APAKAH ERTI HARI RAYA?

Hari raya. Apa itu hari raya? Pada lughah atau pada bahasa, raya ertinya
besar atau utama. Jalan raya ialah jalan yang besar atau utama. Pasar raya
ialah pasar yang besar. Bandaraya pula ialah bandar yang besar dan utama.

Begitu juga dengan lebuhraya dan sebagainya. Oleh itu hari raya bermaksud
hari yang besar atau hari yang utama. Benarkah hari raya itu hari yang
besar dan utama? Kalau benar, di manakah letak kebesaran atau
keutamaannya.

Apakah hakikat hari raya yang sebenar sehingga ianya dianggap sebagai hari
yang besar? Kalaulah benar hari raya itu hari yang besar, bagaimana patut
kita menyambutnya. Apakah yang patut kita buat pada hari itu? Bagaimana
patut kita mengisinya?

Adakah pada setiap hari raya kita perlu tukar langsir, perabot dan
permaidani? Adakah sempena hari raya, kita perlu beli pakaian dan kasut
baru? Kita menjamu selera dengan bermacam-macam kuih-muih dan juadah yang
enak dan lazat.

Atau adakah di hari raya patut kita berseronok dan bersuka ria dengan
majlis-majlis hiburan lengkap dengan muzik, nyanyian, joget dan
tari-menarinya. Kita adakan atau kita tonton pertunjukan atau “show”
hiburan hari raya. Atau kita bermain mercun, bunga api dan meriam buluh.

Atau adakah cukup hari raya itu disambut hanya dengan bersembahyang hari
raya, mengirim kad-kad hari raya, berziarah, menjamu selera dan
bermaaf-maafan.

Bagi orang Melayu, eid fitr dinamakan hari raya puasa. Perkiraan dan kira
bicara dalam hal ini sangat senang dan mudah. Ia dinamakan hari raya puasa
kerana ia disambut selepas bulan puasa. Ini sebenarnya mudah yang sudah
terlebih. Sudah over. Cara mudah memberi nama seperti ini tidak memberi
gambaran atau maksud yang sebenar.

Maksudnya tersimpang dan lari dari apa yang dikehendaki oleh agama dan
syariat. Ia menimbulkan kekeliruan dan salah faham. Lama-kelamaan orang
Melayu terutama yang tidak mengaji agama, tidak tahu kenapa dan mengapa
mereka menyambut hari raya puasa. Mereka juga tidak tahu bagaimana hari
raya puasa patut disambut. Mereka kira hari raya puasa itu ialah hari
untuk berseronok, berpesta dan bersuka ria. Hari untuk berbelanja,
membazir dan bermewah-mewah. Hari untuk melepaskan geram setelah sekian
lama disekat dan dikongkong nafsu mereka. Mereka sedih kalau tidak dapat
baju raya dan kasut raya. Sedih kalau tidak dapat tukar langsir baru,
perabot baru atau permaidani baru. Bagi yang lebih tua, hari raya puasa
jadi hari “nostalgia” dan hari melayan perasaan. Ingat anak, ingat
cucu yang tidak balik pada hari raya.

Sambutan hari raya puasa sudah tidak lagi menjadi suatu ibadat. Ia sudah
bertukar menjadi adat dan istiadat. Dengan “open-house”nya, hari raya
“get-together”nya, “Hari Raya Dance”nya dan berbagai-bagai lagi
cara sambutan pada masa ini. Para artis dan penghibur pula sibuk dengan
show hari raya dan album hari rayanya.

Dalam Islam tidak ada hari raya dalam konteks yang difahami oleh orang
Melayu. Tidak ada hari untuk tukar langsir, perabot dan permaidani. Tidak
ada hari untuk membeli baju atau kasut baru. Tidak ada hari untuk membazir
dan bermewah- mewah. Lebih-lebih lagi tidak ada hari untuk berhibur,
berseronok, berpesta dan bersuka ria dengan muzik, nyanyian, joget,
tari-menari, show, album dan sebagainya. Yang ada hanyalah hari untuk
bersyukur, memuji, memuja dan membesarkan Tuhan.

Hari raya puasa dalam Islam ialah Eid Fitr. Eid itu maksudnya
“mengembalikan”. Fitr itu “fitrah”. Jadi “Eidil Fitri” itu
ialah mengembalikan fitrah manusia kepada keadaan asal semulajadinya yang
suci dan murni. Dalam erti kata yang lain, eidil fitri bermaksud hari
menyambut kejayaan mengembalikan fitrah kepada keadaan asalnya yang suci
dan bersih.

Selama sebelas bulan dalam setahun, manusia bergelumang dengan nafsu dan
dunia. Selama itu jugalah fitrah manusia dicemari, dikotori dan
dirosakkan. Fitrah manusia kian bertambah lemah dan tidak bermaya. Dengan
rahmat dan kasih sayang Tuhan, dikurniakan-Nya satu bulan dalam setahun
iaitu bulan Ramadhan untuk kita berpuasa supaya fitrah manusia yang telah
lemah itu dapat dibersihkan, disuci dan dikuatkan semula. Supaya kerakusan
nafsu itu dapat ditekan dan diimbangi. Kalau tidak, nafsu akan
bertambah-tambah rakus sampailah manusia itu mati. Dia akan mati dalam
keadaan nafsunya yang bermaharajalela. Bagi orang Islam, kalau dia hidup
selama 50 tahun selepas akil baligh, nafsunya akan ditekan dan fitrahnya
dikuatkan sebanyak 50 kali dan selama 50 bulan. Ini banyak membantu
mengawal nafsunya. Itulah rahmat Tuhan. Ia tidak berlaku pada orang kafir.
Kalau fitrah sudah rosak dan kotor, manusia akan lupa Tuhan. Bila Tuhan
sudah dilupakan, jiwa manusia akan mati. Jiwa manusia tidak boleh hidup
tanpa Tuhan dan tanpa rasa bertuhan. Manusia yang telah mati jiwanya tidak
boleh lagi berperanan sebagai insan. Keinsanannya akan rosak. Nafsunya
akan bermaharajalela. Dia akan terangsang hanya dengan dunia dan akan
benci akhirat. Dia akan suka dengan apa yang Tuhan benci dan akan benci
dengan apa yang Tuhan suka. Dia akan mengangkat nafsunya menjadi Tuhan.
Akhirnya hidupnya di dunia menjadi punah ranah dan di akhirat nanti akan
bakal dicampakkan ke dalam neraka.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.