AL QURAN – (2)

Al Quran diturunkan berperingkat-peringkat selama 23 tahun. Kitab-kitab yang lain seperti  Taurat, Injil dan Zabur diturunkan seketul, selonggok dan sekaligus. Al Quran diturunkan ke langit pertama pada bulan Ramadan. Kemudian diturunkan kepada Rasulullah sedikit demi sedikit. Terdapat 114 surah dan 6666 ayat di dalamnya mengikut qaul yang masyhur. Di antara ayat-ayat ini, hanya 500 sahaja yang menyentuh tentang hukum hakam. Selebihnya menyentuh tentang hal lain.

                Di antara ayat-ayatnya, ada yang Makiah iaitu yang  diturunkan sebelum Rasulullah berhijrah ke Madinah. Banyak ayat Makiah turun di Mekah tetapi ada juga yang turun di tempat lain seperti di Thaif. Ada pula ayat Madaniah iaitu yang turun selepas Rasulullah berhijrah ke Madinah. Walaupun kebanyakan ayat Madaniah turun di Madinah tetapi ada juga ayat Madaniah yang turun di Mekah. Makiah dan Madaniah bukan dikira di mana ayat itu turun tetapi masa ia turun samada sebelum atau selepas Rasulullah berhijrah ke Madinah.

                Ada ayat Safariah iaitu yang turun semasa Rasulullah sedang bermusafir. Ada pula ayat Qadariah yang turun di waktu Rasulullah tetap bermukim.          

Ada ayat yang Lailiah iaitu yang turun pada waktu malam dan ada ayat Nahariah iaitu yang turun di waktu siang.

Ada ayat yang dibawa oleh malaikat Jibrail dan ada yang datang terus dan direct dari Allah.

Ada ayat yang Muhkamat atau masih boleh dipakai dan ada ayat yang Mansuh atau yang telah dibatalkan oleh ayat yang lain.

Setiap ayat ada Asbabun Nuzulnya atau sebab turunnya ayat. Asbabun Nuzul ini boleh jadi kerana ada orang yang bertanya atau keadaan pada satu- satu masa  itu memerlukannya. Ataupun sebagai satu didikan (contoh ayat berkaitan dengan arak) atau untuk menerangkan hukum.

Susunan surah di dalam Al Quran seperti yang kita lihat sekarang bukanlah seperti mana yang ia diturunkan. Surah pertama yang diturunkan ialah Al’Alaq dan bukan Al Fatihah. Surah An-Naas bukanlah surah yang terakhir diturunkan. Susunan yang ada sekarang ialah mengikut Tauqif atau susunan bacaan oleh Rasulullah.

Advertisements