Kenali Pejuang Agama

Pejuang agama itu boleh dikatakan juga sebagai ahli agama. Mereka memperjuangkan agama Tuhan. Mereka ini membuat kerja mulia. Iaitu menegakkan agama Tuhan. Di kalangan mereka yang terutamanya adalah Rasul-rasul dan nabi-nabi. Selepas ketiadaan rasul, tugas-tugas ini dipikul oleh para sahabat, tabiin dan tabiut tabiin. Tidak selesai dengan itu, dari satu kurun ke satu kurun, silih berganti ada mujaddid yang berperanan pula. Ditutup dengan Fata At-Tamimi dan juga Imam Mahdi. Di antara orang-orang penting itu ada juga mereka seperti para da’i, mubaligh, ustaz, murabbi dan muaddib. Kesemua ini adalah pejuang agama yang memperjuangkan agama Tuhan. Untuk mengetahui kerja para pejuang agama, maka mari kita lihat Rasulullah, model teragung untuk kita semua. Rasulullah selama 13 tahun memperjuangkan Tuhan kepada para sahabat. Selama itu jugalah sahabat-sahabat dikenalkan dengan sifat, zat dan perbuatan Tuhan. Hingga mereka itu benar-benar kenal Tuhan dan terus jatuh cinta kepada Tuhan. Kemudian daripada itu, barulah Rasullah memperjuangkan pula syariat Tuhan. Syariat Tuhan yang berbagai seperti sembahyang, puasa, muamalat, munakahat dan kemasyarakatan itu ditegakkan. Melalui syariat Tuhan, nampaklah kebesaran dan keagungan Tuhan itu sendiri. Melalui syariat Tuhan, itulah praktikal daripada kenal dan cinta Tuhan yang ditanam pada jiwa para sahabat selama 13 tahun. Dan proses yang Rasulullah ambil untuk memperjuangkan syariat itu memakan masa 10 tahun. Jadi, sebenarnya tugas atau matlamat utama para pejuang agama ada dua. Pertama, membawa manusia untuk kenal Tuhan. Sehingga manusia itu boleh cinta dan takutkan Tuhan hasil daripada mengenali Tuhan itu. Kedua, membawa manusia yang sudah kenal Tuhan itu menegakkan syariat Tuhan. Daripada itu tertegaklah rukun Islam. Daripada itu tertegaklah sistem kehidupan mengikut kehendak Tuhan dalam apa jua bidang kehidupan termasuk ekonomi, kebudayaan, pendidikan, kemasyarakatan, pertanian dan perhubungan. Inilah yang dikatakan sebagai addin atau cara hidup kerana agama Islam itu adalah agama kehidupan. Islam itu bukan sekadar ibadah sahaja. Bukan juga berniaga sahaja. Tetapi syariat Islam itu menyeluruh, terdapat padanya panduan menjalani kehidupan secara individu, keluarga mahupun masyarakat. Bahkan sampai ke tahap negara. Jelas dengan matlamat pejuang agama itu, walau di mana jua mereka berada, apa bidang sekalipun mereka ceburi, matlamat asal mereka tidak lari. Iaitu untuk memperkenalkan manusia kepada Tuhan dan menegakkan syariat Tuhan. Bahkan kita lihat Rasulullah dan para sahabat, bilamana tiada pilihan lain, tetapi terpaksa menempuh peperangan, sebenarnya peperangan itu kaedah sahaja. Matlamat mereka bukan perang. Matlamat mereka nak kenalkan manusia kepada Tuhan. Sama juga bila mereka berniaga. Berniaga itu satu kaedah sahaja. Matlamat tetap kenalkan manusia kepada Tuhan. Bila ada di antara mereka yang ke Timur, termasuk kepulauan Melayu sehingga ke negeri China, mereka bukan sekadar menjadi peniaga atau pelancong. Mereka ada matlamat sepertimana yang disebutkan tadi. Lagi yang perlu kita tahu, pejuang agama ini tidak semestinya perlu ijazah atau diploma. Itu bukan satu keperluan. Tetapi tidak menafikan pula yang mereka ini memiliki ilmu agama yang tinggi dan mendalam. Juga, tidak perlu kepada tahap umur tertentu untuk melayakkan seseorang jadi pejuang agama. Sebab sudah terbukti banyak para sahabat seperti Imam Syafie sudah menjadi pejuang agama pada umur 10 tahun lagi. Usamah Zaid sudah memimpin satu kumpulan perang pada umur 18 tahun. Juga Sultan Muhammad Al-Fateh pada umur 23 tahun. Mereka berjuang tidak ada tamatnya. Tamatnya adalah bila mereka meninggal dunia. Di waktu itu barulah tamat perjuangan mereka. Selagi mereka hidup, mereka akan terus berjuang dan berjuang. Pejuang agama itu juga tidak menetap di satu tempat sahaja. Mereka bertebaran di seluruh dunia. Mereka membawa mesej Tuhan ke seluruh dunia. Kerana jasa pejuang agama inilah, kita mendapat Islam. Kerana jasa mereka, kita semua diselamatkan Tuhan dari berbagai bencana. Mereka inilah yang dimaksudkan Tuhan seperti dalam firmanNya: “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal soleh dan berkata, sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.” (Fussilat: 33)

Advertisements