UJIAN DALAM KEHIDUPAN

Kalau tidak ujian dalam hidup, nafsu akan jadi subur dan iman akan jadi lemah. Iman hanya akan meningkat dan nafsu hanya akan tunduk melalui ujian dan kesusahan. Itulah hikmahnya Tuhan datangkan ujian. Untuk menyuburkan iman dan melemahkan nafsu. Jelas bahawa ujian itu adalah tanda kasih sayang Tuhan.

Allah SWT ada berfirman:

 

Maksudnya: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan berkata: Kami telah beriman, sedangkan kamu tidak diuji lagi.”(Al-Ankabut: 2)

 

            Untuk selamat di akhirat, kita kena membaiki diri. Cara membaiki diri ialah dengan bermujahadah dan dengan melalui berbagai-bagai ujian dan mehnah dari Allah. Pada hakikatnya, tidak ada ujian yang berat ataupun ringan. Yang ada hanyalah kuat atau lemahnya hubungan kita dengan Tuhan. Orang yang kuat hubungannya dengan Tuhan, ujian yang berat dirasakan ringan. Orang yang lemah hubungannya dengan Tuhan, ujian yang ringan pun terasa berat.

            Ujian adalah untuk orang baik dan orang jahat. Untuk orang beriman dan tidak beriman atau lemah iman.  Malahan orang baik dan beriman lebih banyak diuji dan lebih berat pula ujiannya. Para nabi dan Rasul adalah mereka yang paling berat ujiannya. Kemudian para wali dan orang soleh. Kemudian  orang-orang awam lain mengikut peringkat iman mereka. Orang baik diuji untuk meningkatkan darjat mereka. Orang jahat diuji untuk menginsaf dan menghapuskan dosa mereka.

            Jalan ke syurga penuh dengan ujian kesusahan dan penderitaan. Jalan ke neraka penuh dengan kesenangan dan nikmat. Justeru itu, menempuh dan menjalani ujian dan kesusahan dari Allah menjadi syarat untuk ke syurga. Ada riwayat hadis seperti berikut:

            Setelah Allah menciptakan syurga dan neraka, maka Allah perintahkan para malaikat pergi melihatnya. Sekembalinya para malaikat, Allah bertanya kepada mereka. Malaikat menjawab “Tiadak akan ada manusia yang akan masuk ke neraka kerana siksaannya yang amat pedih dan dahsyat. Semua manusia akan masuk ke dalam syurga kerana nikmat di dalamnya sangat indah”.

            Allah Taala kemudian memerintahkan malaikat untuk melihatnya buat kali kedua. Sekembalinya para malaikat, Allah bertanya sekali lagi. Kali ini malaikat menjawab “ Tidak akan ramai manusia yang akan masuk ke dalam syurga kerana syurga dikelilingi oleh perkara-perkara yang sungguh menyakitkan dan menyusahkan. Ramai manusia akan masuk ke dalam neraka kerana neraka dikelilingi oleh perkara-perkara yang seronok, indah dan mengasyikkan.”

            Oleh itu kalau kita diuji, itu tanda Tuhan telah meletakkan kita di atas jalan menuju ke syurga. Kita patut banyak-banyak bersyukur. Kalau Tuhan biarkan kita lalai dan berfoya-foya dan bergelumang dengan dosa dan noda, itu tanda kita sedang berada di atas jalan menuju ke neraka.  Kita patut cepat bertaubat.

Advertisements