ENGKAU BERTUHAN YANG BUKAN TUHAN

TUHAN adalah tempat manusia
mengagung dan memuja
Jadi apa sahaja yang menjadi pujaan manusia,
itulah tuhannya
Sekalipun dia tidak menyebut tuhannya
Sebenarnya apa sahaja yang engkau agungkan
dan puja itulah tuhan engkau
Kalau negaralah yang menjadi sanjungan
dan pujaan engkau
Itulah tuhan engkau
Jika bangsalah yang menjadi pujaan
dan kebesaran engkau, itulah tuhan engkau
Kalau engkau membuat apa sahaja demi negara,
itulah tuhan engkau
Jika engkau memperjuangkan demi kebesaran bangsa,
itulah tuhan engkau
Begitulah juga jika engkau memperjuangkan
keagungan ideologi, itulah tuhan engkau
Seterusnya kalau wang ringgit atau betina
yang menjadi pujaan engkau, itulah tuhan engkau
Sungguh bodoh engkau bertuhankan
yang tidak berkuasa di atas engkau
Di mana kecerdikan engkau
menuhankan benda yang kaku beku, ciptaan Tuhan?
Segala yang kita sebutkan tadi bukankah akan binasa?
Mengapa engkau bertuhankan sesuatu yang binasa?
Mengapa engkau jadikan tuhan
yang engkau akan tinggalkan?
Kenapa dan mengapa engkau jadikan tuhan
yang tidak memberi apa-apa kepada engkau
Itulah tandanya akal sahaja
tidak cukup memandu engkau!
tulah buktinya mata dan akal
tidak mampu memimpin engkau!
Kalau mata hati dan jiwa engkau buta
Hati dan jiwa yang buta itulah
yang menjadikan engkau tidak kenal Tuhan
Hati engkau yang buta itulah
yang engkau salah mengambil Tuhan
Rupanya engkau telah ‘syirik’, tapi engkau tidak sedar
Engkau anggap sembah berhala sahaja menjadi syirik?
Engkau puja negara, engkau puja bangsa,
engkau puja ideologi, engkau telah syirik
Memuja negara atau bangsa
sama seperti memuja berhala
Kembalilah kepada Tuhan yang sebenar!
Engkau telah tersesat jalan!
Kerana engkau jadikan tuhan yang bukan Tuhan

Advertisements