DI ANTARA DUA ISTIGHFAR

“Manakala kita berdosa, Allah murka kepada kita. Dan kalau kita membawa dosa-dosa kita yang di luar sembahyang ke dalam sembahyang, bermakna kita menyembah Allah dalam keadaan Dia sedang murka kepada kita.”

Adalah lebih patut kita beristighfar dan meminta ampun kerana kita sangat-sangat tidak berakhlak, tidak beradab dan tidak bersopan di hadapan Tuhan semasa di dalam sembahyang.”

Istighfar bererti meminta maaf, meminta ampun dan bertaubat kepada Allah. Di sini ingin diceritakan tentang dua istighfar.

Istighfar pertama :
Istighfar yang pertama ialah sebelum solat atau sebelum sembahyang, iaitu sebelum takbiratul ihram.

Istighfarlah dan bertaubatlah sebanyak -banyaknya dan sepuas-puasnya. Istighfarlah sehingga hati kita terasa kenyang, tenang dan tenteram.

Semoga dengan itu Allah ampunkan dosa-dosa kita.Supaya kita tidak membawa dosa-dosa kita yang di luar sembahyang ke dalam sembahyang kita.

Antara sebabnya ialah:

1. Manakala kita berdosa, Allah murka kepada kita . Dan kalau kita membawa dosa-dosa kita yang di luar sembahyang ke dalam sembahyang, bermakna kita menyembah Allah dalam keadaan Dia sedang murka kepada kita.

2. Manakala kita berdosa dan tidak bertaubat dari dosa-dosa itu, kita sebenarnya orang yang derhaka dengan Tuhan . Kalau kita sembahyang juga tanpa kita bertaubat dari dosa-dosa tersebut maka sembahyang kita ialah sembahyang orang yang derhaka dengan Tuhan.

3. Kalau kita berdosa dan kita tidak mahu bertaubat dari dosa-dosa itu, kita ialah orang yang angkuh dan sombong dengan Tuhan . Kalau dalam keadaan itu kita bersembahyang, maka sembahyang kita ialah sembahyang orang yang angkuh dan sombong, bukan setakat angkuh dan sombong kepada manusia yang mungkin boleh dianggap ringan sedikit, tetapi angkuh dan sombong dengan Allah itu sendiri iaitu Tuhan yang hendak kita sembah.

4. Di dalam sembahyang, kita banyak berdoa. Kalau kita membawa dosa, Allah murka kepada kita . Bagaimana kita dapat berdoa kepada Tuhan yang sedang murka dengan kita. Apakah peluang bagi doa-doa kita itu dimakbulkan Tuhan? Kalau Allah tidak makbulkan doa-doa kita kerana Dia sedang murka kepada kita, mungkin kita akan selamat. Tetapi kalau Allah makbulkan juga doa dan permintaan kita dalam sembahyang dalam keadaan Dia sedang murka dengan kita, maka apa sahaja yang Allah kurniakan itu akan menjadi istidraj. Iaitu ia akan menjadi nikmat yang Allah kurniakan dengan marah. Ia akan menjadi nikmat yang tidak diiringi dengan rahmat dan kasih sayang Tuhan. Di hujungnya nanti, kita akan jadi kufur nikmat.

5. Bagaimana pula hendak kita sembah Tuhan dalam keadaan kita sedang derhaka kepada-Nya kerana dosa-dosa kita yang tidak terampun . Kalau kita mengadap dan menyembah raja atau sultan manusia di dunia ini pun, dalam keadaan kita derhaka kepadanya, mungkin dia tidak mahu tengok kita. Kalau tengok pun, mungkin diherdik dan dimaki hamunnya kita. Atau mungkin dia akan terus tangkap dan hukum kita.

6. Bagaimana pula akan kita sembah Tuhan kalau kita angkuh dan sombong dengan-Nya kerana tidak mahu bertaubat dari dosa-dosa kita. Angkuh dan sombong itu bukan sifat hamba. Ia sifat Tuhan . Bagaimana boleh kita bersifat sombong dan angkuh dan kemudian mahu menyembah Tuhan. Ketika itu kita bukan lagi hamba. Kita tidak tawadhuk dan tidak merendah diri di hadapan Tuhan. Ketika itu kita seolah-olah mahu menyamai atau menandingi Tuhan. Dalam keadaan ini, bolehkah sembahyang kita itu dianggap sebagai satu penyembahan atau satu pengabdian. Adakah ketika itu kita benar-benar sedang sembahyang dan sedang mengabdikan diri kepada Tuhan?

Inilah di antara sebab mengapa sembahyang itu gagal untuk menghidupkan rasa-rasa bertuhan dan rasa-rasa kehambaan dalam diri orang yang bersembahyang. Kerana dalam sembahyang, mereka dimurkai Tuhan, mereka derhaka, dan mereka sombong dan angkuh dengan Tuhan. Bila sembahyang tidak khusyuk dan rasa-rasa bertuhan dan rasa-rasa kehambaan tidak timbul atau tidak wujud di dalam sembahyang, maka sembahyang itu tidak ada nilai dan tidak ada erti apa-apa. Ia tidak mendidik hati kita dan tidak akan dapat menjauhkan kita dari perkara-perkara yang keji dan yang mungkar.

Istighfar kedua :
Istighfar yang kedua ialah sesudah memberi salam. Lainlah kalau sembahyang kita itu seperti sembahyang orang muqarrobin atau orang siddiqin yang tidak ada lalai dalam sembahyang mereka. Bagi mereka ini, layaklah mereka mengucapkan hamdallah atau “Alhamdulillah” selepas salam sebagai tanda syukur kerana Allah telah kurniakan mereka nikmat khusyuk, tawadhuk dan khuduk di dalam sembahyang mereka.

Tetapi bagi kita orang-orang awam, yang sembahyang kita cacat sini cacat sana, bocor sini bocor sana, koyak sini koyak sana dan defect sini defect sana, mana mungkin layak bagi kita mengucapkan hamdallah. Adalah lebih patut kita beristighfar dan meminta ampun kerana kita sangat-sangat tidak berakhlak, tidak beradab dan tidak bersopan di hadapan Tuhan semasa di dalam sembahyang .

Contohnya:

1. Di hadapan Tuhan kita lafazkan berbagai-bagai perkataan, misalnya, “Allahu Akbar”, tetapi tidak faham pun apa yang kita lafazkan itu. Kalaupun faham, tidak terasa pula bahawa Allah itu benar-benar Maha Besar di hati kita. Kita tidak maksudkan dan kita tidak rasa apa yang kita kata . Kita hanya berlakon dan berpura-pura di hadapan Tuhan.

2. Dalam masa kita sedang menyembah Tuhan pula, jasad kita berdiri, rukuk dan sujud, tetapi hati dan jiwa kita entah ke mana-mana. Allah menunggu kita untuk disembah dan untuk menerima segala pengaduan tetapi kita tidak hadir. Kita wakilkan sahaja kepada jasad dan tubuh badan kita yang tidak tahu dan tidak faham apa-apa. Jasad dan jawarih kita sahajalah yang menyembah Tuhan.

Sudahlah di luar sembahyang kita tidak pernah bersama Tuhan, ini sedang menyembah Tuhan dalam sembahyang pun kita gamak tinggalkan Tuhan untuk berfoya-foya dengan hal-hal dunia.

Belum pernah lagi kita dengar ada orang yang mengadap raja atau sultan dan sedang dia mengadap itu, langsung tidak menghiraukan raja malah dia tinggalkannya sultan begitu sahaja untuk pergi ke kedai membeli rokok. Tapi dengan Tuhan, semasa dalam sembahyang, inilah akhlak dan perangai kita.

3. Dalam sembahyang, Allah bukan hendak berhadapan dengan jasad kita tetapi dengan roh atau hati kita. Tetapi roh kita jarang hadir. Ramai orang yang boleh membawa jasad dan lidah mereka untuk bersembahyang tetapi tidak ramai yang mampu membawa roh dan hati mereka untuk bersembahyang sama.

Demikianlah kita orang awam, selalu sahaja tidak berakhlak, tidak beradab dan tidak bersopan dengan Tuhan. Kalau ini berlaku di luar sembahyang pun sudah dianggap berat, inikan pula ia berlaku ketika kita sedang mengadap dan menyembah Tuhan. Lagi-lagilah ianya dianggap berat. Patut sangatlah kita beristighfar dan meminta ampun selepas memberi salam!

Mengapa Penting Menjaga Roh

Lazimnya manusia sangat memberi perhatian dan mengawasi kesihatan fizikal. Pengawasan dibuat dengan seribu satu macam cara. Apabila mengalami sakit atau sebarang gangguan, biasanya tanpa lengah lagi manusia akan segera menemui doktor. Andainya tidak berkesan daripada rawatan biasa, berpindah pula ke doktor atau rawatan pakar.

Anehnya, tidak demikian sikap manusia dalam menghadapi penyakit hati atau rohani. Sama ada manusia mengambil sikap terus tidak peduli langsung atau memandang remeh terhadap persoalan hati atau roh. Padahal kesan dan akibat daripada penyakit hati atau roh bukan sahaja mencetuskan berbagai kejahatan dan kemungkaran malah akan diseksa di Neraka Allah SWT di Akhirat kelak, waliyazubillah.
Marilah sama-sama kita lihat mengapa terlalu pentingnya menjaga hati atau roh yang di antaranya seperti berikut:

1. Kerana roh itu kekal atau dikekalkan, tidak seperti fizikal (jasad lahir), ia binasa. Di Akhirat kelak, roh itu dibagi atau diberi jasad baru.

2. Roh itulah yang akan menerima atau merasa nikmat atau azab bersama jasad barunya di Akhirat kelak.

3. Ia adalah wadah rebutan antara malaikat dan syaitan yang mana sama-sama ingin mengisi. Malaikat dengan iman, syaitan dengan kekufuran atau malaikat dengan keyakinan, syaitan dengan keraguan.

4. Ia adalah tempat jatuhnya ilham atau ilmu laduni, ia merupakan wahbi daripada Allah. Akal tempat ilmu nazali.

5. Roh kalau ia bersih, Allah beri ia rasa yang tepat atau firasat.

6. Roh kalau ia terlalu bersih, matanya lebih tajam dari mata lahir atau mata kepala, sebahagian yang ghaib Allah perlihatkan kepadanya yang dikatakan mukasyafatul qulub.

7. Roh/hati adalah raja dalam diri, iaitu dia akan arahkan tentera-tenteranya iaitu anggota lahir atau jawarih kepada kebaikan. Kalau ia jahat, ia akan arah tenteranya membuat kejahatan dan begitulah sebaliknya.

8. Kerana ia boleh menerima sifat-sifat mahmudah yang dikehendaki dan juga boleh menerima sifat-sifat mazmumah yang dibenci dan dikeji yang sayugianya hendaklah dibuang atau dijauhi.

9. Ia adalah merupakan tempat merasa iaitu susah atau senang, bahagia atau dukacita, rasa sempit dan rasa lapang, rasa keluh-kesah atau tenang, rasa kecewa atau ceria, rasa putus asa atau harapan yang cerah, rasa benci atau suka, rasa ragu atau percaya, rasa pesimis atau optimis, rasa rindu atau simpati.

Dunia Dan Nikmatnya Bukan Untuk Dicintai

Dunia dan nikmatnya bukan untuk dicintai

Ia usaha dibuat untuk kehidupan dan kemajuan di dunia untuk sesama manusia

Dunia dan nikmatnya akan senasib dengan kita

Kita akan mati, ia juga fana’ dan binasa

Perkara-perkara untuk kehidupan, selain untuk kita, ia untuk diagih-agihkan

di kalangan manusia

Memberi dan mengagih-agihkan nikmat dunia untuk keredhaan Tuhan pencipta dunia

Jika ia kita cintai, amat susah untuk diagih-agihkan sesama

Mengagihkan nikmat dunia akan lahir kasih sayang sesama manusia

Dari kasih sayang lahirlah perpaduan

Kasih sayang dan perpaduan semua orang memerlukan

Kerana ia boleh membawa keamanan dan kemajuan

Tidak ada kasih sayang, tidak ada keamanan, tidak ada perpaduan,

tidak ada kekuatan dan kemajuan

Oleh itu berusahalah  mencari kekayaan dunia untuk sendiri dan diagih-agihkan

Bukan untuk dicintai, untuk dicintai itu adalah Tuhan

Mengapa kita cintai nikmat dunia yang tidak kekal dan ditinggalkan

Ia akan senasib dengan kita yang berhadapan dengan kematian dan kebinasaan

Sepatutnya yang kita cintai itu yang kekal abadi iaitu Tuhan

Mengapa kita cintai sesuatu  yang tidak berkekalan

Mencintai sesuatu yang tidak kekal, cinta sekerat jalan

Mencintai yang tidak kekal, mencintai sesuatu yang mengecewakan

Tuhan kekal abadi, mencintai Tuhan cinta berkekalan

Rupanya selama ini kita telah salah meletakkan kecintaan

Cinta barang murahan, kemudian meninggalkan cintakan Tuhan yang maha mahal

BIARLAH ORANG MENGATA

Biarlah orang mengata kita, jangan kita mengata

Biarlah orang memfitnah,

jangan kita melakukannya

Biarlah orang menzalimi kita, kita maafkan saja

Biarlah orang mencaci kita,

doakan petunjuk buat mereka

Bercakaplah yang memberi faedah

atau diam lebih baik

Kenangkanlah budi orang, lupakan jasa kita

Balaslah jasa orang, lupakan jasa kita

Balaslah jasa orang, lupakan kejahatanya

Alangkah baiknya balas kejahatan orang

dengan kebaikan

Wahai saudara-wahai saudari itulah panduan kita

Jadikan ia panduan di dalam pergaulan

Krisis tidak akan panjang,

permusuhan tidak berlarutan

Itulah panduan jika ingin aman dan harmoni

Tuan atau puan begitulah Islam memberi panduan

Untuk keselamatan hamba-hambaNya di dunia

Tidak ada pada ajaran agama-agama lain

dan sebarang ideologi

Hanya ada pada Islam yang sejati

Begitulah sebahagian etika didalam pergaulan

Marilah kita bersama-sama mengamalkan

bersungguh-sungguh

Walaupun berat sekalipun penat

Untungnya banyak di dunia akhirat

Bertolak ansur dalam pergaulan.

Bertolak ansurlah di dalam pergaulan ia adalah disenangi oleh manusia

Berlapang dadalah dengan perangai manusia agar boleh hidup bersama

Bersimpatilah dengan orang yang susah tanda hati mulia

Bergembiralah dengan kesenangan orang, susah hatilah dengan kesusahan orang

agar penyakit hasad dengki hilang

Ringan tanganlah menolong orang, agar kita disenangi orang

Senyum dan bermesralah di dalam pergaulan, itulah dia sedekah yang tidak meluakkan

Janganlah selalu mengadu tentang kesusahan, maruah kita akan tercemar

Janganlah tuntut hutang orang kepada kita,

agar orang tidak risau dan tidak terganggu fikirannya

Janganlah suka berhutang, fikiran kita tidak akan tenang

Elakkanlah selalu bergaul dengan wanita ajnabi agar kita dihormati orang

Jagalah perkataan kita ketika bercakap agar maruah orang tidak tercemar

dan maruah kita dapat dijaga

Kurangkan bergurau agar harga diri kita dipandang tinggi dan orang hormat kepada kita

Janganlah ketawa terbahak-bahak hilang harga diri kita

Inilah di antara etika di dalam pergaulan bermasyarakat

Kenalah kita selalu menjaganya agar kita selalu dipandang mulia

Kalau setiap orang mengikut disiplin ini di dalam pergaulan

Kasih sayang sentiasa berbunga, hidup aman, damai dan harmoni