TIDAK ADA MILIK ENGKAU

BUKAN sahaja harta engkau, rumah engkau, kereta engkau
adalah milik Allah Taala
Bahkan diri engkau pun milik Allah
Tuhan yang menjadikan engkau
Kalau begitu mana kepunyaan atau milik engkau
Yang sebenarnya tidak ada satu pun milik engkau
Kalau satu pun tidak ada milik engkau
atau kepunyaan engkau
Mengapa engkau bangga dengan kekuatan
atau dengan kecantikan engkau
Mengapa engkau sombong dengan harta
dan kekayaan engkau
Mengapa engkau angkuh dan melakukan
sewenang-wenangnya dengan kekuasaan engkau
Kerana apa engkau boleh melupakan Tuhan
yang memberikan segala-galanya kepada engkau
Mengapa engkau tidak malu kepada Tuhan
yang memberi berbagai-bagai nikmat kepada engkau
Apakah engkau mampu mempertahankan
apa yang ada pada diri engkau?
Hingga engkau boleh memiliki selama-lamanya
hingga selepas mati engkau
Bolehkah engkau kekalkan segala yang ada pada engkau
Sejauhmana kemampuan engkau mempertahankannya
Engkau tidak nampakkah berapa ramai orang yang berkuasa
yang penuh dengan kesombongan
tidak boleh mempertahankan kekuasaannya
Berapa banyak orang yang kaya-raya
tidak dapat mengekalkan kekayaannya
Bahkan berlaku di dalam masa hidupnya lagi
daripada seorang yang kaya
menjadi seorang yang papa kedana!
Berapa ramai orang yang gagah, cantik                                                                               menjadi lumpuh tidak dapat mempertahankan kekayaan
dan kecantikannya
Bukankah ramai orang yang terkenal
di masa hidupnya lagi dilupakan orang?
Orang yang ramai pengikut
ditinggalkan oleh para pengikut-pengikutnya
di masa hidupnya lagi
Mengapa engkau tidak mengambil iktibar
dengan pengalaman itu?
Mengapa apa yang terjadi di dalam kehidupannya itu
engkau tidak jadikan pengajaran?!
Sejarah yang berlaku adakalanya di hadapan mata kita
mengapa tidak boleh menyedar dan menginsafkan kita?
Pengalaman itu bukankah nasihat dan ingatan
yang paling besar?!
Nasihat dan peringatan yang macam mana lagi
yang kita hendak sedar dan insaf?!
Apakah setelah azab menimpa ke kepala kita
baru mahu insaf?!
Itu sudah terlambat namanya