ANTARA NIAT DAN SIKAP

Kejayaan dalam mendidik manusia ialah bilamana seseorang itu mampu memperkenalkan Tuhan kepada manusia sehingga takut dan cinta kepada-Nya. Cinta dan takut itu menjadikan manusia itu suka untuk beribadah kepada Tuhannya. Buah daripada ibadahnya melahirkan manusia yang baik yang boleh memberi manfaat kepada orang lain. Ini semua ada hubungan rapat dengan ilmu rohaniah.

Maka bagi orang yang ada cita-cita untuk membaiki diri atau guru-guru yang hendak mendidik manusia, mereka mestilah mengetahui ilmu rohaniah ini. Sekaligus mempraktikkan ke dalam diri mereka terlebih dahulu sehingga mereka menjadi baik. Contoh dan suri teladan yang baik daripada mereka itulah jadi ikutan pula kepada murid-murid dan pengikut-pengikutnya. Dengan kata-kata lain, mereka menjadi model hamba Allah yang baik yang mampu memberifaedah kepada manusia sejagat.

Melalui pengalaman kita, mendidik manusia adalah sulit sekali. Ini kerana manusia itu ada akal, roh, nafsu dan fizikal. Fizikal adalah anggota lahir. Akal, roh dan nafsu adalah anggota batin. Kejayaan mendidik manusia adalah ditentukan oleh tiga anggota batin yang tidak nampak tadi iaitu akal, roh dan nafsu itu.

Jadi kalau pendidik-pendidik atau guru-guru tidak ada ilmu rohaniah, hanya faham fizikal manusia semata-mata, bagaimana dia hendak mendidik murid-murid dan pengikut-pengikutnya.Tentu sekali pendidik-pendidik atau guru-guru tadi akan gagal. Mendidik manusia tidak cukup mendidik fizikal mereka sahaja. Tapi itulah yang berlaku selama ini. Murid-murid atau pengikut-pengikut dididik fizikal mereka semata-mata. Tiga anggota batin yakni roh, akal dan nafsu tidak dididik. Walhal hakikat manusia itu ialah anggota batin inilah, manakala anggota lahir mengikut saja.

Ilmu rohaniah ertinya ilmu yang berkait rapat dengan roh (hati nurani manusia). Ilmu rohaniah ini juga disebut sebagai ilmu tasawuf. Al Quran menganjurkan ilmu ini iaitu:
Maksudnya: Beruntunglah orang yang mensucikan hatinya dan rugilah orang-orang yang mengotorinya. (Asy Syam: 9 – 10)

Roh atau hati nurani (anggota batin) adalah merupakan hakikat diri manusia. Ertinya, harga diri dan nilai diri manusia itu ditentukan oleh roh, akal dan nafsunya. Tanpa roh, manusia adalah bangkai. Kerana adanya roh juga maka manusia itu dikatakan mukalaf yakni makhluk yang diperintahkan untuk menyembah Allah, patuh kepada suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Tanpa roh, perintah dan larangan Allah tidak ada erti apa-apa. Tapi bukan semua roh itu yang menjalankan perintah dan menjauhi larangan. Ada juga roh yang melanggar perintah dan melakukan larangan. Ini bergantunglah kepada proses pendidikan yang diterima oleh roh itu.

Roh yang taat, takut dan cinta pada Allah akan menjadikan manusia itu berguna dan menguntungkan dirinya serta orang lain. Tapi roh atau hati yang rosak atau kotor akan menjadikan manusia itu tidak berguna apa-apa lagi. Dirinya seolah-olah bangkai bernyawa. Dengan kata lain, dia adalah sampah masyarakat. Dia masih hidup, boleh bergerak ke hulu ke hilir, boleh mengatur dan mentadbir, bercakap dan bertindak, namun semua itu penuh kejahatan dan kerosakan.
Maksud saya, sekiranya roh atau hati yang rosak atau kotor itu ada pada seorang pemimpin maka kepimpinannya tidak lagi adil bahkan penuh dengan kekejaman, diskriminasi, mementingkan diri, keluarga dan kliknya sahaja, malah dia adalah perosak bangsa, agama dan negara.

Kalau roh atau hati atau anggota batin yang rosak itu berada dalam diri orang kaya, jadilah si kaya itu bakhil, tamak, lintah darat dan membazir. Kalau roh atau hati dalam diri ulama sudah rosak, jadilah si ulama itu penjahat (ulama suk). Dia akan menjual ilmu Islamnya untuk membeli kepentingan dunia yakni dia gunakan ilmu Allah untuk mencari pangkat, nama dan duit semata-mata macam petani menjual tanamannya untuk mendapat duit. Ulama suk menjual ilmunya untuk kepentingan dunianya. Kalau ia bercakap adalah bagi pihak tuan bukan bagi pihak Tuhan. Kalau tidak bercakap, mereka menjadi syaitan-syaitan bisu pula.

Roh atau hati atau anggota batin yang sudah rosak kalau berada dalam diri para pemuda, pemuda itu akan menghabiskan masanya dengan berfoya-foya, berangan-angan, melepak-lepak dan berseronok-seronok. Tenaga sasanya disia-siakan tanpa memberi apa-apa faedah atau khidmat kepada masyarakat. Akhirnya mereka jadi sampah masyarakat.

Kalau roh atau hati yang jahat ada pada si miskin, maka keluh- kesahlah dia sepanjang masa, rasa hina, rasa malu kepada orang yang lebih darinya. Dengan orang kaya mereka rasa dengki dan dendam. Ertinya dia tidak sabar dan tidak redha dengan kemiskinan yang menimpa dirinya.

Demikianlah kalau roh yang jahat itu ada dalam diri para gadis remaja dan kaum wanita maka rosaklah dirinya dengan asyik berlawa-lawa, bersolek-solek dan bergaya untuk menarik perhatian orang padanya. Dirinya sanggup dijual pada sesiapa saja yang boleh memberi nikmat dunia padanya. Ramai lelaki yang tergoda. Sesama sendiri saling benci-membenci dan bersenget-senget hati.

Begitulah peranan roh dalam hidup manusia. Ia bagaikan raja dalam negara diri. Menjadi penentu baik atau tidaknya manusia itu bahkan penentu hidup mati manusia. Kalau ia keluar dari jasad, manusia akan menjadi bangkai. Kalau ia ada pula dialah yang akan mencorak kehidupan itu, baik atau buruk, perosak atau pengislah, peruntuh atau pembangun, bertanggungjawab terhadap masalah atau pencetus kepada masalah, pendamai atau penghuru-hara dan lain-lain lagi. Inilah yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
Maksudnya: Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, kalau baik daging itu maka baiklah manusia, kalau ia rosak maka rosaklah manusia. Ketahuilah itulah hati atau roh. (Riwayat Bukhari dan Muslim dari Nukman bin Basyir)

Pengalaman kita sendiri membuktikan bahawa hati atau roh kitalah yang menentukan tindak-tanduk kita. Fizikal (tangan, kaki, mulut, mata, telinga, perut dan lain-lain anggota) cuma menunaikan kehendak-kehendak hati. Anggota lahir (fizikal) bukan penentu tetapi hanya pekerja dan buruh-buruhnya sahaja. Kalau hati mahu, semuanya jadi. Kalau hati tidak mahu, apa pun tidak jadi. Sebab itulah Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya setiap amalan itu disertai dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang dinilai dari apa yang diniatkan. Sesiapa yang hijrah kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya itu adalah dinilai kerana Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang hijrah kerana dunia yang diidamkan atau perempuan yang ingin dikahwininya maka hijrahnya dinilai kerana itulah. (Riwayat Bukhari)

Kalau niat baik maka amalan itu diterima sebagai amalan baik. Sebaliknya kalau niat jahat maka amalan itu dikira jahat sekalipun nampaknya baik. Contoh, Si A berniat untuk sembahyang kerana Allah, maka sembahyang itu diterima sebagai amalan soleh. Manakala Si B meniatkan sembahyang itu untuk dia dikatakan orang baik maka sembahyangnya tertolak.

Ada juga niat yang baik tetapi dilaksanakan dengan cara yang jahat. Ini juga tertolak. Misalnya seorang yang berniat untuk menolong seseorang dengan cara mencuri duit seseorang yang lain. Ini tidak betul. Lebih-lebih lagilah tidak betul kalau niatnya salah dan perlaksanaannya pun salah. Sebab itulah Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah Taala tidak memandang gambaran rupa kamu dan tidak kepada bangsa kamu dan tidak kepada harta benda kamu tapi Dia memandang hati kamu dan amalan-amalan kamu. (Riwayat At Tabrani)

Di sinilah kita lihat Allah membahagikan amalan hamba-hamba-Nya kepada dua bahagian:
Pertama: Apa kata hati (niat)
Kedua: Bentuk perlaksanaan lahir

Dengan kata lain Allah bezakan niat dengan sikap. Walaupun kedua-duanya diperintahkan tetapi keutamaan diberi pada niat supaya seseorang tidak menipu dirinya dan orang lain dengan berbuat baik tapi bermaksud jahat. Manusia cuma nampak yang lahir dan tidak tahu apa yang dirahsiakan di dalam hatinya.

Sedangkan kalau dia buat jahat orang boleh nampak dan boleh tegur untuk keselamatan dirinya. Hal ini boleh diibaratkan pada sebiji buah yang ada kulit dan ada isi. Kedua-dua kulit dan isi adalah penting. Buah yang baik itu adalah kerana kulitnya baik dan isinya pun baik. Buah yang kulitnya baik tapi isinya tidak baik, ia tidak berguna apa-apa.Manakala buah yang kulitnya buruk sedangkan isinya baik pun tidak bagus. Cuma ia masih boleh dimakan. Sebab itu Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Niat orang mukmin lebih baik dari amalannya.
(Riwayat Al Baihaqi dan Ar Rabi)

Maksudnya niat yang baik itu lebih baik dari amalan yang baik kerana niat yang baik tidak dicelah oleh riyak atau ujub. Manakala amalan yang baik cukup mudah dihinggap oleh riyak dan ujub. Jarang manusia boleh selamat dari diganggu dan dirosakkan amalannya oleh riyak dan ujub. Ada Hadis mengatakan bahawa seseorang yang baru berniat baik sahaja sudah diberi pahala oleh Allah. Sedangkan niat yang jahat tidak dikira berdosa sehinggalah orang itu benar-benar melaksanakan niat jahat tersebut.

Begitulah pentingnya roh diberi perhatian dan pendidikan. Memerhati, mengkaji dan menilai bidang inilah yang disebut ilmu tasawuf atau ilmu rohaniah atau ilmu batiniah. Ilmu yang merupakan satu bahagian yang terpenting dalam ilmu Islam di samping ilmu usuluddin yang menjadi asasnya dan kemudian ilmu fekah (syariat). Tasawuf umpama isi buah manakala ilmu syariat itu umpama kulit buah. Atau ilmu syariat itu dianggap kisrun (kulit) dan ilmu tasawuf itu dianggap lubbun (intipati).

Kedua-duanya penting tetapi yang lebih penting ialah isinya kerana isi itulah yang mahu dimakan. Syariat dan tasawuf sama-sama penting tetapi keutamaan ialah tasawuf, kerana ia yang menjadi perhatian dan penilaian Allah.

Advertisements

KATALAH YANG HENDAK ENGKAU KATA

Katalah apa yang engkau hendak kata tentangku

Aku tidak berkecil hati

Kalau akulah yang benar

Ia menguatkan aku lagi

Kalau benarlah aku membuat kesalahan

Aku boleh betulkan diri

Aku bersyukur padaMu Tuhan

Di samping berterima kasih padamu kawan

Kalau engkau yang bersalah

Aku doakan kamu

Agar engkau diampunkanNya

Aku dapat pahala atau penghapusan dosa

Setiap kata-kata tidak percuma begitu sahaja

Semuanya Tuhan akan kira

Akan diperhitung di akhirat sana

Bahkan akan dibalas syurga atau neraka

Tuhan!

Jagalah lidahku

Aku juga boleh mengata

Lidah tidak bertulang mudah terluncur dan terlanjur

Lidah tidak ada akal

Dia tidak tahu bahaya atau tidaknya

Tuhan !

Bantulah aku menjaga lidahku

Jangan sampai dia mengata

Kejahatan dari lidah

Terlalu banyak wahai Tuhan !

Perpecahan terjadi dari lidah,

Badan binasa disebabkannya juga

Orang teraniaya lantaran lidah

Orang tidak percaya kerana lidah

Orang sakit hati kerana lidah

Orang dipenjara kerana lidah

Orang berdendam kerana lidah

Aduh ! jahatnya lidah,

NAFSU

Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Kita baru balik dari peperangan kecil kepada peperangan yang maha besar.”
Para Sahabat bertanya: “Peperangan apakah itu ya Rasulullah?”
Jawab baginda: “Perang melawan nafsu.” (Riwayat Al Baihaqi)

Melawan nafsu (mujahadah) ini memang susah. Rasulullah ibaratkan lebih susah daripada berdepan dengan peperangan senjata. Dalam bab-bab sebelum ini, kita sudah huraikan betapa sulitnya nafsu itu hendak dikesan dan tersembunyi pula. Sebab itu sesetengah orang tidak dapat mengesannya. Sesetengahnya lagi tidak pernah ambil tahu adanya perkara batin ini. Jadi dia tidak pernah berfikir untuk berperang dengan nafsu sendiri. Golongan ini merasa hairan bila diajak melawan hawa nafsu.

Kata mereka,
“Di mana susahnya hendak melawan nafsu?”
“Betulkah nafsu itu sulit untuk diperangi?”
“Nafsu itu tidak ada apa-apa. Saya tidak ada masalah dengan nafsu saya.”
“Pelik! Mengapa orang kata nafsu itu sangat jahat? Sulit untuk ditundukkan? Ia perlu diperangi? Aku tak faham!”

Untuk golongan ini, agar mudah memahaminya kita cuba buat perbandingan. Nafsu yang jahat itu kita ibaratkan pencuri, perompak dan penyamun. Jadi mencuri, merompak dan menyamun itu memang profesyen mereka. Mereka tidak rasa susah dengan kerja mencuri, merompak atau menyamun sebab kerja-kerja itu memang kerja mereka. Merekalah yang selalu mengganggu-gugat keamanan orang, mencuri, kidnap, pecah rumah, rampas barang orang, larikan anak gadis orang, mengancam nyawa orang, membunuh dan lain-lain lagi. Oleh kerana itu kerjanya, dia tidak terasa susah dan sulit dalam melaksanakan tugas-tugas tersebut. Tetapi yang rasa susahnya ialah orang yang kena curi. Yang rasa terganggu-gugat adalah orang yang kena rompak. Yang rasa huru-haranya adalah orang yang kena samun. Betapa azabnya mereka menanggung.

Hidup dalam ketakutan. Rasa hilang keselamatan. Rasa hilang bahagia sebab harta hilang, rumah musnah, duit habis dikebas hingga jadi papa kedana. Anak isteri dilarikan dan nyawa terancam. Hati susah yang amat sangat. Hilang ketenangan. Makan tidak kenyang, tidur tidak lena. Segala kerja terganggu hingga haru-biru masyarakat. Tidak aman negara. Polis dan orang ramai turut sama susah, terganggu dan terancam. Di195 susahkan, diganggu dan diancam oleh perompak-perompak dan lanun-lanun tadi.

Membendung perompak dan lanun-lanun ini bukannya mudah. Satu kerja yang payah dan sulit. Hendak memusnahkan semua sekali tidak mungkin sebab perompak-perompak ini selalunya bekerja di waktu malam, dalam gelap pekat, di waktu orang sedang tidur nyenyak dan di waktu orang sedang sibuk dan asyik. Dia bekerja bukan terang-terangan tetapi secara senyap- senyap dan berhati-hati. Kerjanya tangkas, cekap dan pakar. Selepas kerja, terus hilang lesap. Dia pandai menyembunyikan diri dengan menyamar macam orang biasa. Hingga manusia susah hendak mengesan dan menangkapnya. Hanya polis yang cekap dan pintar, yang dibantu dengan alatan canggih sahaja yang dapat mengesannya dan sekaligus berjaya menangkapnya. Itulah kerja perompak dan lanun-lanun yang menjadikan semua orang pening, risau, terganggu, tergugat dan huru-hara.

Jadi orang yang terganggu ini akan berdepan dengan tiga kesusahan iaitu:
1. Susah kerana gangguan mereka.
2. Susah hendak mengesan siapakah yang mengganggu itu kerana mereka tidak isytiharkan diri.
3. Susah hendak melawan dan memusnahkan pengganggu tadi.

Tetapi perompak-perompak dan lanun-lanun tadi relaks saja. Mereka tidak rasa terganggu atau hilang ketenangan sebab mereka yang mengganggu. Bagi orang yang senyap-senyap bekerjasama dengan perompak-perompak dan lanun-lanun tadi, mana terasa susah. Dia juga tidak susah macam tidak susahnya perompak-perompak tadi. Orang yang beri laluan, orang yang jadi spy dan beri kerjasama dengan perompak-perompak tadi pun tidak rasa susah dan tergugat.

Begitulah tamsilannya nafsu kita yang jahat ini. Jika seseorang itu sudah jadi pengikut nafsu yang jahat itu, dia pun senang hati dengan perbuatan jahatnya. Mana terasa susah lagi kerana telah sama-sama jadi geng jahat. Yang terasa kejahatannya itu ialah orang yang diganggu. Bagi orang yang tidak mahu tunduk dengan kejahatan nafsu dan ingin memeranginya, tentulah dia terasa susah, amat terseksa dan letih untuk memusuhi nafsunya. Kalau tidak benar-benar tekad dan tabah, ia akan kalah dan menyerah sahaja.

Orang yang terasa betapa susahnya melawan nafsu akan berdepan dengan tiga kesusahan iaitu:
1. Susah hendak mengesan nafsu yang abstrak, yang maknawiyah, yang terlalu halus hingga terpaksa mempelajarinya.
2. Bila sudah tahu, kehendak-kehendak hati nuraninya pula terpaksa bertarung dengan kehendak-kehendak nafsunya. Amat susah pula untuk tidak mengikut kehendak-kehendak nafsu.
3. Susah hendak mujahadah terhadap nafsu kerana terpaksa membuat bermacam-macam latihan yang mencabar.

Di sini didatangkan beberapa contoh sebagai bukti susahnya berperang atau bertarung dengan nafsu iaitu:
1. Kalau ada orang mengata, menghina, mengumpat, maki hamun di depan atau di belakang kita, bagaimanakah sikap kita? Bolehkah hati kita rasa senang dan tenang? Mudahkah kita tahan hati kita yang sedang gelojak marah itu? Bolehkah kita diamkan sahaja tanpa sakit hati atau susah hati atau berdendam. Bolehkah kita ucapkan “Assalaamualaikum,” dan tinggalkan mereka dengan senyum manis? Mampukah kita memaafkannya? Tentu tidak mudah. Hati kita tentu sakit dan menderita. Apatah lagi hendak berbuat baik dengan orang yang berbuat jahat terhadap kita seperti kehendak Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Berbuatlah baik pada orang yang berbuat jahat pada kamu.”

2. Mudahkah kita memaafkan orang yang telah bersalah pada kita? Mungkin telah menghina atau berlaku kasar dengan menengking-nengking kita. Tentu tidak mudah, susah dan pahit. Kerana hati kita sudah dilukakannya selama ini kecuali kita lawan nafsu kita itu.

3. Kita diuji Allah dengan bermacam-macam ujian seperti hidup miskin. Kita sudah berusaha tetapi tidak juga kaya. Kita ingin pandai. Setelah berusaha, kita tidak juga cerdik. Kita gagal peperiksaan. Masyarakat tidak peduli. Dicemuh pula kerana kemiskinan dan tidak ada sijil tinggi. Mudahkah kita tanamkan jiwa besar di waktu itu sehingga kita boleh berdikari dan tidak pedulikan kata-kata mereka itu? Apakah di waktu itu kita boleh menahan perasaan daripada keluhkesah hingga boleh menyerahkan pada takdir? Bolehkah redha dan baik sangka dengan Allah? Hati atau nafsu mana mahu menerima hakikat di sebalik kejadian itu ada pahala yang menunggu?

4. Kita lihat ada orang susah, menderita dan melarat. Mungkin terasa simpati untuk membantu memberi duit padanya. Ini mungkin mudah dan rasa mulia dilakukan kerana orang kata kita baik dan pemurah. Disanjung dan dipuji pula. Tetapi untuk duduk setaraf bersama-sama mereka dan menghiburkan hati mereka, tentu susah. Mampukah kita bergaul dengan mereka? Tidur baring dan makan minum bersama mereka? Bermesra-mesra dengan mereka? Memberi salam mendahului mereka? Tentu tidak mudah. Nafsu terasa hina dan malu. Lebih-lebih lagi kalau kita ada kedudukan, tentu nafsu rasa jatuh wibawanya.

5. Kita ada kelulusan pengajian Islam, mungkin B.A., M.A. atau PhD. Kita tahu bekerja atas tiket ijazah satu perkara yang hina dan keji dalam Islam. Sebab Rasulullah SAW pernah bersabda: Maksudnya: “Barangsiapa menuntut sesuatu dari ilmu ini yang dikehendaki dengannya wajah Allah untuk mendapatkan sedikit dari mata benda dunia, pasti masuk Neraka.” (Riwayat Ibnu Asakir) Sedangkan peluang ada. Terbuka bila-bila masa sahaja. Kelulusan yang kita miliki membolehkan kita menjawat jawatan tinggi dengan gaji dan elaun yang lumayan. Ada pangkat, ada nama, disebut dan disanjung orang. Mungkin jadi mufti, kadhi atau ketua pengarah jabatan Islam. Apakah kita akan tolak tawaran tersebut dengan alasan ingin mencari pekerjaan yang lebih halal seperti berniaga, bertani atau berternak? Tentulah akan berperang dengan nafsu sendiri. Senangkah untuk lepaskan peluang ini? Tentu payah. Nafsu akan terlonjak-lonjak berkehendakkan jawatan dan kedudukan dengan kelulusan agama tadi. Nafsu akan rasa rugi dan bodoh bila menolak peluang merebut kemewahan dunia itu.

6. Kita ada jawatan penting. Ada kuasa untuk luluskan projek- projek untuk kemajuan rakyat. Rakyat memohon dan merayu pada kita. Kita tunaikan. Adakalanya projek yang diminta kita luluskan segera, disogoknya ratusan ribu atau berjuta-juta ringgit atau diumpan dengan perempuan-perempuan cantik serta macam-macam tawaran istimewa lagi. Apakah mudah kita menolak tawaran-tawaran istimewa ini? Tentu payah. Nafsu akan mendorong dan membisikbisikkan supaya peluang keemasan itu jangan dilepaskan. Inilah yang ditunggu-tunggu selama ini. Kawan-kawan yang setaraf sudah lama merasa. Tentu nafsu tidak mahu kalah. Hendak ditolak, orang lain pun buat. Nyatalah sulitnya melawan nafsu ini.

7. Kita seorang peniaga. Bersama-sama kita ada peniagapeniaga lain yang berniaga bersebelahan dengan kita. Perniagaannya sangat maju dan berjaya sedangkan kita sebaliknya, tidak maju dan hampir bangkrap. Apakah mudah untuk menahan nafsu supaya sabar dan redha dengan takdir serta tidak berlaku hasad dengki dengan peniaga yang berjiran dengan kita tadi. Tentu tidak mudah!

8. Kita sebagai petani, sama-sama berkebun dengan jiran kita. Kebunnya menjadi dan subur. Sedangkan kebun kita tidak menjadi dan tidak subur. Hasilnya juga kurang. Pendapatan kita jauh kurangnya berbanding dengan kawan kita tadi yang sudah jadi kaya-raya dengan jualan hasil kebunnya. Apakah mudah kita redha dengan keputusan Allah itu? Apakah boleh kita membendung nafsu kita supaya tidak hasad dengki dengan jiran kita itu. Tentu sulit!

9. Kita seorang pendakwah. Kita berdepan dengan pendakwah bebas atau pendakwah dari jemaah lain atau sama-sama berdakwah dalam sebuah jemaah. Kita dapati orang itu lebih diterima oleh orang ramai dan disanjung-sanjung. Ada pengikut pula. Sedangkan dakwah kita tidak diterima orang. Bahkan dihina-hina pula. Kita tidak ada pengikut sedangkan kita ada kelulusan tinggi dari universiti oversea atau kita adalah pendakwah rasmi. Mudahkah kita terima hakikat ini? Apakah kita sanggup mengangkat tangan mendoakan kejayaannya? Kemudian memberi sokongan moral dan material pada orang itu? Sebab melalui tangannya orang boleh terima Islam. Bahkan mampukah hati kita berkata: “Tak apalah kerana ada orang yang sedar melalui orang itu.” Tentu tidak mudah. Nafsu selalunya hasad dengki bila melihat orang lain berjaya. Bahkan bertindak menyebarkan fitnah dan menjatuhkan orang itu. Kalau kita ada kuasa, kita akan cuba menyekatnya dengan alasan orang itu tidak ada tauliah.

10. Seorang isteri yang dipoligamikan. Suami memberi kasih sayang yang lebih pada isteri-isteri yang lain. Diistimewakannya pula. Dibawa ke mana-mana. Segala permintaannya dilayan mesra sedangkan diri kita tidak. Mudahkah untuk kita bersabar dan redha dengan suami itu. Mudahkah kita bermuka manis dengan suami? Senangkah untuk tidak berdendam dengan suami dan madu kita itu? Bahkan mendoakan keselamatan dan kejayaan untuk mereka? Tidak mudah! Walaupun kita tahu betapa besarnya ganjaran yang Allah kurniakan di Akhirat kelak disebabkan tolak ansur kesabaran kita itu, nafsu tetap terasa berat. Begitulah sulitnya melawan nafsu ini.

11. Kita duduk sekampung atau satu pejabat dengan kawan kita. Sama-sama jatuh cinta dengan seorang perempuan cantik jelita. Masing-masing berusaha menawan dan menambat hati perempuan itu. Bersaing memberikan hadiah-hadiah istimewa, mengharapkan perempuan itu membalas cinta kita. Didapati cinta kita tidak berbalas. Bertepuk sebelah tangan. Sama-sama pergi meminang. Pinangan kita ditolak tetapi pinangan kawan kita itu diterima. Bagaimana hati kita pada waktu itu? Hati tentu hancur berkecai dan remuk-redam. Dirasakan hilang dunia ini dari pandangan. Di waktu itu mampukah kita membendung nafsu supaya jangan gilakan perempuan itu lagi? Tetap seperti biasa, berbuat baik pada perempuan itu? Mampukah untuk tidak berdendam dengan kawan sepejabat kita tadi? Bolehkah hati kita menerima takdir itu dengan tenang, tanpa keluh-kesah kerana redha dengan takdir Allah? Tentu payah.

12. Sebagai bos pejabat, di bawah kita ada kerani, pekerjapekerja, pemandu, tukang kebun, tukang sapu dan lain-lain lagi. Mampukah kita bergaul mesra dengan mereka? Mampukah kita memberi kasih sayang pada mereka? Makan minum serta tidur baring dengan mereka? Apakah boleh kita membantu mereka bila mereka perlukan bantuan? Adakah senang kita memberi nasihat baik-baik dengan penuh kasih sayang, bukan marah-marah? Adakah nafsu tidak terasa tercabar untuk buat itu semua? Apakah nafsu tidak terasa jatuh taraf sebagai seorang ketua. Tentulah nafsu rasa tercabar. Nafsu rasa jatuh taraf sebagai seorang ketua. Nafsu akan rasa tuan, rasa superman. Kesalahan perlu ditegur dengan marah-marah baru orang-orang bawahan takut. Nafsu rasa puas kalau dapat tengking dan herdik-herdik, cerca dan hina-hina orang bawahan. Begitulah jahatnya nafsu yang hendak dilawan itu.

13. Kita berdepan dengan isteri yang buat salah. Mudahkah kita nasihatkan isteri dengan baik dan penuh kasih sayang? Atau isteri, bila dapati suami bersalah, mudahkah untuk memaafkannya? Tegur dengan baik. Diingatkan dengan kasih sayang? Bukan dengan marah-marah dan mengaraharah? Mudahkah untuk berakhlak mulia ini? Tentu payah.

14. Seorang ibu ayah yang berdepan dengan kerenah anak-anak yang memeningkan kepala. Mudahkah untuk bersabar dengan mereka itu? Tidak mudah. Selalunya nafsu akan hilang pertimbangan dengan kenakalan mereka. Terpekikpekik, terjerit-jerit dan anak-anak jadi mangsanya. Atau ibu ayah yang bersalah pada anak-anaknya, mudahkah untuk anak-anak memaafkannya? Dan berdiam diri tidak menjawab kata-kata kesat mereka? Senangkah untuk taat arahan mereka? Nafsu selalunya mendorong kita untuk melawan cakap ibu ayah kita, tidak mentaatinya, menyakiti dan menderhakai mereka.

15. Kalau kita sebagai pemimpin berdepan dengan rakyat yang menegur kita, apakah kita dapat menerima teguran dengan sebaik-baik dan berlapang dada? Kalau teguran itu baik, apakah kita ucapkan terima kasih kerana dia sudah selamatkan kita di dunia dan Akhirat? Ertinya selamat daripada Neraka. Selalunya rakyat yang begitu akan diancam atau ditekan. Dikatakan cuba mengancam keamanan negara, hendak rebut kuasa atau hendak gulingkan kerajaan.

Begitulah nafsu kita. Betapa susahnya berperang dengan nafsu itu terbukti daripada salah satu pengalaman kita tadi. Berperang dengan musuh memanglah azab. Untuk mengikut kata nafsu memang mudah kerana kita sudah jadikan musuh sebagai kawan. Untuk jadikan nafsu itu sebagai tuhan, itulah paling mudah. Tidak terasa apa-apa susahnya kerana nafsu sudah menjadi tempat kita meletakkan cinta. Apabila nafsu sudah dijadikan cinta kita, memanglah seronok untuk kita tunduk dengannya. Diajak ke mana-mana pun senang kita ikut dan kita taati. Ini sudah pun diberitahu Allah dalam firman-Nya:
Maksudnya: “Apakah engkau melihat orang yang menjadikan hawa nafsu itu tuhannya?” (Al Furqan: 43)

Tunduk dengan cinta agung memanglah mudah. Macamlah apabila kita sayangkan isteri maka untuk mengikut cakapnya memanglah mudah. Cuba kalau isteri itu sudah dibenci dan dimusuhi. Apakah mudah diikut cakapnya? Tentu payah. Jadi walaupun kita susah memerangi nafsu ini tetapi kita usahakan juga tanpa jemu-jemu. Kita tahu memerangi nafsu inilah yang paling Allah suka. Oleh kerana ia dianggap jihad akbar (peperangan yang besar) maka kita teruskan juga. Kita yakin Allah membantu.

Kalau hati kita jahat, Allah tidak akan bantu kita. Segala kerja-kerja kita terbengkalai dan tersangkut. Tidak selesai. Itulah hukuman Allah di dunia di atas kecuaian kita bermujahadah itu. Sepanjang hidup kita berada dalam dosa. Dosa batin yang tidak kita sedari. Oleh itu mari kita bersihkan dosa batin kita ini. Mari kita terus bermujahadah yakni berperang dan bertarung dengan nafsu kita sendiri sehinggalah akhir hayat kita. Barulah dikatakan wira sejati. Seperti sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Siapakah yang dianggap wira itu?”
Kata Sahabat: “Mereka yang tidak dapat dikalahkan (dalam peperangan).”
Nabi menjawab: “(Orang yang dianggap wira itu) ialah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.” (Riwayat Ibnu Atsir)

Allah SWT juga ada berjanji:
Maksudnya: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri (dengan beriman).” (Al A’la: 14)

Maksudnya: “Sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.” (Asy Syams: 10)

Bahaya cinta dunia

Cinta dunialah membuatkan manusia cintakan diri

Cintakan diri membawa manusia hidup nafsi-nafsi

Cintakan dunialah membawa pecahnya sanak saudara

Apatah lagi sekadar kenalan dan kawan-kawan biasa

Cintakan dunia hilang kasih sayang sesama manusia

Cinta dunialah yang membunuh kasih sayang

dan memecahkan perpaduan keluarga dan bangsa

Akhirnya timbul perpecahan dan perseteruan di kalangan manusia

Pergaduhan pun berlaku, perkelahian terjadi  peperangan berlaku

Cintakan dunia ibarat racun membunuh kasih sayang

Cinta dunia adalah musuh manusia sejagat

Tapi manusia tidak sedar dan tidak faham

Sungguh kejam cinta dunia itu

Ia mengharu-birukan kehidupan manusia

Ia merenggangkan persaudaraan, memecah-belahkan bangsa dan saudara

 

Bahaya cinta dunia

BURULAH RAHMAT ALLAH, JANGAN KEJAR FADHILAT IBADAH

Kalau ada orang yang berusaha, bekerja dan berjuang bertungkus-lumus untuk mengejar dunia, untuk mendapatkan harta benda, kekayaan, glamour, nama dan pujian, pangkat, gelaran, darjah kebesaran, kuasa, perempuan dan sebagainya tanpa mempedulikan nasib mereka di Akhirat, maka jelas mereka itu rugi dan tertipu.

Namun begitu kalau ada orang yang berusaha, bekerja dan berjuang bertungkus-lumus untuk mengejar Akhirat iaitu untuk mendapatkan Syurga, dengan melakukan berbagai-bagai ibadah sebanyak-banyaknya dan dengan mencari dan mengejar fadhilat, dengan tujuan untuk mengumpulkan sebanyak-banyak pahala maka dikhuatiri mereka juga rugi dan tertipu.

Tetapi, kalau ada orang yang berusaha, bekerja dan berjuang bertungkus-lumus hanya kerana Allah, kerana merasakan dirinya seorang hamba dan sudah menjadi kewajipannya untuk taat dan berbakti kepada Allah, kerana merasakan tugasnya sebagai hamba tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk mengabdi diri kepada Allah, untuk menagih simpati, belas kasihan, keampunan dan kasih sayang Tuhan, untuk menyatakan kesyukurannya ke atas segala nikmat yang telah dikurniakan-Nya, untuk mendapat keredhaan Allah, yang beribadah atas dorongan rasa bertuhan dan rasa kehambaan yang terpahat di hatinya dan untuk mendapatkan Tuhan itu sendiri maka inilah jalan yang lurus dan hak.

Justeru itu, kalau ada orang yang mengajak kita kepada dunia yang semata-mata dunia, dan yang tidak ada nilai Akhiratnya, maka itu adalah satu penipuan yang amat nyata. Kalau ada pula orang yang mengajak kita kepada Akhirat yakni semata-mata untuk mendapat Syurga dengan mengejar fadhilat-fadhilat dan kelebihan-kelebihan amalan, maka itu juga dikhuatiri adalah satu penipuan yang akan merugikan kita.

Tapi kalau ada orang yang mengajak kita kepada Tuhan, yang mengajak kita untuk mengenali Tuhan, yang mengajak kita untuk rasa bertuhan dan merasakan bahawa diri kita ini hamba, yang mengajar kita supaya takut dan cinta kepada Tuhan, maka inilah jalan kebenaran iaitu jalan yang ditunjukkan oleh para rasul.

Kedudukan seorang hamba di sisi Allah bukan diukur kepada berapa banyak ibadah dan fadhilat-fadhilat yang diamalkannya tetapi kepada apa yang ada di dalam hatinya, iaitu keimanannya, keyakinannya dan ketaqwaannya. Kepada kebersihan hati dan jiwanya. Kepada rasa takut, cinta, gerun, hebat, tawakal, pergantungan, harapan dan penyerahannya kepada Tuhan. Ibadah seorang hamba itu hanyalah manifestasi dari apa yang wujud dalam hatinya. Ibadah seorang hamba adalah dari rasa cinta dan takutnya kepada Tuhan. Dari rasa kehambaannya yang begitu mendalam dan sifat-sifat hamba yang tajam di hatinya seperti rasa hina, berdosa, dhaif, lemah,malu dan sebagainya di sisi Tuhan. Lagi kuat iman dan lagi tinggi taqwa seseorang hamba itu maka lagi kuat dan tekunlah dia beribadah, lebih kemaslah syariat dan lebih mulialah akhlaknya.

Memang Allah ada menjanjikan Syurga bagi orang yang beriman dan beramal soleh. Tapi itu hak Tuhan untuk memberi,bukan hak manusia untuk menuntutnya. Syurga terlalu mahal untuk dibeli dengan amal ibadah. Jangankan Syurga, nikmat sebelah mata pun tidak dapat dibayar dengan ibadah seumur hidup. Belum mata yang sebelah lagi, telinga yang mendengar, hidung yang menghidu. Belum lagi makanan yang dimakan, air yang diminum dan oksigen yang dihirup sepanjang hidup. Belum lagi segala anggota tubuh dan organ di dalam badan. Belum lagi nikmat akal yang berfikir dan hati yang merasa. Dan belum lagi nyawa dan roh yang dengannyalah kita dapat mengetahui dan merasakan hakikat kewujudan ini. Tidak ada manusia yang masuk ke Syurga kerana amal ibadahnya. Tidak juga para nabi dan para rasul. Tidak juga Rasulullah SAW. Baginda sendiri masuk ke Syurga semata-mata kerana rahmat Allah.

Kalau rahmat Allahlah yang menjadi sebab seseorang hamba itu masuk ke Syurga maka orang yang mahukan Syurga sepatutnya memburu rahmat Allah ini dan bukan fadhilat-fadhilat, kelebihan amalan ataupun pahala. Fadhilat, kelebihan amalan dan pahala tidak akan mendatangkan rahmat Tuhan. Allah memberi rahmat-Nya hanya kepada hamba-hamba yang dikasihi dan dicintai-Nya. Oleh itu cinta dan kasih sayang Tuhanlah yang patut dicari dan diusahakan. Tidak ada jalan lain untuk mendapat kasih sayang Tuhan melainkan dengan bertaubat, membersihkan hati, memperbaiki diri, mempertingkatkan iman dan ketaqwaan, menanam rasa bertuhan dan rasa kehambaan di hati, memupuk rasa takut, cinta, gerun,hebat dan rindu kepada Tuhan, menajamkan sifat-sifat kehambaan seperti malu, hina, rasa berdosa, dhaif, lemah dan sebagainya di hadapan Tuhan dan mengabdikan diri keseluruhannya kepada Tuhan.

Apalah maknanya kita mengejar pahala yang merupakan hadiah dan pemberian dari Tuhan kalau Tuhan tidak sayang kepada kita. Adalah lebih baik kita menagih cinta dan kasih sayang Tuhan walaupun tanpa hadiah dan pemberian. Kalau Allah sudah sayang dan cinta kepada kita, bukankah itu seperti telah mendapat segala-galanya. Apalah nikmat yang ada pada hadiah dan pemberian Tuhan berbanding nikmat mendapat kasih sayang Tuhan itu sendiri. Nikmat kasih sayang Tuhan lebih besar dan lebih agung. Betapa hebat pun nikmat Syurga di Akhirat nanti, semua itu kecil berbanding nikmat dapat melihat wajah Tuhan. Kalau melihat wajah Tuhan pun sudah mengalahkan nikmat Syurga, apatah lagi nikmat mendapat cinta dan kasih sayang Tuhan.

Memang di dalam ibadah ada fadhilat-fadhilat dan kelebihan-kelebihannya. Akan tetapi itu semua adalah anugerah Allah kerana kasih dan sayang-Nya. Janganlah pula itu kita jadikan matlamat ibadah kita. Seperti juga Syurga. Ia satu anugerah kepada hamba-hamba Tuhan yang beriman dan beramal soleh. Tapi janganlah pula Syurga itu kita jadikan matlamat ibadah. Ibadah yang kita lakukan mesti tetap kerana Allah dan sebagai pengabdian kita kepada-Nya. Moga-moga dengan itu Allah redha dan sayang kepada kita. Moga-moga Allah mengampunkan kita dan menerima kita sebagai hamba-hamba-Nya.

Janganlah kita terlalu menghargai, menginginkan dan mengidamkan hadiah yang Allah akan beri tetapi lupa untuk memuja, menyanjung, menyayangi dan mengagungkan Allah yang memberi hadiah itu. Janganlah pula kita seperti kanakkanak yang melompat, melonjak dan bersorak-sorai kegembiraan kerana mendapat gula-gula dari ayahnya hingga terlupa dia akan kehadiran ayahnya dan terlupa dia untuk berterima kasih padanya.

Glamor tanpa Tuhan dilupakan orang

Ramai orang yang masyhur, ternama, ada glamor di seluruh dunia

Ada yang masyhur kerana kuasanya, ada terkenal kerana ilmunya dayang terkenal oleh suara dan lakonannya

Akhirnya kebanyakannya disudahi dengan kehilangan nama

Sebelum mati pun sudah dilupakan orang, terlalu jarang orang menyebutnya

Kerana apa terjadi begitu? Sebelumnya namanya, beritanya, gambarnya di dada media massa?

Masyhurnya mereka tidak ada kaitannya dengan Tuhan yang Maha Esa dan Maha Kuasa

Terkenalnya bukan kerana cintakan Tuhan dan kasih sayang sesama manusia

Terkenalnya mereka, kebanyakannya kerana derhaka atau kerana dunia semata-mata

Di dunia lagi mereka sudah terhukum oleh Tuhan yang Maha Esa dan Maha Kuasa

Jasa-jasa mereka dilupakan begitu sahaja

Sepatutnya orang yang terkenal di belakangnya ambillah pengajaran dan keinsafan

Mungkin mereka jugakan menempa sejarah yang sama

Tidak seperti terkenalnya para-para Rasul dan Sahabat-Sahabat yang terkenal dan berjasa

Sering sahaja disebut orang, nama-nama mereka sentiasa jadi bualan manusia

Nama mereka menyerikan majlis-majlis keramaian setiap masa

Mereka sejarah mereka berbeza? Dengan sejarah yang telah disebut sebelum ini?

Kerana masyhurnya mera ada hubungkait dengan Tuhan yang Maha Esa

Mereka adalah manusia yang cintakan Tuhan dan kasih sesama

Tuhan rahmati mereka, Tuhan beri mereka berkat

Maka nama mereka sering sahaja disebut dan dikenang setiap masa

Mereka manusia yang menjadi suri teladan

dan membawa peri kemanusiaan yang luar biasa

Mereka itu adalah kekasih-kekasih Tuhan, orang-orang Tuhan yang membawa rahmat kepada manusia dan dunia

Jasa-jasa mereka dikenang, sejarah hidup mereka dijadikan bahan cerita

Padahal di waktu mereka hidup sering sahaja derita dan sengsara

Diburu, dikejar oleh musuh-musuhnya

Tidak seperti mereka  yang terkenal dengan kemewahan dan serba selesa dan serba ada

Mereka dilupa bahkan semakin lama semakin dilupa

Begitulah perbezaan di antara orang Tuhan dengan orang dunia

PERKAHWINAN

Di dalam perbincangan ini  tidak akan memperkatakan tentang meminang, syarat rukun perkahwinan, sah batalnya, kenduri kahwin, mas kahwinnya, kewajipan suami isteri, jimak, nusyuz, talak, zihar, rujuk, nafkah, giliran bagi berbilang isteri, perselisihan, kerana perbincangan seumpama ini di dalam bab nikah sudah selalu sangat diperkatakan orang, hari ini buku tentang perkahwinan sudah terlalu banyak di dalam pasaran terutama persoalan seks suami isteri, kadang-kadang kita lihat menjadi matlamat penulis. Tapi mungkin terasa buku tentang perkahwinan yang ada hubungan dengan tujuan dan falsafah perkahwinan yang lebih besar lagi tujuannya sebagai menyiapkan tapak kepada masyarakat yang lebih luas serta ummah Islam sejagat amat kurang sekali. Selalunya orang membahaskan tentang perkahwinan skopnya terlalu terbatas, maka oleh yang demikian di dalam perbincangan saya ini saya tidak mahu mengulanginya lagi, hal-hal seperti di atas. Saya cuba membahaskan tentang perkahwinan itu tujuan dan falsafahnya yang lebih jauh sedikit yang ramai penulis buku perkahwinan jarang-jarang sekali memperkatakannya agar kita melihat soal perkahwinan bukan persoalan kecil, bukan sekadar persoalan hiburan dan seks semata-mata tapi akan dapat dilihat bahawa perkahwinan itu ada hubung kait dengan masyarakat, dan ada hubung kait dengan keselamatan dan nasib masa depan umat Islam sama ada secara kita sedar atau tidak, secara langsung mahupun tidak secara langsung. Oleh itu perkahwinan di dalam Islam mempunyai erti yang besar.

Di Mana Rahsia Kebahagiaan Suami Isteri?
Sebelum saya menghurai tajuk ini, saya mulakan tulisan ini dengan beberapa pertanyaan lebih dahulu. Dari pertanyaan-pertanyaan itulah setiap orang yang membaca tulisan saya ini akan dapat memberi jawapan masing-masing dan dari jawapan masing-masing itulah bertitik tolak rahsia yang sebenarnya kebahagiaan suami isteri atau berlaku sebaliknya, sama ada yang sudah berkeluarga mahupun yang belum atau bakal berkeluarga insya-Allah. Di antara pertanyaan-pertanyaan yang saya ajukan seperti berikut:
1. Mengapa saudara/saudari berkahwin atau ingin berkahwin atau apa tujuan saudara/saudari berkahwin?
2. Suami atau isteri, lelaki atau perempuan yang macam mana yang telah dipilih atau akan dipilih?
a. Kerana kecantikannya atau rupanya. Kalau lelaki, kerana tampan atau segaknya?
b. Kerana kekayaannya?
c. Kerana keturunannya?
d. Kerana agama dan akhlaknya?

Mengapa berkahwin? Mengapa ingin isteri dan inginkan suami?
Ramai di kalangan umat Islam terutama di akhir zaman, di zaman moden dan sains teknologi canggih ini memberi jawapan kerana ingin berseronok-seronok dan memuaskan nafsu. Kalau tidak berkahwin kita akan terasa sepi.Baiklah, kalau kerana itulah setiap lelaki dan perempuan itu berkahwin ertinya kita akan atau telah menempuh jalan yang salah, jalan yang menjatuhkan taraf kita sebagai manusia, jalan yang mana di awal niat berkahwin lagi kita telah membuka pintu kehancuran rumah tangga sama ada kita sedar atau tidak.

Kenapa dan mengapa?
Pertama:
Kita telah setarafkan diri kita sebagai haiwan kerana haiwan berkelamin tidak ada tujuan lain selain kerana melepaskan nafsunya semata-mata, tidak ada tujuan-tujuan selain seks itu.

Kedua:
Kalau berkahwin dengan tujuan nafsu semata-mata, ini amat merbahaya kerana sekiranya kemahuan kita sudah tidak ada lagi dengan isteri kita atau suami kita disebabkan kita sakit, atau isteri kita sakit, atau setelah isteri sudah tua, atau setelah kecantikannya sudah pudar, di waktu itu tarikannya sudah tidak ada lagi untuk perhubungan kelamin, mungkin kita ceraikan dia atau isteri minta cerai atau kalaupun tidak bercerai kerana memandangkan anak-anak sudah ada, tidak mahu berpisah dengan anak-anak, di waktu itu kemesraan sudah tidak ada lagi. Perhubungan suami isteri sudah tentu renggang. Masing-masing mudah buat kerenah, mudah tersinggung, mudah benci, mudah marah-marah, maka berlakulah krisis rumah tangga tidak berkesudahan. Kemudian ia akan memberi kesan kepada saikologi anak-anak. Oleh itu berkahwin dengan tujuan hiburan seks semata-mata tidak akan dapat membangunkan keluarga yang bahagia lebih-lebih lagi masyarakat yang bahagia.

Perempuan atau lelaki macam mana pilihan kita?
Di dalam memilih jodoh sama ada lelaki atau perempuan, berlakulah pemilihan itu berbagai-bagai sudut dan aspek.
1. Ada orang memilih kerana kecantikan, itu kalau lelaki. Kalau perempuan kerana kesegakan dan tampannya seorang lelaki.
Kalau itulah menjadi target, itu amat merbahaya. Kalau tidak berlaku jangka pendek mungkin akan berlaku jangka panjang.

Kerana kalau seseorang perempuan itu sudah tidak cantik lagi dan suami sudah tidak kacak, mungkin disebabkan selalu sakit, atau kerana kerja teruk atau berat sudah menghilangkan kecantikan atau kekacakannya, atau setelah berumur sudah tentu hilang kecantikan, di waktu itu tarikan sudah tidak ada lagi untuk hubungan kelamin sebab berahi berkelamin sudah lemah, lebih-lebih lagi pula di luar di tempat kerja pergaulan kita bebas pula, rangsangan kepada perempuan atau lelaki di luar lebih daripada isteri atau suami kita, di waktu itu mudah sahaja bergaduh atau bercerai atau kalau tidak bercerai pun oleh kerana anak sudah banyak kerana tidak mahu berpisah dengan anak-anak, perhubungan sudah tidak indah lagi, kerenggangan berlaku. Marah-marah pun mudah berlaku. Singgung-menyinggung pun terjadi. Mudah sahaja benci-membenci. Kalau begitu di manalah indahnya berkeluarga di waktu itu dan ini juga sangat memberi tekanan saikologi kepada anak-anak. Anak-anak akan menjadi mangsa, mungkin mereka menjadi liar, renggang dengan ibu bapa, benci duduk di rumah, suka mencari hiburan di luar rumah, maka mudahlah terjebak dan terlibat dengan dadah, rokok, arak, bohsia, bohjan, melepak, mungkin terlibat dengan zina dan berbagai-bagai jenayah kerana berpunca daripada rumah tangga yang tidak bahagia dan tidak harmoni.

2. Ada orang memilih jodoh sama ada lelaki atau perempuan kerana kekayaannya. Kaya kerana gaji besar, atau keturunan orang kaya, tidak kiralah cara, ini juga amat merbahaya:
Pertama:
Kerana mana tahu dengan takdir Allah Taala, si isteri itu dibuang kerja, atau kekayaan yang ada itu habis. Begitu juga suami jatuh miskin dengan berbagai-bagai sebab boleh berlaku, di waktu itu sudah tentu akan berlaku kerenggangan di antara suami isteri. Mulalah tidak senang satu sama lain, benci-membenci pun boleh berlaku, masam-masam muka pun terjadi, pergaduhan dan krisis rumah tangga pun terjadi, pintu terbuka untuk bercerai pun berlaku atau kalau tidak bercerai pun kerana tidak mahu berpisah dengan anak-anak atau kerana hendak menjaga status diri. Tapi apalah ertinya lagi rumah tangga yang sentiasa bergolak dan bergelora macam air laut yang sentiasa bergelombang. Yang akan lemas adalah anak-anak yang tidak berdosa, anak-anak juga akan terjadi seperti yang kita ceritakan di atas.

Kedua :
Biasanya seorang lelaki berkahwin dengan perempuan kerana kekayaannya, begitu jugalah sebaliknya perempuan menerima seorang lelaki sebagai suami; kalau perempuan, selalunya dia tidak begitu hormat dengan suaminya, kerana dia merasakan bahawa suaminya dialah yang menanggung. Atau kalau dia tidak menanggung pun, dia merasakan boleh berdikari tanpa pemberian suami. Ada suami atau tiada suamikah, dia boleh hidup sendiri kerana ada memiliki kekayaan. Dengan sebab itu lama-kelamaan taat dan setianya kepada suami akan berkurangan. Bahkan kalau suami itu bersandar hidup dengan isteri, isteri biasanya memperhambakan suaminya sesuka hati. Dia arah ke sana, arah ke sini, suruh itu, suruh ini, dia akan kontrol suami sesuka hati (queen control). Akhirnya wibawa suami tercabar, kuasa suami sudah tiada lagi, bahkan takut kepada bini atau pak mentua atau mak mentua.

Biasa orang kaya, selalunya isteri itu selalu dibacking oleh ibu dan ayahnya. Ada kalanya isteri berani menengking dan mengherdik suaminya. Apakah hidup begini suami boleh tahan selama-lamanya. Apakah suami sanggup dayus sepanjang masa? Apa hidup begini suami boleh merasa bahagia? Kalaupun tidak bercerai, saya rasa hidup berkeluarga begini sudah tentu tidak ada makna apa-apa, tidak ada kemerdekaan, sedangkan rasa kemerdekaan itu satu nikmat dan menjadi cita-cita hidup setiap orang.

3. Ada orang berkahwin kerana keturunan seperti keturunan orang-orang yang bangsawan, umpamanya keturunan raja, keturunan Datuk-Datuk atau keturunan orang-orang besar.
Kalaulah perkahwinan itu atas dasar itu sahaja yang tidak ada bersangkutan dengan agamanya, ini amat merbahaya lebih-lebih lagi kalau keturunan bangsawan itu adalah isteri. Di waktu-waktu berselisih faham dia akan menyebut-nyebut keturunannya dan dia akan menghina keturunan kita. Atau biasa orang berketurunan bangsawan itu kalau tidak ada agama, dia sombong dengan suami, atau keluarganya memandang rendah terhadap suami hingga suami akan terasa terhina atau inferiority complex. Di sini boleh mencacatkan kebahagiaan dan keharmonian suami di dalam rumah tangga.

4. Berkahwin kerana agamanya.
Seorang berkahwin sama ada lelaki atau perempuan kerana agamanya, itulah yang tepat. Itulah yang dituntut oleh syariat.
Ia adalah dipuji oleh Allah dan Rasul kerana berkahwin di atas dasar agama itu, sama ada dia cantik atau tidak, kaya atau miskin, bangsawan atau orang biasa, masing-masing tetap merendah diri, berakhlak mulia, suami kasih dengan isteri, isteri menghormati suami, suami memberi tanggungjawab terhadap isteri, isteri juga memberi tanggungjawab kepada suami. Akan berlaku tolak ansur, isteri mengutamakan suami, suami bertimbang rasa dengan isteri, ada kerjasama, masing-masing berlumba-lumba hendak khidmat-mengkhidmati satu sama lain, maaf-bermaafan, isteri memandang hormat dengan suaminya, suami sentiasa belas kasihan dengan isteri, kedua-dua keluarga dihormati, Allah Taala sentiasa dibesarkan melalui ibadah yang berbagai jenisnya. Perjalanan hidup Rasul dijadikan tradisi kehidupan mereka. Allah, Rasul, Syurga, Neraka, dosa, pahala, menjadi bualan. Walaupun berusaha mencari kekayaan dunia namun ia dipandang kecil, bukan menjadi matlamat, bukan menjadi perbualan. Akhirnya dunia selamat, Akhirat selamat. Wujudlah kebahagiaan dan keharmonian di dalam rumah tangga.

Oleh sebab itulah daripada empat pilihan itu, iaitu kecantikan, harta, keturunan, agama, pilihlah kerana agamanya. Ia sangat menyelamatkan dunia dan Akhirat kita. Tapi kalau boleh dapat keempat-empat sekali maka bertambah cantik dan indahnya kehidupan berumahtangga itu. Ia bertambah ceria dan berseri tapi payah hendak dicari.

Mengapa kita berkahwin?
Bagi umat Islam yang faham Islam, yang beramal dengan agamanya, menghayati dan mencintai agamanya, yang ada cita-cita hendak membangunkan agamanya secara syumul atau global, kemudian diperjuangkannya, bahawa perkahwinan atau mendirikan rumahtangga adalah mempunyai erti yang besar kerana daripada peribadi muslim dan keluarga muslim itu dari sanalah titik tolak atau starting point untuk memancarkan Islam ke masyarakat, ke negara dan seluruh alam sejagat, kerana dari sinilah kalau pilihan suami isteri itu tepat mengikut ajaran Islam, kemudian hiduplah kedua sejoli atau mempelai itu secara tuntutan Islam, selepas itu kalau Allah Taala takdirkan mereka mendapat cahaya mata atau anak-anak yang banyak dari dua insan yang berpadu kasih, yang mempunyai cita-cita Islam yang mendalam itu, maka sudah tentulah anak-anak itu dididik secara kehidupan yang dikehendaki oleh Islam. Maka insya-Allah akan lahirlah satu keluarga yang hidup secara Islam yang menjadi role model. Kalau suami isteri yang lain pula mendirikan rumah tangga mempunyai cita-cita yang sama, begitulah setiap individu muslim mempunyai cita-cita yang sama juga, gabungan keluarga yang menghayati Islam itu menjadi masyarakat yang lebih besar lagi menghayati Islam pula. Selepas itu sudah tentu mudah sahaja untuk menegakkan negara Islam dan seterusnya Islam sejagat.

Tidaklah seperti apa yang berlaku di hari ini, seluruh dunia bagi pejuang-pejuang Islam, amat sulit sekali untuk memperjuangkan negara Islam, kerana individunya belum bersedia. Keluarga Islam belum bersedia, masyarakat lebih-lebih lagi. Oleh yang demikian, sudah tentu amat payah sekali untuk diajak menegakkan negara Islam.

Mengapa terjadi demikian?
Kerana kesilapan itu bermula dari individu dan dari dua suami isteri yang berkahwin. Kerana Islam itu tidak menjadi matlamat mereka mendirikan rumahtangga, atau tidak ada cita-cita Islam, sekadar berkahwin itu kerana hendak melepaskan tuntutan naluri atau kemahuan semula jadi, atau tuntutan biologi, tidak ada pun dihubungkait dengan cita-cita Islam itu.

Oleh yang demikian apakah tujuan perkahwinan itu? Apakah sekadar melepaskan nafsu?
Tujuan perkahwinan mengikut Islam yang sebenarnya adalah seperti berikut:
Pertama:
Allah Taala telah mentakdirkan bahawa lelaki ada nafsu kepada perempuan. Perempuan juga ada nafsu dengan lelaki. Hakikat ini tidak boleh ditolak, kita tidak boleh lari daripada tuntutan semulajadi itu. Oleh itu untuk menyelamatkan keadaan maka tujuan kita berkahwin jangan sampai kita melakukan zina yang terkutuk itu. Kenalah kita berkahwin agar ia tersalur secara yang halal yang ia memang dibenarkan oleh Allah Taala yang Maha Pengasih.

Kedua:
Bahawa daripada perhubungan kelamin suami isteri itu di situlah sebagai sebab pertemuan benih kedua jenis manusia yang akan melahirkan zuriat, anak-anak, cucu-cucu yang ingin sangat kita akan jaga, asuh, didik, diberi iman dan ilmu, agar menjadi hamba-hamba Allah yang berakhlak dan bertaqwa yang akan menyambung perjuangan Islam kita itu agar perjuangan Islam kita bersambung selepas kita mati. Memang setiap umat Islam yang belum rosak jiwanya sangat menginginkan agar Islam itu terus bersambung dari satu generasi ke satu generasi.

Ketiga:
Kalau begitu tujuan kita berkahwin, kita inginkan anak yang akan kita didik menjadi seorang Islam yang sejati dan anak it adalah merupakan aset kepada kita. Dan anak itu sendiri pula boleh menjadi harta dan tenaga kepada Islam.

Keempat:
Dengan perkahwinan itu, jika tujuan kita mendapat anak berjaya, dan berjaya pula dididik dengan Islam dan menjadi seorang muslim yang berguna, kemudian dia akan melahirkan cucu, berjaya pula dididik secara Islam yang sebaik-baiknya, berapa banyak pahala yang kita dapat sambung-menyambung.
Itu adalah merupakan aset simpanan kita di Akhirat kelak

Kelima:
Islam yang maha indah itu alangkah indahnya kalau ia dapat menjadi kebudayaan hidup yang pernah mengisi ruangan dunia ini di masa yang silam, selama 3 kurun dari sejak Rasulullah SAW. Sekarang tinggal nostalgia sahaja, yang tinggal pada hari ini hanya aqidah dan ibadah, itu pun tidak semua umat Islam berbuat. Oleh itu kita ingin sangat kalau dapat diwujudkan di dalam suasana keluarga pun jadilah, kerana hendak buat lebih dari itu hari ini memang amat sulit sekali. Lantaran itulah perkahwinan itu amat perlu sekali kerana hendak melahirkan masyarakat Islam kecil, moga-moga dari situ akan tercetus masyarakat Islam yang lebih besar.

Keenam:
Seorang muslim bukan sahaja diperintah untuk mencari keredhaan Allah Taala, tapi diperintah juga untuk menghiburkan hati kekasih Allah Taala iaitu Rasulullah SAW, yang mana Rasulullah SAW sangat berbangga dengan ramainya pengikut atau umatnya di Akhirat kelak. Maka sebab itulah Rasulullah SAW menyuruh umatnya berkahwin.
Setiap umat Islam hendaknya apa yang menjadi kesukaan Rasul-Nya itulah juga kesukaan mereka.

Ketujuh:
Kalaulah Rasulullah SAW berbangga dan bergembira dengan ramainya umat, maka kita sepatutnya juga berbangga dengan ramainya umat Islam di dunia ini. Maka untuk memperbanyakkannya, lantaran itulah kita berkahwin. Jadi kita berkahwin itu ada bermotifkan untuk meramaikan umat Islam, ada cita-cita Islam sejagat. Kita berkahwin itu ada cita-cita besar, bukan sekadar setakat hendak melepaskan nafsu seks seperti cita-cita kebanyakan manusia.

Kelapan:
Berkahwin itu jangan sampai putus zuriat, kerana kita berbangga dapat menyambung zuriat yang menerima Islam sebagai agamanya dan dengan keturunan itulah orang kenal siapa asal-usul kita atau mereka.

Kesembilan:
Tujuan-tujuan lain sebagai maksud tambahan daripada perkahwinan bahawa setiap lelaki dan perempuan yang menjadi pasangan suami isteri hendaklah meniatkan satu sama lain hendak memberi hiburan seorang hamba Allah Taala yang inginkan hiburan, kerana niat menghiburkan orang mukmin itu mendapat pahala.

Begitulah sebahagian daripada tujuan-tujuan dan maksud-maksud daripada perkahwinan di dalam Islam, ia mempunyai cita-cita yang murni. Melahirkan cita-cita Islam, ingin mewujudkan satu rangkaian dan elemen-elemen amalan dan suasana Islam dan kalau dapat ia digabungkan dengan rangkaian-rangkaian dan elemen-elemen golongan yang mempunyai cita-cita dan tujuan yang sama seperti yang Islam kehendaki, atau yang Islam mahu, ia lama-kelamaan akan menjadi satu masyarakat Islam yang lebih besar lagi yang syiarnya akan dapat dilihat di mana-mana sahaja di muka bumi Tuhan ini, yang akan menjadikan dunia ini amat meriah, ceria, gembira dan bahagia. Barulah boleh kita meyakinkan orang lain kerana keindahan Islam itu begitu terserlah.