BURULAH RAHMAT ALLAH, JANGAN KEJAR FADHILAT IBADAH


Kalau ada orang yang berusaha, bekerja dan berjuang bertungkus-lumus untuk mengejar dunia, untuk mendapatkan harta benda, kekayaan, glamour, nama dan pujian, pangkat, gelaran, darjah kebesaran, kuasa, perempuan dan sebagainya tanpa mempedulikan nasib mereka di Akhirat, maka jelas mereka itu rugi dan tertipu.

Namun begitu kalau ada orang yang berusaha, bekerja dan berjuang bertungkus-lumus untuk mengejar Akhirat iaitu untuk mendapatkan Syurga, dengan melakukan berbagai-bagai ibadah sebanyak-banyaknya dan dengan mencari dan mengejar fadhilat, dengan tujuan untuk mengumpulkan sebanyak-banyak pahala maka dikhuatiri mereka juga rugi dan tertipu.

Tetapi, kalau ada orang yang berusaha, bekerja dan berjuang bertungkus-lumus hanya kerana Allah, kerana merasakan dirinya seorang hamba dan sudah menjadi kewajipannya untuk taat dan berbakti kepada Allah, kerana merasakan tugasnya sebagai hamba tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk mengabdi diri kepada Allah, untuk menagih simpati, belas kasihan, keampunan dan kasih sayang Tuhan, untuk menyatakan kesyukurannya ke atas segala nikmat yang telah dikurniakan-Nya, untuk mendapat keredhaan Allah, yang beribadah atas dorongan rasa bertuhan dan rasa kehambaan yang terpahat di hatinya dan untuk mendapatkan Tuhan itu sendiri maka inilah jalan yang lurus dan hak.

Justeru itu, kalau ada orang yang mengajak kita kepada dunia yang semata-mata dunia, dan yang tidak ada nilai Akhiratnya, maka itu adalah satu penipuan yang amat nyata. Kalau ada pula orang yang mengajak kita kepada Akhirat yakni semata-mata untuk mendapat Syurga dengan mengejar fadhilat-fadhilat dan kelebihan-kelebihan amalan, maka itu juga dikhuatiri adalah satu penipuan yang akan merugikan kita.

Tapi kalau ada orang yang mengajak kita kepada Tuhan, yang mengajak kita untuk mengenali Tuhan, yang mengajak kita untuk rasa bertuhan dan merasakan bahawa diri kita ini hamba, yang mengajar kita supaya takut dan cinta kepada Tuhan, maka inilah jalan kebenaran iaitu jalan yang ditunjukkan oleh para rasul.

Kedudukan seorang hamba di sisi Allah bukan diukur kepada berapa banyak ibadah dan fadhilat-fadhilat yang diamalkannya tetapi kepada apa yang ada di dalam hatinya, iaitu keimanannya, keyakinannya dan ketaqwaannya. Kepada kebersihan hati dan jiwanya. Kepada rasa takut, cinta, gerun, hebat, tawakal, pergantungan, harapan dan penyerahannya kepada Tuhan. Ibadah seorang hamba itu hanyalah manifestasi dari apa yang wujud dalam hatinya. Ibadah seorang hamba adalah dari rasa cinta dan takutnya kepada Tuhan. Dari rasa kehambaannya yang begitu mendalam dan sifat-sifat hamba yang tajam di hatinya seperti rasa hina, berdosa, dhaif, lemah,malu dan sebagainya di sisi Tuhan. Lagi kuat iman dan lagi tinggi taqwa seseorang hamba itu maka lagi kuat dan tekunlah dia beribadah, lebih kemaslah syariat dan lebih mulialah akhlaknya.

Memang Allah ada menjanjikan Syurga bagi orang yang beriman dan beramal soleh. Tapi itu hak Tuhan untuk memberi,bukan hak manusia untuk menuntutnya. Syurga terlalu mahal untuk dibeli dengan amal ibadah. Jangankan Syurga, nikmat sebelah mata pun tidak dapat dibayar dengan ibadah seumur hidup. Belum mata yang sebelah lagi, telinga yang mendengar, hidung yang menghidu. Belum lagi makanan yang dimakan, air yang diminum dan oksigen yang dihirup sepanjang hidup. Belum lagi segala anggota tubuh dan organ di dalam badan. Belum lagi nikmat akal yang berfikir dan hati yang merasa. Dan belum lagi nyawa dan roh yang dengannyalah kita dapat mengetahui dan merasakan hakikat kewujudan ini. Tidak ada manusia yang masuk ke Syurga kerana amal ibadahnya. Tidak juga para nabi dan para rasul. Tidak juga Rasulullah SAW. Baginda sendiri masuk ke Syurga semata-mata kerana rahmat Allah.

Kalau rahmat Allahlah yang menjadi sebab seseorang hamba itu masuk ke Syurga maka orang yang mahukan Syurga sepatutnya memburu rahmat Allah ini dan bukan fadhilat-fadhilat, kelebihan amalan ataupun pahala. Fadhilat, kelebihan amalan dan pahala tidak akan mendatangkan rahmat Tuhan. Allah memberi rahmat-Nya hanya kepada hamba-hamba yang dikasihi dan dicintai-Nya. Oleh itu cinta dan kasih sayang Tuhanlah yang patut dicari dan diusahakan. Tidak ada jalan lain untuk mendapat kasih sayang Tuhan melainkan dengan bertaubat, membersihkan hati, memperbaiki diri, mempertingkatkan iman dan ketaqwaan, menanam rasa bertuhan dan rasa kehambaan di hati, memupuk rasa takut, cinta, gerun,hebat dan rindu kepada Tuhan, menajamkan sifat-sifat kehambaan seperti malu, hina, rasa berdosa, dhaif, lemah dan sebagainya di hadapan Tuhan dan mengabdikan diri keseluruhannya kepada Tuhan.

Apalah maknanya kita mengejar pahala yang merupakan hadiah dan pemberian dari Tuhan kalau Tuhan tidak sayang kepada kita. Adalah lebih baik kita menagih cinta dan kasih sayang Tuhan walaupun tanpa hadiah dan pemberian. Kalau Allah sudah sayang dan cinta kepada kita, bukankah itu seperti telah mendapat segala-galanya. Apalah nikmat yang ada pada hadiah dan pemberian Tuhan berbanding nikmat mendapat kasih sayang Tuhan itu sendiri. Nikmat kasih sayang Tuhan lebih besar dan lebih agung. Betapa hebat pun nikmat Syurga di Akhirat nanti, semua itu kecil berbanding nikmat dapat melihat wajah Tuhan. Kalau melihat wajah Tuhan pun sudah mengalahkan nikmat Syurga, apatah lagi nikmat mendapat cinta dan kasih sayang Tuhan.

Memang di dalam ibadah ada fadhilat-fadhilat dan kelebihan-kelebihannya. Akan tetapi itu semua adalah anugerah Allah kerana kasih dan sayang-Nya. Janganlah pula itu kita jadikan matlamat ibadah kita. Seperti juga Syurga. Ia satu anugerah kepada hamba-hamba Tuhan yang beriman dan beramal soleh. Tapi janganlah pula Syurga itu kita jadikan matlamat ibadah. Ibadah yang kita lakukan mesti tetap kerana Allah dan sebagai pengabdian kita kepada-Nya. Moga-moga dengan itu Allah redha dan sayang kepada kita. Moga-moga Allah mengampunkan kita dan menerima kita sebagai hamba-hamba-Nya.

Janganlah kita terlalu menghargai, menginginkan dan mengidamkan hadiah yang Allah akan beri tetapi lupa untuk memuja, menyanjung, menyayangi dan mengagungkan Allah yang memberi hadiah itu. Janganlah pula kita seperti kanakkanak yang melompat, melonjak dan bersorak-sorai kegembiraan kerana mendapat gula-gula dari ayahnya hingga terlupa dia akan kehadiran ayahnya dan terlupa dia untuk berterima kasih padanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: