KEHENDAK TUHAN

SETIAP yang telah terjadi, sedang terjadi
bahkan yang akan terjadi
adalah dari kehendak Tuhan
Yang telah, sedang dan akan berlaku di bumi,
di langit, di Syurga, di Neraka, di Arasy, di Kursi
Di alam Akhirat, alam dunia, alam insan, alam malaikat,
alam jin, alam haiwan, alam jamadat, alam arwah
Ia berlaku dan akan berlaku mengikut kehendak Tuhan
pada azali lagi
Ia berlaku tepat pada masanya, tepat pada tempatnya,
tepat pada keperluan makhluk-Nya,
tepat berlaku di alam mana mengikut ketentuan-Nya
Bersetentangan dengan qudrah-Nya, ilmu-Nya,
pendengaran-Nya, penglihatan-Nya
Setiap yang telah terjadi, sedang terjadi, akan terjadi,
berlaku dengan kehendak Tuhan,
bukan pula Tuhan menimbang-nimbang
Maha Suci Tuhan daripada menimbang-nimbang,
kerana menimbang-nimbang adalah sifat manusia
Keperluan itu terjadi adalah dengan kehendak Tuhan,
berdasarkan ilmu-Nya, penglihatan-Nya
dan pendengaran-Nya pada azali lagi
Ia berlaku adalah dengan hikmah-Nya
dan kepatutan-Nya yang juga berlaku pada azali
Dengan kehendak Tuhan setiap benda yang terjadi
bukan dengan pertimbangan semasa, Maha Suci Tuhan
Kerana Tuhan sudah sedia tahu setiap masa makhluk-Nya
Ia terjadi adalah berdasarkan kehendak Tuhan pada azali lagi
sesuai dengan masa, tempat dan keperluan makhluk-Nya
Dengan ilmu, pendengaran, penglihatan-Nya pada azali juga
Ertinya kehendak-Nya, ilmu-Nya, penglihatan,
pendengaran-Nya yang sudah sedia yang tidak bermula
Kalau kehendak Tuhan ada bermula,                                                                                   sebelum bermula Dia tentu tidak tahu apa kehendak-Nya
Maha Suci Tuhan kehendak-Nya ada bermula
Kehendak yang ada mulanya ialah kehendak makhluk-Nya
Kehendak Tuhan seperti juga dengan sifat-sifat-Nya yang lain,
tidak serupa dengan sifat-sifat makhluk-Nya
Sifat-sifat makhluk seperti kehendaknya ada bermula
Kalau begitu, satu sifat Tuhan sahaja kita faham,
betapa hebatnya
Sungguh Maha Besar, Maha Agung,
Maha Tinggi, dan Maha Suci
Belum kita memperkatakan sifat-sifat-Nya yang lain
Satu sahaja sifat-Nya baru kita tahu
sudah terasa agung-Nya Tuhan
Kalau begitu Tuhan patut dicintai, ditakuti,
disembah dan dibesarkan
Tidak patutlah selama ini
kita tidak mempedulikan Tuhan
atau tidak ambil tahu tentang Tuhan