Mengapa berat menunaikan sembahyang

Rata-rata umat Islam mengetaui bahawa sembahyang atau solat  lima waktu itu hukumnya wajib. Yakni, kalau dibuat dapat pahala dan kalau ditinggalkan berdosa. Berdosa itu pula akan dihukum dengan seksa Neraka.

                Semua umat Islam sudah maklum apakah dia seksa Neraka itu. Api yang membakar sampai ke hati. Minumannyan ialah leburan logam yang menggelegak yang tidak terhingga panasnya. Makanannya ialah buah yang berduri. Seksa Neraka tersangatlah pedih. Ia adalah sehina-hina tempat untuk kembali.

                Rata-rata umat Islam juga tahu bahawa sembahyang itu tiang agama. Siapa yang mendirikan sembahyang, dia sebenarnya telah mendirikan agama. Siapa meninggalkan sembahyang, dia telah meruntuhkan agama. Mereka juga tahu, yang membezakan di antara orang kafir dan orang Islam itu ialah sembahyang. Barang siapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja, nyata dia telah kufur. Sembahyang adalah amalan yang pertama yang dihisab di akhirat. Kalau sembahyang tidak selesai, segala amalan yang lain akan tertolak.

                Namun masih ramai umat Islam yang tidak menunaikan sembahyang lima waktu. Masih ramai yang cuai menunaikan sembahyang. Yang cuai menunaikan sembahyang itu bukan sahaja orang muda tetapi juga orang tua. Bukan sahaja orang miskin tetapi juga orang kaya. Bukan sahaja di kalangan orang-orang bawahan tetapi juga orang-orang atasan. Bukan hanya dari kalangan orang-orang yang tidak berpelajaran tetapi juga yang berpelajaran tinggi. Bukan sahaja dari kaum pekerja atau buruh tetapi juga dari para eksekutif dan pengurusan. Bukan sahaja di kalangan rakyat tetapi juga pemimpin. Bukan sahaja lelaki tetapi ramai juga perempuan yang cuai sembahyang.

Menjadi kafir kerana tidak menunaikan sembahyang tidak dirasakan suatu ancaman. Meruntuhkan agama kerana cuai sembahyang tidak di rasakan besar. Malahan, ancaman seksa neraka yang begitu perit , hebat dan dahsyat pun umat Islam tidak rasa gerun  dan takut. Apakah puncanya umat Islam jadi begini?

Umat Islam berat menunaikan sembahyang kerana mereka tidak kenal Tuhan. Apabila Tuhan tidak dikenali, maka umat Islam tidak cinta dan takut dengan Tuhan. Apabila cinta dan takut tidak ada,  maka tidak wujud hubungan hati dengan Tuhan.

                Hati yang tidak terhubung dengan Tuhan tidak ada apa-apa rasa. Tidak ada keinsafan. Tidak ada kesedaran. Tidak ada rasa bahawa Tuhan itu diperlukan. Bahawa Tuhan itu Maha Hebat dan Maha Agung. Tidak ada rasa bahawa kita manusia begitu kerdil dan lemah disisi Tuhan. Tidak ada rasa khusyuk dengan Tuhan. Itulah sebabnya berat untuk menunaikan sembahyang.

Advertisements