SETIAP NAFAS TURUN NAIK AKAN DITANYA

KETAHUILAH  bahawa setiap kerdip mata
akan ditanya
Setiap nafas turun naik akan dipersoal
Setiap gerak hati akan dipertanggungjawab
Setiap jelingan mata akan ditulis dan dihisab
Perbuatan itu sama ada pergi ke Neraka
atau ke Syurga
Betapalah setelah tangan engkau bertindak
Kaki engkau melangkah dan ke mana hala tujunya
Apatah lagi setelah lidah engkau bercakap
Akal engkau berfikir dan cara mana engkau berfikir
Bagaimana engkau gunakan jawarih engkau
Begitu juga bagaimana engkau gunakan nikmat
di luar diri engkau
Semuanya ini lebih-lebih lagilah akan ditulis,
dirakam dan dihisab
Sama ada ia termasuk perkara yang berdosa
atau yang berpahala
Aduh! Tidak takutkah kita
dengan Zat yang Maha Agung
Yang tahu, yang melihat dan yang mendengar
seluruh gerak-geri kita lahir dan batin
Yang akan menghukum kita
sama ada ke Syurga atau ke Neraka
Tidak cemaskah kita peristiwa itu pasti berlaku
Di suatu hari yang kita akan diadili
dengan begitu halus
Di waktu itu tidak ada siapa yang membela kita
Masing-masing memikirkan diri
Bahkan para rasul dan nabi alahimussolatuwassalam
pun ketakutan
Allah! Allah! Allah! betapalah kita ini
yang memang tidak lepas dari dosa dan kesalahan                                                          Takutilah Allah,
rendah dirilah kepada-Nya
Mohon ampunlah setiap ketika
Agar setiap dosa dan kesalahan kita diampunkan
Sama ada yang kita sedar
mahupun yang tidak