APABILA KENAL TUHAN KITA AKAN CINTA PADANYA

Orang yang cintakan Tuhan itu ialah orang yang benar-benar kenal Tuhan dengan hatinya iaitu dapat rasa bertuhan. Dia bukan setakat tahu atau ada ilmu tentang sifat-sifat Tuhan tetapi dia boleh merasakan sifat-sifat Tuhan itu dihatinya. Orang seperti ini dinamakan a’arifbillah.

            Seperti mana juga hubungan kita dengan manusia, ada orang kita tahu namanya, kita tahu di mana rumahnya, tahu kerjanya, kita selalu nampak dia mundar-mandir dan lalu lalang, tetapi atas dasar itu sahaja, kita tidak boleh mengaku kita kenal dia. Mungkin kita tahu dia itu siapa tetapi kenal belum lagi. Kita tidak tahu wataknya, perangainya, akhlaknya, peribadinya, jahat atau baik orangnya, pemurah atau bakhil, pemarah  atau pemaaf dan sebagainya. Sudah tentu kita belum boleh benci atau cinta padanya. Kalau kita sudah kenal hati budinya barulah kita akan benci atau cinta padanya.

            Begitu juga dengan Tuhan. Kalau hanya setakat tahu sifat-sifat Tuhan, kita tidak dapat cinta padanya. Tahu atau ilmu itu baru di akal. Walhal Tuhan bukanlah entity yang boleh dijangkau oleh akal. Kita mesti kenal Tuhan melalui hati iaitu dapat merasa sifat-sifat Tuhan. Contohnya, kalau kita tahu Tuhan Maha Melihat, maka kita kena rasa sungguh-sungguh di hati bahawa Tuhan itu benar-benar melihat apa sahaja yang kita lakukan. Alat untuk mengenal Tuhan itu ialah hati.

            Allah itu mempunyai segala sifat-sifat yang Maha Sempurna, tidak seperti manusia. Sebab itu, ada manusia, kalau kita kenal dia, kita suka padanya. Ada pula manusia, kita kenal dia, kita benci padanya. Ini adalah kerana manusia itu ada yang bersifat baik dan ada yang bersifat jahat. Tetapi kalau kita kenal Tuhan, wajib bagi kita jatuh hati dan cinta padanya kerana sifat-sifat Tuhan itu  penuh kesempurnaan. Tuhan itu Maha Baik.

            Siapa kenal Tuhan, pasti dia cinta Tuhan. Siapa cinta Tuhan, pasti dia kenal Tuhan. Siapa tidak cinta Tuhan, tanda dia belum kenal Tuhan.

Advertisements