RIJALULLAH

ORANG yang rasa bertuhan sentiasa hidup atau jaga jiwanya
Hingga lupa dan lalainya kepada Tuhan sedikit sahaja
Di waktu-waktu tertentu terasa kuasa
dan kehendak yang Maha Kuasa
Di masa-masa tertentu teringat rahmat dan nikmat-Nya
Adakalanya terasa agung dan hebat Tuhannya
Di dalam keadaan tertentu terasa Qahhar dan Jabbar-Nya
Tidak kurang di masa-masa yang tertentu
Terasa Tuhan itu melihat dan mendengar
Adakalanya terasa Tuhan itu mengetahui dan melihat
Begitulah orang mukmin yang sejati
Bertukar keadaan strategi yang dialami,
bertukar pula rasa bertuhannya
Berlainan yang dia lihat di dalam kehidupan ini,
berlainan pula rasa bertuhannya
Begitulah jiwa orang yang sentiasa hidup atau jaga
Rasa bertuhan itu dibawa ke mana-mana
Tidak lekang daripada hati dan jiwa mereka
Bahkan rasa bertuhan itu makin lama semakin tajam
Inilah dia orang Tuhan atau Rijalullah
Inilah dia Al ‘Arifbillah di zamannya
Dengan sebab mereka itulah berkat
dan rahmat Allah masih ada
Bala bencana dijauhkan daripada mereka
Bumi sanggup setia dengan manusia
Kalau manusia yang ramai tahu
Sudah tentu berterima kasih kepada mereka
Tapi manusia tidak mengetahuinya
Kerana ia adalah rahsia Tuhannya

Advertisements

AKU BAHAGIA ENGKAU TUHANKU

AKU sembah-Mu Tuhan kerana aku ini adalah hamba-Mu
Aku rasa bahagia engkau adalah Tuhanku
Aku merasa mulia bahawa Engkau menjadi Tuhanku
Engkau mengenalkan aku bahawa Engkau Tuhanku
Aku rasa ini adalah satu rahmat dan nikmat
yang tidak ada taranya
Aku tidak tahu apakah yang aku hendak balas kurniaan-Mu
Melainkan bakti dan ibadahku kepada-Mu,
itulah sahaja balasanku
Itu pun sudah tentu tidak mencukupi
untuk membalas anugerah-Mu
Kerana Engkau telah mengenalkan diri-Mu kepadaku
Patut sekali aku menyembah-Mu tidak jemu-jemu
Aku tidak fikir lagi Syurga dan Neraka
Aku tidak berminat lagi fadhilat itu dan ini
Kerana Engkau adalah segala-galanya
Syurga dan Neraka sudah terlalu kecil buatku
Kerana Zat-Mu yang Maha Agung telah aku miliki
Engkau adalah terlalu besar buatku
Engkau patut aku puji dan puja
Aku sembah dan sanjung setiap masa
Terima kasih Tuhan,
Engkau telah mengenalkan diri-Mu kepadaku
Hingga Engkau menjadi Tuhanku
Aku sungguh bangga dan bahagia mempunyai Tuhan
Yang menciptaku dan melindungiku setiap waktu
Engkau adalah Tuhanku, janganlah tinggalkan aku

JADIKAN TUHAN SEBAGAI KAWAN

JADIKANLAH Tuhan sebagai kawan
Bawa Dia ke mana-mana senang untuk bertanya
Engkau tidak terasa keseorangan
Engkau terasa ada kawan setia yang mengiringi
Waktu hendak berbuat sesuatu tanyalah Tuhan
Waktu hendakkan sesuatu minta tolonglah kepada-Nya
Jika terasa takut ingatlah bahawa Kawan kan ada bersama kita,
walaupun Dia tidak di samping kita
Dia sentiasa memerhati dan mendengar rintihan kita
Waktu buntu tanyalah Tuhan,
Kawan yang tidak pernah kecewakan kita
Engkau akan dapat pedoman dan panduan
Waktu rehat-rehat jangan lupa Kawan Setia kita
Kerana Tuhan tahu tentang kita
Mengapa kita melupakan Dia
Yang sentiasa berada dengan kita,
walaupun tidak di sebelah kita
Waktu hendak tidur, beritahulah Dia bahawa jagalah aku
Engkau boleh jaga aku kerana Engkau tidak tidur
Di kala kita terjaga, berterima kasihlah kepada-Nya
Kerana Dia telah menjaga dan mengejutkan kita
Sucikanlah Dia dengan mengucap tasbih
Kerana Dia bukan kawan biasa yang serupa
Barukan ikrar kita kepada-Nya,
bahawa Dia adalah Tuhan kita
Selepas solat kemudian pergi menunaikan kewajipan
Bawalah lagi Dia ke mana-mana
Jadikanlah Dia tempat menerima nasihat dan tempat bertanya
Apa sahaja hendak buat jangan lupa tanyalah Dia
Kalaulah Tuhan kita, boleh kita jadikan kawan hidup kita
Kita pasti selamat dunia Akhirat

ANEH KERJA TUHAN

PELIK kita dengan kerja Tuhan
Kita pun tidak tahu apa hikmah sebenarnya
Tapi kita yakin setiap kerja Tuhan itu mesti berhikmah
dan ada pengajaran
Cuma kita tidak dapat menyingkap rahsia-Nya
Mari kita lihat sedikit kerja Tuhan
Memang pelik dan unik
Apabila Allah Taala murka kepada seseorang,
didorongnya orang itu berlaku zalim pada seseorang
Agar dia derhaka dan berdosa
Bila Tuhan cinta kepada seseorang, dia dizalimi oleh seseorang
Maka dia pula mendapat pahala menghapuskan dosanya
Begitu juga seseorang yang diberi rezeki secara istidraj
Ertinya mendapat rezeki secara murka
Kemudian dialirkan sebahagian rezeki kepada seseorang
yang bertaqwa dengan tidak ikhlas
Yang diberi rezeki mendapat pahala kerana dia bersyukur
Aneh yang memberi tidak dapat pahala,
yang kena beri dapat pahala
Begitulah seterusnya sebagai satu contoh lagi
Apabila Tuhan murka kepada seseorang,
didorongnya orang itu memaki seseorang
Kemudian jika Tuhan cinta kepada seseorang,
dibiarkan dia dimaki oleh orang
Mengapa orang yang Allah murka
dibenarkan menyusahkan orang?!
Tapi orang yang dicintainya disusahkan oleh orang
Aneh kerja Tuhan
Kalau kita tidak faham mungkin kita menyalahkan Tuhan
Maha Besarnya Tuhan daripada melakukan kesalahan

BERKAWAN DENGAN TUHAN TIDAKLAH SUSAH

KALAU kita ingin jadikan Tuhan kawan setia,
tidaklah susah
Tidak seperti berkawan dengan manusia
Kerana kita tidak payah panggil Dia untuk berkawan
Tuhan Maha Suci daripada istilah datang
Kita tidak perlu jemput Dia
Kerana Tuhan tidak terlibat dengan jauh dan dekat
Kita tidak perlu ajak Dia
Dia memang sudah siap siaga
Terpulanglah kepada kita
Kita tidak payah beritahu
Kerana Dia sudah sedia tahu tentang kita
Soalnya kita mahu ataupun tidak
Berkawan dengan-Nya itu sahaja
Kita tidak perlu ingatkan Dia
Kerana Dia memang tidak pernah melupakan kita
Di mana-mana kita boleh berkawan dengan-Nya
Tidak seperti manusia
Berkawan dengan manusia
di tempat-tempat tertentu sahaja
Dan di masa-masa yang tertentu sahaja
Seperti di jamban kita terpaksa tinggalkan dia
Di waktu bersama isteri,
kita tidak boleh berkawan lagi dengannya
Di waktu dia bersama isterinya pun
dia tinggalkan kita pula
Jadi berkawan dengan manusia ada batasnya
Berkawan dengan Tuhan tidak kira tempat dan masa
Boleh berlaku di sebarang tempat
Dan setiap masa
Cuma kita mahu atau tidak berkawan dengan-Nya
Ertinya kita ingat Dia, sujud kepada-Nya
Bangun-bangun saja, ingat Dia                                                                                                  Hendak tidur, ingatkan Dia
Kita serahkan nasib kita kepada-Nya
Bertanya kepada-Nya, meminta kepada-Nya
Rasakan Dia ada di mana-mana bersama-sama kita
Cuma tidak bertempat macam kita
Anugerah-Nya kita bersyukur kepada-Nya
Di mana kita pergi, rasa bertuhan kita bawa bersama-sama
Cara itulah kita berkawan dengan Tuhan

TUHAN ITU RAFIQUL A’LA

FAHAM sekular telah memisahkan
hamba-hamba dengan Tuhan-Nya
Sekalipun dia pelajar agama
Walaupun percaya dengan adanya Tuhan
Tapi tidak kenal Tuhan, siapa sebenarnya Tuhan,
apa peranan Tuhan
Mereka tidak tahu apa perlunya kepada Tuhan
Kalaupun mereka tahu bahawa Tuhan itu
hanya mengazab dan menghukum
Mereka tidak tahu bahawa Tuhan itu
Maha Pengasih dan Maha Penyayang
Tuhan itu Maha Pemurah, Maha Berkuasa
Penjaga dan Pelindung
Mereka tidak faham bahawa Tuhan itu Pemimpin
Idola yang patut ditakuti, disembah,
dicintai dan disanjung
Bahkan mereka tidak faham
bahawa Tuhan itu adalah Rafiqul A’la
Kawan sejati yang sangat setia serta membela
Mereka tidak faham bahawa Tuhan itu
adalah segala-galanya
Kalaulah mereka faham siapa sebenarnya Tuhan
Mereka akan jadikan Tuhan sebagai kawan
Kawan yang dicintai, disanjung dan dipuja
Mereka tidak akan memutuskan hubungan
dengan Tuhan setiap masa
Mereka rasa perlu dan bahagia bersama Tuhan
Tuhan akan dibawa ke mana-mana
Tuhan akan dibawa di waktu rehat
Di waktu susah dan senang
Di waktu bermukim dan bermusafir
Di waktu sihat dan sakit
Di waktu tidur dan baring                                                                                                           Di waktu sibuk dan bekerja
Hinggakan rasa bertuhan tidak lekang dari jiwa
Di masa yang sama, rasa kehambaan begitu subur
di dalam hatinya

TANDA KEBESARAN TUHAN PADA DIRI ENGKAU

KALAU engkau jadi orang besar
Bukankah tanda kebesaran Tuhan ada pada diri engkau
Ia adalah melambangkan kebesaran Tuhan engkau
Maka mengapa engkau pula yang membesarkan diri
Jika engkau menjadi orang kaya
Bukankah kekayaan Tuhan engkau ada pada diri engkau
Mengapa pula engkau yang berbangga
Sepatutnya engkau malu kepada Allah,
Tuhan yang memperlihatkan kekayaan-Nya
pada diri engkau
Kalau engkau orang yang berkuasa
Ertinya kekuasaan Tuhan nampak dilihat  pada diri engkau
Sedikit kuasa dipinjamkan kepada diri engkau
Mengapa pula engkau sombong
dan menggunakan kuasa sewenang-wenangnya
Allah Taala boleh tarik balik kekuasaan itu
pada bila-bila masa
Kalau engkau menjadi seorang yang pandai
Ertinya ilmu atau kepandaian Tuhan itu ada pada diri engkau
Ia menggambarkan ilmu Tuhan diberi sedikit kepada engkau
Tuhanlah yang memandaikan engkau,
engkau yang kena pandai
Sepatutnya engkau merendah diri kepada-Nya
Bersyukur, memuja, menyembah dan membesarkan-Nya
Engkau tidak akan sombong dengan ilmu itu
Bahkan engkau merasa bertanggungjawab
memberi ilmu itu kepada orang lain
Engkau tidak akan menggunakan ilmu itu
untuk kepentingan diri engkau