BAIKI DIRI

Untuk menjadi insan yang sempurna, keinsanan kita perlu dibina dan dibangunkan. Kita perlu memperbaiki Diri. Kita perlu mendidik diri. Memperbaiki diri itu ialah memperbaiki hati. Mendidik diri itu ialah mendidik hati. Kerana yang dijadikan baik itu ialah hati, bukan jasad lahir  dan paras rupa. Hati itulah sebenarnya hakikat diri.

Kalau hati baik, akal akan ikut baik, nafsu akan Ikut baik dan seluruh anggota lahir juga akan ikut jadi baik. Seperti sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya : “ Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Kalau baik daging itu maka baiklah orangnya. Kalau jahat daging itu, maka jahatlah orangnya. Ketahuilah itulah hati.”

                Dalam membina insan ini, kita tidak boleh rehat. Kita tidak boleh berhenti. Ia tidak boleh bermusim. Ia mesti diteruskan selagi kita bernafas dan bernyawa. Berhentinya pembinaan insan ini apabila kita mati. Kerana unsur yang merosakan insan tidak pernah berhenti. Dunia tidak pernah rehat daripada menggoda kita. Syaitan tidak pernah rehat daripada menipudaya kita. Nafsu tidak pernah rehat mengajak kita kepada kejahatan. Kalau kita berhenti membina insan kita, kita pasti akan terjerumus ke dalam lembah yang hina.

Advertisements