tuhan. Kerana di mana sahaja dia pergi, rasa cinta dan takut Tuhan itu membendung dia daripada melakukan keji dan mungkar yang dimurkai Tuhan.

Kaedah Dalam Berjuang

Apapun yang hendak kita lakukan, asasnya kena ada ilmu. Samalah juga dengan berjuang, sebelum nak berjuang, kena ada ilmu. Jadi dengan ilmu itu, kena difahami. Dengan faham, baru boleh melaksanakan. Mana mungkin mudah-mudah kita nak berdakwah dan berjuang, tanpa ilmu dan faham agama. Itu sebab banyak orang kita termasuk ulamak ada yang tersasar dalam berjuang. Sebab ilmu tak tepat, jauh sekali dari faham. Di bawah ini adalah sedikit panduan sebagai kaedah dalam berjuang, moga-moga kita mendapat ilmu tentangnya:

1) Kalau kita kaji Al-Quran, ada firman Tuhan yang bermaksud, “bila hak itu datang, maka kebatilan akan lenyap.” Inilah yang perlu dilaksanakan. Kena menzahirkan kebenaran dalam bentuk jemaah. Tegakkan sistem Tuhan dalam jemaah seperti sistem ekonomi, sistem kebudayaan, sistem pentadbiran dan sistem pendidikan. Bila kita tegakkan sistem, bukan maknanya kita beruzlah atau menyendiri. Jemaah itu bila menzahirkan kebenaran, di situlah dia bermasyarakat. Di situlah dakwah mereka melalui model Islam yang ditonjolkan. Di situlah nanti proses jongkang jongket akan berlaku. Tuhan sendiri akan campurtangan melenyapkan sistem batil seperti kapitalisma dan demokrasi. Itu kerja Tuhan. Kita buat kerja kita, nanti Tuhan yang akan bertindak. Inilah yang perlu difahami daripada ayat tersebut.

2) Kemudian, bila kita tengok masyarakat sudah rosak, yang utama bagi kita ialah baiki diri kita dahulu. Tuhan sudah sebut dalam Al-Quran, “peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka”. Tuhan anjurkan kita baiki diri kita dahulu, bukan diri orang lain. Asas dalam baiki diri kita ialah membaiki sembahyang. Sembahyang di awal waktu, berjemaah dan usahakan khusyuk semampu termungkin.

3) Nak tackle masalah masyarakat kena tahu puncanya. Takut-takut sakitnya lain, kita ubatkan yang lain. Punca masyarakat rosak ialah masyarakat sudah tak kenal Tuhan. Hasil tak kenal Tuhan, tidaklah mereka itu cinta dan takutkan Tuhan. Jadi ini yang hendak dibawa iaitu nak bawa masyarakat kenal Tuhan. Tetapi ada syaratnya, kenalah pendakwah itu kenal Tuhan dahulu. Mana mungkin kita yang tak kenal Tuhan, boleh mengenalkan orang lain pada Tuhan.

4) Dalam Al-Quran, Allah berfirman maksudnya: Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah. Dalam ayat tersebut, jelas Allah tak sebut: Serulah ke jalan Tuhanmu dengan ilmu. Tetapi Allah sebut hikmah. Apa maksud hikmah? Hikmah itu ialah ilmu di dalam ilmu. Atau dalam ertikata lain ilmu yang tersirat. Bukan sekadar ilmu Islam tetapi ilmu yang ada roh. Jadi roh ilmu itulah yang perlu kita ada. Nak dapatkan hikmah, bukan daripada sembarangan orang yang boleh kita dapati hikmah ini. Ia hanya dimiliki oleh orang yang dianugerahkan Tuhan hikmah atau disebut “Ahlul-Hikmah.“

5) Asas Rasulullah berjuang atau berdakwah ialah memperjuangkan taqwa di kalangan sahabat. Begitu juga boleh diapplykan kepada kita, sebelum hendak berjuang kena persiapkan bekalan taqwa. Hasilnya nanti macam sahabat juga. Kesan daripada taqwa mereka, tak perlu bercakap banyak, orang lain masuk Islam. Orang tengok akhlak mereka, boleh masuk Islam. Orang tengok mereka berwudhuk dan bersembahyang, orang masuk Islam. Kenapa? Kerana taqwa sahabat itu ibarat besi berani yang menarik orang pada Islam. Kita nak jadi macam itu. Kalau tidak, berbuih mulut, penat berjuang, hasilnya kosong. Tuhan tak bantu, sebab kita tak bertaqwa. Jadi asasnya kena usahakan taqwa dahulu.

6) Dalam perjuangan menegakkan agama Tuhan, faktor pemimpin itu penting. Tak boleh tidak, mesti ada pemimpin yang dilantik Tuhan. Dulu ada Rasul. Sekarang tidak ada rasul, ada ulamak berwatak Rasul yang memperjuangkan agama Tuhan. Teknik dan kaedah ada pada ulamak tersebut. Kita kena mencari dan merujuk pada ulamak ini. Jangan kita memandai buat sembarangan, takut-takut Tuhan tak iktiraf perjuangan kita itu sebagai ibadah. Takut-takut kedatangan kita lebih merosakkan keadaan yang sedia ada. Bila kita berusaha berjuang, yang nak jayakan adalah Tuhan. Kita hanya mampu berbuat. Ujian yang datang, hakikatnya daripada Tuhan juga, itu adalah asam garam perjuangan. Agama ini Tuhan punya, Dia sendiri akan bertanggungjawab terhadap agamaNya. Fahamilah panduan ini, jika tidak, nanti jauh tersasar daripada kaedah dan matlamat perjuangan yang sebenar.

Orang Profesional Yang Sebenarnya

Orang profesional yang sebenarnya itu adalah yang merasa diri tidak layak dan tidak mampu membuat kerja-kerja yang diberikan kepadanya. Biarpun dia itu lahirnya memang cukup berbakat dan berpengetahuan dalam hal kerja yang diberikan tetapi rasa-rasa seperti itu membuatkan dia menyerahkan segala urusan kerjanya kepada Tuhan. Dia pun meminta kepada Tuhan dengan bertawasul melalui gurunya. Hasilnya, akan datang bantuan-bantuan ghaib datang membantu menyelesaikan kerjanya. Sehinggakan bila sempurna kerja tersebut, tidak terasa pun yang kerja itu hasil tangannya. Tidak terasa yang dia itu berbuat. Tidak terasa yang dia itu ada campurtangan dalam kerja tersebut. Maka, daripada kejayaan kerja itu, hatinya terselamat daripada dosa batin seperti riyak dan ujub. Daripada kegagalan kerja itu pula, hatinya merasa itulah dosa-dosanya. Kegagalan tersebut tidak membuatkan dia buruk sangka dengan Tuhannya. Jauh sekali merasa kecewa atau dia putus asa. Bukanlah dikatakan profesional jika dalam hendak membuat kerja, dia itu merasa diri pandai, merasa diri mampu dan merasa diri dia layak membuatnya. Dia sebenarnya sombong dengan Tuhannya kerana tidak merujuk dengan Tuhan sebaliknya merujuk pada kepandaian dan kemampuan diri dalam hendak membuat kerja. Apabila berjaya, dia akan mendabik dada dan berkata “Sayalah yang punya idea”, “Sayalah yang membuatnya”, “Jika tanpa saya, kerja tersebut tak akan berjaya”. Jikapun tidak berkata di mulut, di hati dia tetap berkata. Apabila gagal, dia tidak redha atas kegagalan sebaliknya mencari orang lain untuk dipersalahkan. Dia itu sudah membuat dosa-dosa batin tanpa disedarinya. Dia itu telah tenggelam dalam syirik khafi yang membawa kepada neraka jika tidak segera bertaubat atas dosa-dosa tersebut. Orang seperti ini sebenarnya adalah orang emosional.

Orang Zuhud Dikasihi Allah

Rasulullah bersabda lebih kurang maksudnya, “Jika kamu hendak dikasihi Allah, maka hendaklah kamu zuhud dengan dunia”.
Hadis ini menerangkan kepada kita bahawa untuk mendapat kasih sayang Tuhan, maka yang perlu kita perbuat di dunia ini ialah zuhud kepada dunia. Yang dikatakan zuhud itu bukanlah boleh diukur kepada miskin atau kaya. Sesetengah orang berpendapat miskin itu zuhud dan kaya itu tidak zuhud. Tidak sebegitu dan tidak semestinya. Malah ada juga yang menyatakan zuhud itu menolak atau membuang dunia. Salah tafsir ini perlu diperbetulkan.
Zuhud itu letaknya di hati. Dikatakan zuhud bila hati tidak cinta dunia. Hanya sanya dunia itu dijadikan sebagai saluran untuk membesar dan mengagungkan Tuhan. Biarpun kaya, kaya digunakan untuk jalan Tuhan. Biarpun miskin, hatinya tetap dengan Tuhan dan tak terikat dengan dunia. Maksudnya di sini, orang zuhud bukanlah menolak dunia. Dunia itu diambil sekadar keperluan. Selebihnya digunakan di jalan Tuhan.
Diceritakan bahawa pernah Sayyidina Ali, pergi melihat sebuah masjid dan dilihatnya di situ ada halaqah pengajian. Yang mengajar itu adalah Hasan Basri, seorang remaja belasan tahun umurnya walhal orang-orang yang mendengar itu kebanyakannya orang dewasa. Timbullah niat di hati Sayyidina Ali untuk menguji apakah Hasan Basri benar-benar layak mengajar. Ditanya kepada Hasan Basri, “apakah yang boleh menyelamatkan manusia?” “Zuhud”, jawab Hasan Basri secara spontan. Maka, yakinlah Sayyidina Ali yang Hasan Basri itu mempunyai kelayakan untuk mengajar hanya kerana dapat menjawab dengan tepat soalan beliau. Pengajaran daripada kisah ini dapatlah kita ketahui bahawa zuhud adalah kunci kepada keselamatan manusia. Manakan tidak, hadis di atas juga telah meletakkan orang zuhud sebagai orang kesayangan Allah. Sudah pasti orang kesayangan Allah itu akan terselamat di dunia juga di Akhirat. Selama mana seseorang itu boleh zuhud, selagi itulah dia akan terselamat.
Tuhan ada berfirman, “Tidak ada dua hati dalam diri anak Adam” (Al-Ahzab:4) . Hati manusia ini kalaulah tanpa zuhud, nescaya akan diisi dengan cinta dunia. Seolah-olah hati manusia itu menjadi rebutan, bertarik-tarik antara zuhud dan cinta dunia. Amat malang, jika hati terarah kepada cinta dunia, maka tiadalah lagi keselamatan kepada manusia itu. Benarlah sabda Nabi tentang dunia ini iaitu: “Cinta dunia adalah kepala bagi segala kejahatan.” Daripada cinta dunia, lahirlah berbagai kejahatan lain seperti hasad dengki, pemarah dan sombong. Semua ini bukan sahaja merosakkan empunya diri tetapi boleh juga merosakkan orang lain. Hakikat krisis dan perpecahan umat yang berlaku hari ini adalah disebabkan dengan penyakit cinta dunia ini. Selagi penyakit cinta dunia ini tidak diungkai daripada hati manusia, selagi itulah manusia akan terus berkrisis dan bersengketa. Tidak akan aman dunia ini dengan adanya manusia-manusia yang bersarang cinta dunianya.
Lagi, bila kita kaji dan teliti hadis ini, orang zuhud itu disayangi Tuhan kerana hati orang zuhud itu sudah tidak terikat dengan dunia lagi. Apa maksudnya? Dunia bila sudah masuk hati, maka rasa-rasa dengan Tuhan akan menjauhi. Tapi bila dunia itu sudah dibuangkan daripada merajai hati, maka mudahlah rasa-rasa dengan Tuhan itu masuk dan menguasai hati. Justeru, selarilah rasa hati seseorang itu dengan kehendak-kehendak Tuhan. Jadilah, dia itu orang yang memahami kehendak dan peranan Tuhan dalam kehidupan.
Disebut tadi, zuhud itu mengambil dunia sekadar perlu. Dan selebihnya digunakan untuk jalan Tuhan. Itu ilmunya. Nak berbuat, tidaklah semudah yang diceritakan. Ianya perlukan mujahadah. Kena benar-benar mengekang nafsu daripada berkehendak kepada yang tidak perlu. Kena benar-benar merasai kesusahan orang lain agar mudah harta dunia itu dialihkan kepada orang yang susah. Kena benar-benar ada jiwa untuk memperjuangkan Tuhan, barulah dunia itu disalurkan untuk perjuangan fisabilillah. Kuat mujahadah, maka lemahlah nafsu mencintai dunia, Sebaliknya, bila lemah mujahadah, jadilah nafsu itu kuat dalam mencintai dunia