ZAT YANG MAHA SUCI

BAGAIMANALAH aku hendak melupakan
Zat Yang Maha Suci
Yang kuasa-Nya tidak pernah satu detik terlepas dariku
Yang sentiasa mengetahui berterusan
setiap gerakan jantungku
Ia sentiasa melihat hingga ke batinku
Sentiasa mendengar setiap waktu dan detik
Kehendak-kehendak-Nya ke atasku pasti berlaku
Sama ada aku setuju mahupun tidak setuju
Menggembirakan mahupun yang mendukacitakan
Ia Maha Agung, Maha Qahhar dan Maha Jabbar
Juga kasih sayangnya kepadaku lebih daripada
seorang ibu yang kasih kepada anak-anaknya
Seluruh hidupku di dalam genggaman-Nya
Ia boleh buat apa sahaja kepadaku
Kuasa-Nya ke atasku sepenuhnya
Tidak ada langsung campur tanganku ke atas diriku sendiri
Itulah Tuhan Pencipta seluruh alam dan yang menjadikan aku
Ia adalah Penyelamat
Pentadbir, Penjaga, Pendidik dan Pemelihara
Dengan penuh berhikmah
Oleh itu bagaimana aku mahu melupakan-Nya
Sedangkan Dia tidak akan melupakanku
Walau setakat sekelip mata
Aduh, tidak mungkin aku boleh melupakan-Nya
Tidak mampu aku untuk melupakan-Nya
Itulah Dia Tuhanku
Aku tidak boleh terlepas daripada kuasa-Nya

Advertisements

AKU TIDAK JEMU MENGINGATI-MU

AKU tidak jemu-jemu menyebut nama-Mu Tuhan
Kalau lidahku tidak bergerak, hatikulah yang bergerak
Mengapa aku mesti jemu mengingati-Mu?
Kerana kalau aku, tidak layak Engkau menyebut namaku
Tapi Engkau kan sentiasa tahu tentang diriku
Pengetahuan, penglihatan dan pendengaran-Mu
tidak pernah lekang terhadapku
Bagaimana pula aku hendak melupakan-Mu
Walau bagaimanapun aku hamba-Mu yang lemah
Kelemahan ini Engkau pun tahu
Kerana kelemahan ini memang Engkau yang menciptanya
Sekali-sekala aku terlupa juga dengan-Mu Tuhan
Tapi ini bukan aku sengajakan!
Aku tidak mahu berlaku kelupaan itu
Tapi ia berlaku juga
Begitulah hamba-Mu mempunyai kelemahan
Ia pasti berlaku
Kalau tidak bukanlah dinamakan hamba
Hamba adalah jenis insan
Insan ertinya makhluk pelupa
Begitulah sifat hamba
Aku memohon ampun kepada-Mu Tuhan!
Aku akan cuba sedaya upayanya Tuhan
untuk mengingati-Mu
Bantulah aku Tuhan
agar aku boleh mengingati-Mu selalu

KITA DI DALAM KEKUASAAN TUHAN

KITA ini adalah di dalam kekuasaan Tuhan
Dia boleh membuat apa sahaja kepada kita
Nasib kita betul-betul di tangan-Nya
Kalau Dia hendak melakukan sesuatu kepada kita
Dia tidak peduli apa
Tapi tetap dengan hikmah-Nya
Kerana Tuhan tidak kejam macam manusia
Apa pun yang dilakukannya kepada kita
Tetap di dalam didikan dan pengajaran
Cuma apakah kita pandai menerimanya
Kita ini ibarat telur di hujung tanduk
Kalau tidak kena gayanya
Bila-bila boleh jatuh ke kiri atau ke kanan
Ke depan atau ke belakang
Kerana itulah takutlah kepada Tuhan
Kita adalah di dalam genggaman-Nya
Terpulanglah kepada Dia apa yang Dia hendak lakukan
Aduh, cemasnya bila memandang kekuasaan Tuhan
Kita tidak punyai kuasa sedikit pun
Aduh, rusuhnya hati kita dibuatnya
Orang yang kenal Tuhan mana jiwanya boleh tenang
Sentiasa sahaja bergelora macam lautan
yang tidak henti-hentinya
Kecutnya perut, senak dada dibuatnya
Salafussoleh zaman dahulu
ada yang tidak mampu untuk ketawa
Bila berhadapan dengan kekuasaan Tuhan
Ada kalanya bantut selera hendak makan
Bilamana teringat kuasa-Nya
Aduh, bagaimanalah nasib kita
Kita sungguh cemas dibuatnya

INGATLAH TUHAN

BANGUN-BANGUN tidur sahaja
engkau ingat benda yang tidak mengingatkan engkau
Apatah lagi setelah engkau
berhadapan kehidupan sehari-harian
Engkau ingat duit yang tidak pernah mengingat engkau
Kekayaan apatah lagi sering engkau ingatkan
sebagai angan-angan
Padahal kekayaan tidak pernah mengingatkan engkau
Bahkan berbagai-bagai perkara yang selalu engkau ingatkan
Yang ia tidak pernah pun mengingatkan engkau
Mengapa engkau tidak sering mengingat Tuhan
Yang sentiasa tidak melupakan engkau
Tidak satu detik pun yang Dia lupakan engkau
Dia sentiasa mendengar engkau
Dia sentiasa melihat engkau
Dia sentiasa tahu tentang engkau
Yang sentiasa menjaga dan mengawal engkau
Yang sering mentadbir dan memberi nikmat kepada engkau
Engkau mengingat benda yang kaku, mati
Engkau sibuk dengan mengingat makhluk
yang serupa engkau
Engkau lupa kepada Khaliq yang mencipta engkau
Makhluk bukan ada kuasa ke atas engkau
Sedangkan Khaliq berkuasa ke atas engkau
Mengapa tidak terasa takut kepada Khaliq
yang menentukan nasib engkau

BESARNYA TUHAN DI DALAM KEHIDUPAN INSAN

BUATLAH apa sahaja biarlah bersama Tuhan
Berniaga dan carilah kehidupan sertakan Tuhan
Laksanakanlah apa sahaja jangan tinggalkan Tuhan
Tuhan hendaklah dibawa ke mana-mana
Tuhan sertakan di dalam perjuangan
Di dalam menuntut ilmu jangan lupa Tuhan
Tuhan adalah segala-galanya
Ia modal hidup mati kita
Ia aset yang kekal abadi
Yang memberi keuntungan dan kebahagiaan kepada kita
Tuhan kenalah ada di dalam sebarang hal dan keadaan
Jangan cuba tinggalkan Tuhan, kita akan kecundang
Tuhan adalah harta yang bukan harta
yang sangat diperlukan
Selain Tuhan adalah harta yang tidak memberi jaminan
Tuhan adalah sangat diperlukan
di dalam sebarang keadaan
Jangan tinggalkan Tuhan!
Jika Tuhan sudah ditinggalkan
Sebarang kehidupan kita sudah tidak ada erti
di dalam kehidupan
Begitulah besarnya Tuhan di dalam kehidupan insan

TUHAN ADALAH SEGALA GALANYA

Memiliki rasa kehambaan secara otomatik akan turut memiliki rasa bertuhan dan bagitulah sebaliknya.. Rasa kehambaan ertinya hati sentiasa dikuasai oleh rasa atau perasaan yang selayaknya bagi seorang hamba.Seorang hamba selayaknya merasai hina, lemah, dhaif, berdosa, bersalah, takut, bimbang, cemas, mengharap, rasa dikuasai, rasa menyerah, rasa dilihat dan diketahui oleh Allah swt.

Memiliki rasa kehambaan ini adalah salah satu rahsia kebahagiaan hidup. Ini kerana perasaan tenang, tenteram, tidak terganggu dan tidak tergugat oleh apa pun dalam hidupnya. Semuanya tenggelam dalam takut dan cinta kepada Allah swt. Yakni tiada apa lagi yang ditakutinya kerana semuanya sudah tenggelam dibawah takutkan Allah swt. Perasaan takut kepada yang lain itu tidak lebih hanyalah takut yang bersifat fitrah yang tidak akan sampai mengatasi takutkan Tuhan. Begitu juga tiada apa yang dicintainya kerana semuanya sudah tenggelam dibawah cintakan Allah swt. Perasaan cinta kepada yang lain itu hanyalah cinta fitrah yang tidak sampai mengatasi cintanya kepada Allah swt.

Bukan mudah untuk memiliki rasa kehambaan kepada Tuhan. Rata-rata kita menempuh pendidikan formal atau informal yang mendorong atau merangsang atau menyuburkan sifat dan sikap angkuh, sombong, takbur, membesarkan diri, hairan dan ajaibkan diri, kagum kepada diri, degil, ego dan mementingkan diri. Inilah sifat iblis yang Tuhan lemparkan laknat kepadanya. Bukan mudah untuk mengikis sifat dan sikap iblis ini. Lantaran itulah manusia bukan sahaja sanggup menzalimi sesama manusia, bahkan terhadap Allah swt pun manusia sanggup derhaka. Sebab itu kalau kita lihat mana-mana manusia kalau terhadap Tuhan yang Maha Berkuasa yang sepatutnya ditakuti, pun sanggup dia derhaka, agak-agaknya apakah orang begini takut dengan manusia dan undang-undang manusia. Melainkan selagi ada cara untuk lepas dan bebas nescaya akan dilakukannya.

Sebagai usaha untuk kita hamba merasai kehambaan marilah kita sama-sama seringkali ingat akan hakikat hidup kita ini tetap tidak terlepas dari kekuasaan Allah swt.

1.    Setiap manusia ada cita-cita, kemahuan dan keinginan. Lazimnya untuk mencapai cita-cita itu manusia akan berusaha. Maka berjaya atau berhasil mencapai cita-cita atau keinginan. Hendaklah benar-benar ingat serta rasai bahawa itu semua adalah kurniaan dan anugerah Allah swt. Usaha dengan kerahan tenaga, kegigihan, bersungguh-sungguh termasuk dengan akal fikiran, itu juga adalah pemberian Allah swt. Kejayaan itu adalah dengan izin Allah swt yang sudah ditentukan semenjak azali. Tidak bergerak dan tidak  diam sesuatu itu malainkan dengan izin Allah swt. Berterima kasihlah kepada Allah yang maha baik.

2.    Semua manusia ada cita-cita, keinginan dan kemahuan. Maka manusia pun berusaha. Ramai yang gagal mencapai cita-cita. Ingatlah bahawa semua itu adalah dengan kehendak Allah swt. Manusia ada kehendak, Allah swt ada kehendak, kehendak Allah jua yang berlaku. Rasakan bahawa betapa lemah dan tiada kuasanya manusia. Kalau kita ada kuasa tentulah segala kehendak dan kemahuan kita itu akan diperolehi bahkan dengan mudah. Kita kena melihat kepelbagaian ragam dan corak dalam kehidupan manusia supaya kita dapat merasakan bahawa kepelbagaian itu semua adalah bukti kekuasaan Allah swt. Adalah amat silap apabila berjaya dikatakan sebab usaha dan keupayaan diri. Apabila gagal dikatakan takdir Tuhan. Ini yang sering difahami oleh manusia. Hakikatnya memang semua dari Tuhan, tetap dari segi adabnya setiap kejayaan disandarkan kepada Tuhan dan apabila gagal maka disandarkan kepada kelemahan diri. Baginilah sikap para hamba yang beradab dan berakhlak kepada Tuhan. Disebalik kegagalan itu terhimpun berbagai hikmah dan pengajaran. Ada maksud baik dari Tuhan, hanya kita para hamba yang akal amat terbatas, maka tidak memahami maksud baik Allah swt itu.

3.    Manusia ada cita-cita dan kemahuan, maka diuasahakan. Namun apa yang sering berlaku, lain yang dicita-citakan lain pula yang diperolehi. Rasakan bahawa begitulah sukatan Tuhan keatas kita dalam aspek kehidupan. Terimalah seadanya kerana begitulah yang Tuhan kehendaki untuk kita. Situasi begini semua manusia kena terima dan tidak dapat dielakan. Hikmah besar disebaliknya ialah agar para hamba dapat merasakan bahawa Tuhan boleh berbuat apa saja menurut apa yang Tuhan kehendaki. Seluruh alam semesta ini asalnya dari tiada, kemudia Tuhan adakan. Apakah setelah Allah swt adakan maka Allah swt berlepas tangan? Tidak gerak dan tidak diam sesuatu itu melainkan dengan izin Allah swt.

4.    Banyak perkara yang manusia tidak mahu berlaku dalam hidupnya seperti penyakit, susah, bencana dan lain-lain. Maka diusaha menghindarinya. Kalau berjaya rasakan bahawa Allah swt yang memberi bekas dan memberi kejayaan, bersyukurlah kepada Allah yang mentadbir tiap-tiap sesuatu.

5.    Banyak perkara yang dibenci, yang kita tidak mahu terjadi dalam hidup. Setelah diusahakan, namun terjadi juga. Maka rasakan bahawa disebalik semua itu ada maksud baik dari Tuhan, banyak hikmah dan pengajaran. Sekurang-kurangnya untuk kita insaf dan sedar serta bersungguh-sungguh kembali kepada Tuhan. Dalam sebuah hadis Qudsi ada firman Allah yang disabdakan oleh Rasulullah saw bermaksud, “ Apabila seorang hamba itu tercatit namanya satu darjat dalam syurga. Hamba itu tidak berupaya mencapainya dengan amalan. Maka Tuhan datangkan ujian yang dengan itu dia bersabar. Maka kekal namanya dalam syurga itu.” Itu kalau satu darjat, betapalah kalau Tuhan letakan pada darjat yang lebih tinggi. Sebab itu ujian kepada manusia ini sangat terletak pada taraf keimanan seseorang. Semakin tinggi taraf iman seseorang maka semakin beratlah ujian. Sebab itu Tuhan datangkan ujian paling berat adalah terhadap para Rasul. Dikalangan Rasu-Rasul pula yang paling berat adalah Baginda Nabi Muhammad saw.

Rasulullah juga ada menyebut dengan maksud, “Tidaklah seseorang itu tertusuk selumbar melainkan untuk Allah hapuskan dosanya.” Manakala itu dalam hadis yang lain Rasulullah saw mengingatkan bahawa akibat dosalah maka Tuhan datangkan kesusahan hidup terutamanya kesempitan rezeki. “Tidaklah Allah tahan rezeki seseorang itu dari atas, bawah, kiri, kanan, depan dan belakang melainkan atas sebab dosa yang dilakukannya.” Kalau ini berlaku kepada kita maka banyakkanlah bertaubat.

6.    Banyak perkara yang berlaku kepada manusia samada berbentuk positif mahu pun yang negatif adalah perkara yang manusia tidak pernah terfikir atau terlintas. Ini lebih lagi kita kena merasakan betapa Allah swt itu maha berkuasa. Setiap hari berbagai perkara dan peristiwa yang kita tidak terlintas akan berlaku. Dapatkah kita menolaknya kalau sesuatu itu sifatnya yang kita tidak mahu? Cubalah renungkan. Semua itu terjadi maksud Tuhan yang paling utama ialah agar manusia kembali kepada Tuhan.

Andainya semua enam aspek ini dapat dihayati maka semakin hampirlah seoarang hamba itu mendapat kebahagiaan syurga yang disegerakan. Kerana dia adalah orang yang merasakan Tuhan  segala-segalanya. Mendapat Tuhan ertinya mendapat segala-galanya. Kehilangan Tuhan ertinya kehilangan segala-galanya. Orang yang kehilangan Tuhan dalam keadaan senang pun tidak terhubung hatinya dengan Allah swt bahkan kadang-kadang derhaka kepada Tuhan. Dalam kedudukan kaya, berkuasa, cerdik, tidak merasakan semuanya adalah milik Tuhan. Dalam keadaan susah, menderita, menjadi rakyat jelata pun terputus juga dari Tuhan, tidak sabar, tidak redha dan terus melupai Allah swt.

MAHA AGUNG-MU TUHAN

MAHA Besar! Dan Maha Agung-Mu Tuhan!
Maha Suci Engkau daripada menyerupai makhluk-Mu
Marah-Mu dan hukuman-Mu hebat tapi berhikmah
Kerana Engkau tidak marah bernafsu
Kerana itulah kemarahan-Mu ada pengajaran
bagi orang yang mahu
Juga kasih-Mu tidak rosakkan makhluk-Mu
Seperti ibu dan ayah mengasihi anak-anak
sampai rosak anak-anaknya
Kerana kasih dan sayang-Mu bukan dari hati
Engkau bukan ada hati
Maha Suci Engkau daripada adanya hati
Ini adalah sifat makhluk-Mu
Engkau kasih dan sayang terhadap makhluk-Mu
Adalah dari Zat-Mu yang Maha Suci
yang mempunyai sifat kasih dan sayang
Yang tiada siapa yang tahu melainkan Engkau
Engkau juga boleh sabar di atas kejahatan hamba-hamba-Mu
Engkau tidak bertindak di masa ini
Kerana Engkau tidak tercabar dan rosak
Engkau juga tidak bernafsu, yang menjadikan Engkau emosi
Engkau boleh memberi peluang
kepada hamba-hamba-Mu membaiki diri
Jika mereka tidak sedar juga
Barulah Engkau menghukumnya
Bukan pula Engkau menghukum
kerana Engkau tercacat oleh kesalahan
Maha Suci Engkau daripada mendapat kesusahan
dari kejahatan hamba-hamba-Mu
Tapi hukuman itu adalah atas dasar keadilan-Mu