UMAT ISLAM DITIMPA BALA

Rata-rata umat Islam sudah ditimpa bala. Bala yang mereka tidak sedar, sungguhpun ia sangat merbahaya. Bala ini tidak lain dan tidak bukan ialah terlalu cinta dengan dunia dan jahil pula tentang ilmu agamanya sendiri.

Umat Islam sekarang cuma susah hati kalau ditimpa bala yang menyusahkan urusan duniawi mereka seperti ditimpa penyakit, ditimpa kemiskinan, kehilangan harta benda, kematian keluarga tercinta, kehilangan pangkat dan kedudukan, rugi perniagaan, hilang pekerjaan dan lain-lain lagi. Terlupa akan kehidupan di Akhirat yang kekal abadi. Mereka sangat terpaut dan terpengaruh dengan kehidupan yang terdekat iaitu dunia ini. Kerana itu seluruh kemampuan fizikal, mental dan jiwanya dihalakan untuk menghindarkan diri dari bala yang sementara ini.

Dari sikap cinta dunia dan acuh tak acuh dengan akhirat, maka timbullah salah berfikir di kalangan umat Islam. Mereka sangat memandang besar nikmat dan bala di dunia. Nikmat dan bala di Akhirat di pandang kecil sahaja. Walhal, apalah ada segala kesusahan di dunia ini berbanding dengan hanya satu hari diseksa di dalam Neraka.

Umat Islam perlu menukar sikap mereka dan mencontohi para Sahabat, para Tabiin dan Tabiut Tabiin iaitu di sekitar 300 tahun selepas kewafatan Rasulullah SAW. Mereka sangat sensitif dengan bala yang berkaitan dengan persoalan Akhirat. Mereka sangat bimbang kalau hati mereka longgar dengan Tuhan, sudah tidak ghairah dengan kebaikan dan nikmat Syurga dan tidak bimbang dengan dosa dan siksaan Neraka.  Mereka juga sangat cintakan ilmu kebenaran dan berlumba-lumba untuk menimba ilmu yang bermanfaat yang boleh membawa mereka hampir kepada Tuhan.

Tetapi umat Islam sekarang, ilmu kebenaran sudah ada di hadapan mata, tetapi mereka bersikap acuh tidak acuh hendak mempelajari, apalagi mengamalkannya. Bila sudah ditimpa bala yang besar, maka bala yang kecil seperti hilang pangkat, hilang harta benda, difitnah, dicaci, jatuh sakit atau lain-lain lagi, sudah cukup membuatkan jiwa menderit, fikiran jadi kusut, marah-marah tidak tentu hala, kecewa yang tidak berkesudahan,mengadu sana mengadu sini dan mereka hilang bahagia sama sekali. Hiduplah umat Islam  dalam kacau bilau dan porak peranda, sama seperti hidup orang yang tidak beriman kepada Tuhan.

Itulah akibatnya apabila umat Islam tidak sedar yang mereka sudah ditimpa bala yang sangat besar. Untuk melepaskan diri dari bala yang besar ini, kita perlu bersungguh-sungguh menimba ilmu agama yang boleh mengungkai sikap cinta dunia. Bila bala yang besar ini sudah terangkat, barulah bala yang lain dapat diterima dengan tenang. Hidup juga akan jadi aman dan bahagia, menanti kehidupan yang jauh lebih nikmat di Akhirat nanti.