ROBEKLAH HATIKU

TUHAN!
Robek-robeklah hatiku ini dengan takutkan-Mu
Pecah-pecahkanlah hatiku dengan kehebatan-Mu
Hancur luluhkanlah hatiku dengan Jabbar dan Qahhar-Mu
Hiris-hirislah hatiku dengan Rahim dan Rahman-Mu
Kecut dan reput-reputkanlah hatiku
dengan Qudrah dan Iradah-Mu
Agar jangan manusia dan kuasanya merobek-robek hatiku
Supaya kebesaran manusia tidak pecah-pecahkan hatiku
Jangan sampai zalim dan kezaliman manusia
menghiris-hiris hatiku
Aku berlindung dengan-Mu daripada makhluk
yang merosakkan hatiku
Juga aku berlindung dengan-Mu jangan sampai
dunia dan nikmatnya merosak hatiku
Tuhan, selamatkanlah hatiku
daripada dirosakkan oleh pujian
Peliharalah hatiku daripada nikmat dunia
dan keindahannya
Tuhan apalah ertinya aku cintakan Syurga-Mu
padahal hatiku tidak mencintai-Mu
Apalah ertinya aku takutkan Neraka-Mu
sedangkan hatiku tidak takut dengan-Mu
Tuhan! Hidayah-Mu yang aku pinta
Taufiq-Mu yang aku mahu
Selamatkanlah aku Tuhan!
Peliharalah aku
Pimpinlah aku ke jalan keselamatan
Engkau adalah Tuhanku, pelindungku

Advertisements

TAKUTLAH TUHAN

BERHATI-HATILAH bahawa bumi yang engkau pijak
Tuhan yang punya
Hendaklah merendah diri dan sedarlah diri
Makanan dan minuman setiap hari yang engkau makan
dan minum nikmat dan pemberian-Nya
Malulah kepada-Nya
Syukurilah Dia!
Setiap pakaian buat menutup badanmu
dan perhiasan dirimu anugerah-Nya
Jangan engkau hairankan dirimu!
Setiap ilmu dan maklumat yang memandaikan akalmu
kurniaan Tuhan
Jangan pula engkau angkuh dan sombong
Merasa manusia luar biasa
Memandang orang menghina
Ingatlah setiap kekayaan yang engkau miliki
Adalah sedikit daripada kekayaan Tuhan
yang diberikan kepadamu
Dia boleh mengambil semula bila-bila masa
Janganlah engkau terpesona dengan kekuasaanmu
Kemudian dengan kuasa melakukan sewenang-wenangnya
Tuhan sedang melihat dan memerhati
Bila-bila Dia boleh bertindak
Engkau akan jatuh terhina dan Akhirat pula Neraka
Ingatlah nyawamu di antara nafas turun naik sahaja!
Bila naik tidak turun, matilah kamu
Jika turun tidak naik lagi, pun matilah kamu
Tapi ini mudah sahaja
Takutilah Tuhan agar di waktu mati
di dalam keredhaan-Nya

AKU HAIRAN ENGKAU TIDAK TAKUT

AKU hairan engkau tidak takut
kepada satu Zat yang kuasa-Nya mutlak
Kuasanya Maha Luar Biasa
yang tiada tandingannya
Kalau Dia ingin mengadakan atau mentiadakan
Dia akan berkata: Jadilah, maka terus jadi
Itulah Dia Tuhan yang mencipta segala-galanya
Kehendak-Nya lulus, penglihatan-Nya tembus
Pengetahuan-Nya meliputi apa yang ada
dan yang tiada
Pendengaran-Nya lulus dan peka
Apa sahaja yang bersuara mahupun yang tiada suara
semua didengar-Nya
Dia sentiasa bersama kita terlalu dekatnya,
tapi bukan dekatnya mengikut ukuran kita
Yang boleh kita kata begian-begian
jarak dekat dan jauhnya
Dekatnya adalah cara mengikut ukuran
Tuhan yang Maha Suci
Yang tidak dapat digambarkan mengikut cara kita
Cara-Nya kita tidak dapat mengukurnya
kerana Dia Maha Suci daripada penyerupaan
Tapi Tuhan dapat mengukurnya
dan dapat mengukur cara makhluk-Nya
Tuhan itulah yang engkau tidak mempedulikan
Sungguh engkau manusia luar biasa
Luar biasa yang tidak sepatutnya
Bila berhadapan dengan Zat
yang Maha Luar Biasa
Luar biasa yang keterlaluan
yang tidak sayugianya ada pada manusia
Apa sudah jadi kepada engkau
Di mana salah silapnya
Kuasa Allah yang begitu terserlah
yang mengecutkan perut
bagi orang yang mengenalnya
Tapi engkau tidak dapat menangkapnya
dan tidak dapat merasanya
Betullah otak engkau sudah gersang
Dan hati engkau telah buta

GAMBARAN KEHIDUPAN UMAT ISLAM DI DUNIA

Di dalam kehidupan kita ini kalau kita luas pergaulan,
lebih-lebih lagi jika kita jauh perjalanan, lihat
kehidupan di kampung dan kehidupan orang di bandar,
bandar kecil atau bandar besar apatah lagi kalau kita
ada kesempatan pergi ke luar negara melihat kehidupan
berbagai-bagai etnik dan bangsa, terutama yang berbagai
etnik dan bangsa itu adalah yang beragama Islam.

Di dalam pergaulan kita yang luas itu berbagai-bagai
watak, ragam dan sifat manusia yang kita temui dan
jumpa.Di dalam berbagai-bagai  ragam, watak dan sifat
manusia itu pula tidak sama pula orang atau golongan
yang memberi nilai kepada masyarakat yang
disekelilingnya. Tidak kurang juga ada orang yang tidak
memperduli orang yang dikelilingnya, apa pun yang
berlaku dan terjadi dia tidak ambil peduli, tak ambil
kisah pun, dia dengan keluarganya sendiri sahaja.
Seolah-olah dia hidup tak campur orang, hanya dia
sendiri dan sekitar keluarganya sahaja sekalipun hidup
berada  di tengah orang ramai. Memang ada orang yang
sikapnya begitu.

Pernah kita jumpa ada keluarga yang hidup mereka miskin,
mereka hidup dengan hasil pertanian yang mereka usahakan
sendiri, pada mereka tidak ada duit, yang ada adalah
bahan-bahan makanan daripada hasil tangan mereka. Mereka
hidup beragama secara sederhana, sembahyang tidak pernah
ditinggalkan, hidup dalam satu keluarga yang aman damai,
bekerjasama, rasa bersama. Jiran sekeliling mereka
sangat hormati, hasil pertanian mereka setelah dipetik
diagih-agih kepada jiran-jiran mereka. Keluarga yang
begini baik tidak ada pun masyarakat hendak memuji-muji
sekalipun mereka beragama dan sangat berbudi kepada
masyarakat. Bahkan tidak pernah mengganggu
masyarakatnya. Mereka tidak dinilai apa-apa oleh
masyarakat kerana di kalangan keluarga itu tidak ada
yang berkelulusan tinggi betapa pulalah yang cemerlang
di dalam pelajaran  dan jawatan. Mereka pun tidak pernah
terfikir hendak meminta di puji oleh masyarakat. Orang
pun tidak ambil pusing tentang keluarga mereka kerana
keluarga itu tidak ada apa-apa yang istimewanya di segi
dunia.

Begitulah di dalam masyarakat yang hidup cintakan dunia
bahawa kejayaan dunia itulah nilai manusia. Soal mereka
tidak beragama mereka tidak ambil kira bahkan tidak
dianggap cacat pun, yang penting mereka ada kelulusan,
ada jawatan tinggi, ada nama, maka mereka itu manusia
yang mendapat sanjungan dan pujian. Nama mereka sentiasa
di dalam bualan manusia, memuji-muji,
menyanjung-nyanjung. Mereka di jadikan contoh dan model
sekalipun mereka tidak kenal dan takutkan Tuhan, agama
ditinggalkan di dalam kehidupan.
Di dalam pengalaman hidup kita, tidak kurang juga kita
pernah lihat ada keluarga yang kejayaan dunianya
cemerlang dan terbilang, berpelajaran tinggi, berjawatan
istimewa. Ada anaknya yang jadi doktor, ada yang
engineer, pensyarah, ahli korporat. Oleh kerana kejayaan
itu, keluarga itu merasakan ada kekuatan berdiri
sendiri, tanpa bersandar dengan orang lain. Mereka telah
mencipta kejayaan hidup yang senang dan selesa. Orang
begini biasanya lupa Tuhan, agama tidak ada dalam kamus
hidupnya. Tanpa memikirkan Tuhan mereka boleh hidup
istimewa, tanpa beragama mereka boleh hidup senang.
Mereka lebih istimewa hidupnya dari orang beragama.
Mereka melihat memang ada orang yang beragama hidupnya
miskin, susah, anak-anaknya tidak ada yang berpelajaran
dan berjawatan tinggi, lantas memandang orang beragama
itu hina, bahkan ada yang menuduh agamalah yang menjadi
sebab mereka miskin, tidak berpelajaran tinggi, tidak
berjawatan tinggi. Fikiran dan jiwa masyarakat umum pun
sudah lama macam fikiran mereka. Sekalipun ada di
kalangan mereka itu juga tidak maju dan tidak bernasib
baik maka keluarga tadi di anggap orang yang berjaya di
dalam hidupnya walaupun sudah kehilangan Tuhan dan agama.

Masyarakat memuji-muji dan menghormati mereka.
Masyarakat menjadikan keluarga itu adalah contoh, mereka
dibual-bualkan oleh masyarakat di dalam
perbualan-perbualan mereka sekalipun mengikut Tuhan
mereka adalah orang-orang jahat dan fasik, tapi ukuran
masyarakat adalah baik.

Begitulah apabila dunia yang menjadi ukuran bukan agama,
orang baik dianggap jahat, orang jahat dianggap
baik.Yang cemerlang dianggap malang, yang malang di
anggap cemerlang.
Di dalam kehidupan kita di dunia ini, tidak kurang juga
ada keluarga yang tidak maju di dalam pelajaran, tidak
ada jawatan tinggi, tidak pula kaya, hanya hidup
sederhana. Oleh kerana mereka sedar membina nama dengan
kecemerlangan dan terbilang itu adalah mengikut ukuran
dunia bukan Akhirat, mereka hidup berbangga dengan
pelajaran dan jawatan tinggi sedangkan mereka tidak
berjaya memperolehinya. Mereka hendak juga membina nama
dan glamor, mereka inginkan sanjungan tinggi dan
penghormatan, maka mereka pun mencari nama dan dengan
jalan singkat.  Mereka membuat perkara-perkara yang
pelik untuk mencari nama dan kemasyhuran. Mereka pun
memanjat gunung-gunung yang tinggi, atau berenang
menyeberang lautan yang dalam, maka mereka pun mendapat
pujian negara.

Mereka diberi pingat dan diberi gelaran wira bangsa dan
negara sekalipun mereka tidak berpelajaran tinggi dan
berjawatan istimewa dan tidak beragama. Tuhan tidak ada
dalam kepalanya. Mereka dianggap orang baik dan berjasa
oleh negara atau bangsa yang semacam mereka. Padahal
mengikut pandangan Tuhan mereka adalah orang-orang jahat
yang diberi gelaran baik. Mereka adalah tertipu oleh
nama dan gelaran. Mereka tidak pun mengharap keredhaan
Tuhan, tapi mengharapkan keredhan bangsa dan negara.
Orang semacam ini termasuk orang yang tertipu dalam
kehidupan. Kalau tidak bertaubatlah, mati, Nerakalah
jawapannya, wal`iyazubillah.

Mungkin pandangan saya ini sensitif buat masyarakat hari
ini, ia mungkin akan menjadi kemarahan sesetengah orang,
yang sudah rosak cara berfikirnya dan yang sudah rosak
jiwanya. Orang yang tidak ada jasa pada bangsa dan
negara sekadar boleh panjat gunung yang tinggi dan boleh
menyeberangi lautan yang dalam dan luas, kalau kita
kritik ramai orang akan marah dan menuduh kita hasad
dengki dan sebagainya.
Padahal apa sajalah jasa mereka pada bangsa dan negara
lebih-lebih lagi pada agama sekadar menunjukkan kekuatan
fizikal padahal pada menjayakan kemampuan-kemampuan itu
agama sudah terabai, Tuhan sudah dibelakangkan. Mungkin
di masa itu negara terpaksa menyumbang kewangan untuk
kejayaannya, sedangkan mereka tidak menyumbang apa-apa
yang berbentuk material dan ilmu pada bangsa dan negara.

Begitulah cara berfikir umat Islam hari ini di seluruh
dunia termasuk pemimpin umat Islam, mungkin juga ulama
yang sudah begitu tersasul dan tersasar dari kebenaran.
Yang sudah jauh daripada di kehendaki oleh Tuhan
pencipta manusia itu sendiri.
Tidak kurang juga di dalam hidup kita ini kita bertemu
dengan orang yang cemerlang di dalam bidang agama dan
cemerlang juga di sudut dunianya. Berjaya di dalam
kemajuan agama, berjaya di bidang kemajuan dunianya. Di
bidang dakwah dia yang berjaya menyedarkan dan
menginsafkan sebahagian manusia sama ada yang Islamnya
dapat ditingkatkan keIslamannya mahupun dapat
mengIslamkan orang yang bukan Islam. Ramai orang yang
berubah hasil didikan daripada jahat  kepada baik,
daripada tidak Islam menjadi Islam. Ramai orang yang
sayang padanya kerana dia membawa agama cintakan Tuhan
dan cintakan sesama manusia tidak kira apa bangsa dan
agama.

Disamping itu dia juga berjaya membawa
pengikut-pengikutnya maju di sudut kemajuan dunianya,
dapat menegakkan ekonomi, pendidikan, kebudayaan dsbnya.
Maka dia pun terkenal. Pengaruhnya besar maka ada pula
sebahagian pemimpin yang iri hati, akhirnya hasad
dengki. Pemimpin itu merasakan kepimpinannya tercabar
dan tercalar. Ditakutinya pengaruhnya terhakis, maka
untuk menjatuhkannya dia dituduh dengan berbagai-bagai
tuduhan dan alasan. Dia dituduh militan, tidak campur
orang, membawa ajaran sesat dll tuduhan untuk
mengelirukan rakyat agar dia munasabah ditangkap dan
diharamkan gerakannya. Padahal orang itu menguntungkan
bangsa, negara dan agama bahkan menjadi aset negara.
Tetapi oleh kerana dia berpengaruh mengatasi pemimpin
yang ada, maka dia dinyahkan dan dipinggirkan melalui
hukuman yang dijatuhkan.

Begitulah bangsa Islam yang sudah rosak fikiran dan
jiwanya, sekalipun seseorang itu menguntungkan bangsa,
negara dan agama tapi pemimpin tercabar, tidak
menguntungkan pemimpin , maka terpaksalah bangsa, negara
dan agama menerima kerugian yang besar. Inilah salah
satu sebab di akhir zaman tidak ada satu bangsa umat
Islam yang kuat dan gagah kerana sikap yang telah kita
nyatakan tadi.
Di dalam hidup ini kita jumpa juga ada sekelompok
manusia di kalangan umat Islam yang akhlak mereka telah
rosak, ramai umat Islam yang telah menjadi mangsanya,
terutama muda-mudi. Mereka merosakkan generasi di
zamannya melalui pergaulan bebas, melalui suaranya,
melalui  budaya kuning dan liar yang selalu
dipertontonkan di kaca tv, di tempat umum. Dipamerkan
akhlak mereka dan sikap hidup mereka di muka-muka surat
khabar dan media-media massa. Kalau ada orang yang sedar
dan mengkritik kerana perbuatan mereka sudah ramai
orang yang rosak agama dan akhlaknya, orang yang akan
mempertahankan puak-puak itu adalah para pemimpin,
mungkin juga ada sebahagian ulama. Bukan mereka tidak
sedar bahawa puak itu telah merosakkan agama dan akhlak
rakyat dan telah meliarkan muda-mudi daripada Tuhannya.
Maka side effectnya berlaku banyak jenayah, zina, rogol,
pergaduhan, tidak taat ibu bapa dan guru, pergaduhan,
vandalism dll gejala sosial yang memeningkan kepala
semua golongan masyarakat oleh kerana mereka sudah
terlalu lalai. Bukan saja mereka telah meninggalkan
agama mereka bahkan kemajuan dunia pun mereka abai dan
cuaikan.

Sesetengah golongan yang menguasai masyarakat dan media
massa bukan tidak sedar bahawa perbuatan mereka boleh
merosakkan agama dan bangsa, tetapi mereka mendapat
untung dan tidak mencabar para pemimpin bahkan
sesetengah pemimpin pula ambil peluang dan tumpang
semangkuk di tengah-tengah majlis bersama mereka.Maka
sebab itulah para pemimpin membiarkan sahaja perbuatan
mereka tanpa dibendung dan disekat padahal sesetengah
mereka ada kuasa membendung dan menyekat. Begitulah
kalau pemimpin juga sudah rosak moral dan aqidah mereka,
mereka juga turut hanyut ditengah masyarakat itu. Bukan
sahaja mereka tidak mendapat cemuhan, bahkan memberi
tempat berleluasa golongan perosak itu. Mereka disanjung
dan dimuakan, hinggakan golongan perosak itu lebih
berani lagi mencipta budaya liar dan tidak bersopan
hingga susah hendak dikawal.
Pernah juga kita jumpa golongan korporat yang berjaya,
hidup mewah tajaan negara. Dia memberi kekuatan ekonomi
kepada negara. Menteri dan pegawai-pegawai tinggi
kerajaan pun segan dan hormat kepada mereka. Kerana
kekayaannya dia pun lupa daratan. Agama itu hanya di
upacara-upacara rasmi sahaja, bergaul pun dengan orang
yang ada kelas, dia hanya bergaul dengan para-para
menteri sahaja. Pada mereka agama hanyalah untuk
orang-orang kampung, orang-orang miskin dan ahli-ahli
agama. Dia lebih popular daripada para menteri, di mana
ada menteri, dia ada. Kalau menteri bersembahyang di
masjid dia sama ikut bersembahyang di masjid. Bergaul
dengan golongan bawahan jangan mimpilah kecuali mungkin
di majlis-majlis rasmi sekali-sekala sebagai adat dan
tradisi rakyat.

Mereka itu walaupun tidak memperdulikan agama, tidak
pernah orang mengata, berleluasa, negara pun bangga. Dia
hendak buat apa pun tidak ada orang yang berani
mengkritik, siapa berani mengkritik, dia orang penting
negara, dia memberi kekuatan kepada ekonomi negara,
seolah-olah mereka orang istimewa yang dikecualikan
daripada sebarang disiplin agama , maklumlah anak emas
negara.

Begitulah kalau seseorang itu kedudukan dan status
dunianya tinggi dan istimewa. Kalau sikap hidupnya orang
tidak suka pun, orang segan hendak mengata dan
menghinanya. Tapi kalau orang itu beragama, berpengaruh
pula, cuma dia bukanlah anak emas sesiapa, tapi ada
pengikut, akan ada para pemimpin dan ahli agama yang iri
hati dan sakit hati. Maka akan dicari-carilah
kesalahannya. Kalau kecil kesalahannya maka akan
dibesar-besarkan lebih-leboh lagi kalau ada perbuatan
mereka yang tidak boleh difaham oleh masyarakat umum
sekalipun ada dalam ajaran agama tapi sudah tidak
difaham lagi oleh ramai umat Islam apatah lagi
mengamalkan. Maka ada alasan untuk disesatkan agar orang
itu ditolak oleh masyarakat Islam. Begitulah watak akhir
zaman, yang hak selalunya ditolak, yang batil selalunya
diterima. Orang baik dimusuhi, orang jahat dihormati
kerana ada keuntungan duniawi.

Oleh kerana kebenaran dan yang haq itu dari Tuhan, ia
adalah teguh dan kuat. Di belakangnya dibacking oleh
Tuhan. Jangka panjang, yang benar dan haq itu akan
terserlah juga. Akhirnya yang haq itu akan berjaya dan
menang. Ia hanya sebagai ujian dari Tuhan kepada
pejuang-pejuangnya. Memang sudah menjadi tradisi dan
sunnatullah yang batil itu cepat berjaya dan menang.
Yang haq lambat berjaya dan lambat menang.

Kerana memang Tuhan lakukan begitu agar orang yang
memperjuangkan kebenaran itu diberi pahala yang banyak
kerana Tuhan mahu orang-orangNya itu biarlah istimewa di
Akhirat daripada di dunia yang murah dan sementara waktu
ini.

Sekianlah sedikit gambaran kehidupan manusia umat Islam
di dunia akhir zaman ini. Nilainya telah berubah begitu
rupa, sudah terbalik. Orang jahat mendapat tempat dan
sanjungan, orang baik dimusuhi, disingkirkan dan
dipinggirkan.

DIDIKLAH ANAK BERSAMA TUHAN

Seorang ibu dan seorang bapa menyesali diri anaknya
Anak yang dididik dari kecil derhaka kepadanya
Di waktu kaki anaknya masih selebar dua jari, lembut dan
licin
Dibelai, dijaga, semut seekor pun tidak boleh
menghampirinya
Malam berjaga menyusukan anaknya, berak dan kencing
dibasuhnya
Dimandikan, dilap apabila sampai waktunya
Dibedak, dilampin dan bedung setiap hari
Sakitnya diubati, sebelum sembuh hati ibu gelisah dan
derita
Aduh! Anaknya ditatang macam minyak yang penuh
Dimanjakan, dibelai, kasih dan sayang sepenuh hati
Hinggalah anaknya membesar disekolahkan,
hingga berjaya taraf cemerlang
Siapakah ibu yang tidak gembira, anaknya mendapat
kejayaan
Lepas itu anaknya mendapat kerja, berjawatan tinggi
bergaji besar
Di sebuah syarikat yang gagah perkasa
Rumahnya besar, kereta menjalar, semua orang iri hati
dibuatnya
Tapi, aduh! Anaknya derhaka, ibunya terbiar tidak
dipeduli
Rupanya anak dididik semenjak kecil
memburu dunia, nama dan glamor
Tuhan tidak dikenali, jauh sekali untuk dicintai
Kejayaan anaknya hasil didikannya
mendapat kedudukan yang gemilang
Hasil didikan tanpa Tuhan senjata makan tuan
Insaflah wahai ibu dan bapa
Didiklah anak bersama Tuhan
Tuhanlah penentu seseorang
mengenal budi ibu bapanya

TAKUTILAH ALLAH

TAKUTILAH Allah kerana Dia adalah pencipta kita
Takutilah Tuhan kerana Dialah yang menghukum kita
Takutilah Allah kerana Dialah yang menentukan nasib kita
Takutilah Tuhan, bukan takut dengan Neraka-Nya
Takutilah Tuhan agar lahir rasa kehambaan
Takutilah Allah, apa yang ditakuti terhindar sama
Takutlah Tuhan supaya rasa bertuhan subur di jiwa
Jika rasa bertuhan wujud,
automatik rasa kehambaan wujud sama
Tuhan perintahkan kepada kita
Hendaklah takuti Zat-Nya yang Maha Esa
Kerana Dialah yang menghidup dan mematikan kita
Dialah yang mendatangkan kesenangan
dan kesusahan kepada kita
Dialah yang memberi nikmat
dan Dia juga yang menarik nikmat
Dialah yang menyihatkan kita
dan Dia juga yang menyakitkan kita
Pada Tuhan ada mempunyai kuasa
dan kehendak yang mutlak
Kecut perut kita kalau kita faham tentangnya
Menggeletar jiwa kita bila kita mengenal kuasa-Nya
Kerana itulah Tuhan sahaja yang patut kita takut
Mengapa kita mesti takut dengan makhluk-Nya?
Takutkan Allah menyelamatkan kita
daripada takut kepada segala-galanya
Kerana itulah kita perlu takutkan Allah sahaja
Orang takutkan Allah, takkan Tuhan hendak
mengazab ke dalam Neraka-Nya
Neraka itu untuk orang
yang tidak takut dengan Tuhan

KUSEMBAHKAN PADA-MU TUHAN

KUSEMBAHKAN kepada-Mu Tuhan
segala usaha dan amalan
Namun selalu sahaja berlaku kualitinya murahan
Tapi apakan daya, itulah yang dapat kusembahkan
Aku harap dengan rahmat-Mu terimalah wahai Tuhan
Kubisikkan pada-Mu berbagai-bagai harapan
Aku menunggu segala jawapan dari sisi-Mu Tuhan
Kalau jawapan tidak kudapati dari-Mu Tuhan
Aku tetap redha menerimanya
dengan penuh tabah dan kesabaran
Aku sedar bahawa aku belum lagi layak menerimanya
Kerana Engkau lebih tahu
apa yang patut diberi kepada hamba-Mu
Jika aku terima di waktu belum layak, aku pasti rosak
Aku menunggu anugerah-Mu hingga aku layak
Aku tidak mahu Engkau memberi aku secara istidraj
Atau Engkau memberi aku di waktu Engkau murka
Berilah lagi aku petunjuk
Anugerahkanlah aku bersama taufik
Agar hidayah dan taufik berjalan sama
Barulah ilmu dan amalku berjalan seiring
Di waktu itu barulah aku layak menerima
daripada-Mu apa sahaja
Kerana itulah aku redha menunggu
Di waktu Engkau anugerahkan kepadaku
bersama keredhaan-Mu