KALAU MANUSIA MENGENALI TUHAN

KALAU manusia mengenali Tuhan
Hancur luluhlah hati manusia,
tidak sempat mengingati yang lain
Hati dan jiwanya semata-mata terpaku dengan Tuhannya
Jika manusia mengenali kehebatan dan keagungan Tuhan
Kuasanya mutlak, kecut perut manusia
Kalau manusia sentiasa sedar, pendengaran,
penglihatan dan pengetahuan Tuhan
Tidak pernah lekang dari manusia
Nescaya manusia ini tawadhuk
dan rendah diri di bumi Tuhan
Jika manusia itu rasa bertuhan sentiasa hidup di dalam hati
Matilah angan-angan, dan takut pun datang menerpa hati
Manusia akan sibuk dengan diri
dan tidak sempat memikir diri orang
Masing-masing takut dan bimbang,
tidak akan sempat mengumpat orang
Aduh, kalau Tuhan sentiasa di hati
Perasaan bertuhan sentiasa mencengkam jiwa
Mengenang pula nikmat-nikmat Tuhan terlalu banyaknya
Bertambah lagilah perasaan cinta dan takut bercampur-baur
Cinta kerana nikmat-Nya dan kasih sayang-Nya
Takut kalau nikmat-Nya ditarik semula
Kalau terbuat dosa atau tersalah, diazab-Nya
Begitulah kalau seseorang hamba mengenali Tuhannya
Hatinya sibuk dengan Tuhannya
Dunia dan nikmatnya tidak mempengaruhinya
Sekalipun dunia di tangannya