ENGKAU MAHA TAHU

TUHAN! Engkau Maha Tahu yang kecil dan yang besar
Di dalam semua perkara dan benda
Terhadap apa jua jenis makhluk-Mu
Kerana Engkaulah yang menciptanya
Tapi pada-Mu kedua-duanya sama sahaja
Tidak ada beza di antara keduanya
Jika kecil Engkau sebutkan maka ia terjadi,
yang besar Engkau sebutkan pun terjadi juga
Tidak pula yang kecil rasa mudah
dan yang besar terasa payah dan susah
Tidak seperti makhluk-Mu yang lemah; membuat perkara
kecil mudah, membuat perkara besar susah
Walaupun di antara habuk dan gunung;
yang satu halus dan yang satu besar gagah
Namun Qudrat dan Iradah-Mu Tuhan, keduanya sama sahaja
Walaupun Engkau memberitahu manusia, langit dan bumi
Engkau jadikan selama enam hari
Bukan ertinya Engkau tidak boleh jadikan dengan sekelip mata
Bukan pula Engkau tidak boleh lakukan secara kun – jadilah
maka ia pun terjadi
Enam hari itu memang kehendak-Mu sendiri
Untuk didikan kepada manusia
Begitu juga jarak jauh dan dekat, Engkau tahu juga
Dan Engkau tahu ini dekat dan ini jauh
Tapi pandangan-Mu sama sahaja
Dekat dan jauh tidak ada beza apa-apa
Bahkan yang tersembunyi dan yang nyata
pada-Mu sama sahaja
Macam mana Engkau melihat yang jauh, begitulah juga
Engkau melihat yang dekat
Tidak seperti penglihatan makhluk
Melihat yang dekat dengan yang jauh ada bezanya
Yang dekat mudah dilihat, yang jauh susah dilihat
Maha Suci Engkau Tuhan
dan Maha Agung Engkau Tuhan

Advertisements